Tarikh : 26/06/2016
“TERLEBIH dahulu saya mohon maaf jika pembaca tersinggung, kerana apa yang saya ceritakan ini memang sering berlaku dalam masyarakat kita, rasanya ramai menantu perempuan melalui pengalaman seperti apa yang saya lalui. Saya bukan nak mengumpat dalam bulan puasa ni, tetapi kalau tak cerita rasanya nak pecah dada ni. Cakap pada suami minta pandangannya, dia tak ambil peduli. Hanya suruh saya bersabar.
“Memang senang orang lelaki kata jangan ambil peduli, jangan kisah, buat tak tahulah, dan macam-macam lagi, tetapi dia tak duduk dapur, dia tak memasak, dia kalau balik rumah mentua hanya duduk depan tak masuk dapur. Tetapi saya menantu perempuan kena duduk dapur. Memang tak ada siapa paksa, tetapi takkan balik rumah mentua duduk pangku tangan tunggu nasi terhidang ke lutut. Tentu kena tolong, akhirnya terperangkap dalam masalah ini.’’
Itu cerita Nurul Aisyah dalam e-melnya, dia mencurahkan isi hati kerana tahun ini giliran dia terpaksa balik ke rumah mentua untuk berhari raya. Tahun lepas dia beraya di rumah emaknya.
“Berbeza sungguh keadaan anak-anak perempuan dan menantu perempuan bila balik ke rumah emak saya beraya, semua turun ke dapur, semua turun tangan membantu, tak ada yang duduk kelek anak menunggu makanan terhidang di meja. Emak saya tak pernah kerah anak menantu bantu dia ke dapur, tetapi kami bertimbang rasa, kalau tak pandai masak pun paling tidak mereka bantu kemas meja makan, cuci pinggan mangkok. Maklum bila berbuka puasa dan berhari raya, memang banyak kerja perlu di lakukan di dapur, selain melayan tetamu bertandang ke rumah. Ditambah ramai anak cucu balik beraya.
“Malangnya rumah mentua saya, dia ada tiga anak perempuan dan dua menantu perempuan termasuk saya. Tetapi peliknya saya seorang sering di dapur tak kering tangan mencuci pinggan mangkuk, menguruskan dan menghidang makanan selain membersihkan rumah.
“Anak sulung mentua saya Kak Jay, dia memang balik setiap tahun beraya, kerana mentuanya sudah meninggal dunia, lagipun dalam setahun biasanya dua atau tiga kali sahaja Kak Jay balik rumah emaknya. Alasannya sibuk, tambah-tambah suaminya orang bisnes. Katanya orang bisnes tak ada masa cuti. Kerja amat penting.
“Kalau balik beraya Kak Jay tak pernah duduk rumah emaknya sebaliknya duduk hotel. Tak selesa duduk rumah emak, payah, ramai, panas, bilik tak ada air-con, bilik tidur tak cukup, bilik air sempit, anak-anaknya tak selesa sebab tak ada air panas. Sebenarnya bukan hari raya sahaja dia duduk hotel, tak ada raya pun dia tetap duduk hotel, lebih selesa dan senang cari makan, alasannya tak mahu menyusahkan emak siapkan makan minum mereka anak beranak.
“Biasanya selepas sarapan di hotel, Kak Jay datang jumpa emak. Selepas bersalaman dan bermaafan, dia akan makan apa juga makanan yang terhidang di meja. Kalau tetamu datang, dia layan berbual jika tetamu itu dia kenal, kalau tidak dia buat hal sendiri berbual bersama suaminya. Langsung tak jengok ke dapur apa lagi membantu. Selepas jam lima petang selepas makan petang dia akan balik ke hotel bersama anak-anak dan suaminya.
“Tinggallah saya bersihkan pinggan mangkuk dan melayan makan minum tetamu yang datang. Mentua saya ni ada lapan orang adik-beradik, jadi rumahnya tak pernah lekang daripada tetamu, bermula dari adik-beradik hinggalah anak-anak dan cucu-cucu saudara – semua akan datang.
“Seperkara lagi, kalau adik-beradik mentua saya datang, mereka tiba berkumpulan paling kurang sekali datang beraya empat buah kereta, kadangkala sampai enam kereta padat. Tak pening kepala kita nak melayan makan minum mereka.
Sibuk
“Kalau ketupat rendang menjelang hari raya pertama dah habis, jadi mentua saya terpaksa buat mihun goreng atau mi kuning, kadangkala nasi impat dengan kuah kacang sahaja. Sebab rendang daging dan ayam dah habis. Itu bab hari raya, kalau petang raya lagi sibuk mana nak siapkan bahan buat rendang, rebus ketupat, nasi impit dan menghiris daging untuk rendang, memang memenatkan. Memang suami saya bantu rebus ketupat, tapi mengisi beras ketupat emak mentua saya kena buat. Bila dia buat ketupat, sayalah kena hiris daging.
“Biasanya kerana saya tinggal tak jauh dari rumah mentua, sehari sebelum raya suami dah ajak balik kampung. Katanya tolonglah emak penat dia sendirian, habis saya tak penat? Bab kakak ipar kedua saya, Kak Zek memang sehari sebelum raya dia dah datang, tapi petang raya dia pergi ke rumah mentuanya. Alasan cuti suami tak lama dan mereka terpaksa segera balik.
“Bab adik ipar saya si Anim lagi banyak ragam, sebelum kahwin sibuk banyak kerja di pejabat tak boleh cuti. Macamkan dia orang penting di pejabatnya. Bila dah kahwin sibuk pulak mengandung, lepas tu tau ajalah sibuk jaga anak yang masih kecil. Kerana itu dia tak dapat membantu di dapur, kerana anaknya tak boleh berenggang nanti menangis. Akhirnya dia sentiasa ‘berkubu’ dalam bilik bersama bayi dan suaminya.
“Biras perempuan saya, Hana, pulak lagi pandai setiap tahun dia balik rumah mentua saya pada hari raya kedua atau ketiga, katanya dia terpaksa bantu emaknya di dapur sebab tak ada siapa nak bantu, sedangkan dia ada empat adik-beradik perempuan.
“Apa yang saya pelik sangat, mengapa mentua saya tak mahu bersuara minta anak-anak perempuannya bantu dia di dapur, takkan nak harapkan saya seorang? Kalau bukan giliran saya beraya di rumah mentua, maknanya dia seoranglah tunggung langgang memasak di dapur, anak-anak perempuannya langsung tak ada hati perut nak membantu. Semua harapkan emak.
“Saya pernah bersuara pada suami kalau Kak Jay sibuk sangat bekerja, tak mahu bantu emak di dapur, ambilkanlah seorang pembantu rumah yang boleh membantu emaknya di dapur. Lagipun boleh temankan emak yang duduk sendirian di rumah. Kak Jay bukan tak ada duit, kalau dia sendiri ada pembantu, mengapa tak carikan seorang pembantu untuk emaknya.
“Lagi peliknya setiap tahun Kak Jay balik beraya di kampung tak pernah bawa pembantunya bersama. Kalau bawa pembantu boleh juga dia bantu emak di dapur. Tetapi alasan Kak Jay pembantunya perlu jaga rumah, takut rumah dipecah pencuri. Apalah salahnya bawa pembantu bila balik boleh juga membantu emaknya, apa sangatlah nak jaga rumah. Bukan rumahnya lari.
Pelik
“Kadang kala saya rasa manusia ini memang pelik, terlalu berkira wang ringgit dan tenaga daripada membantu emak sendiri. Kalau awak sendiri malas ke dapur, carikan atau bawa pembantu balik kampung boleh bantu emak di dapur. Dia sanggup seksa emaknya bekerja sendirian tertonggeng-tonggeng, sedangkan dia hidup senang-lenang di bandar.
“Saya pernah terdengar Kak Jay bersuara, emak tak perlukan pembantu, sebab tak ada banyak kerja di kampung. Jadi buat apa ambil pembantu. Memang tak banyak kerja. Tetapi apa salahnya senangkan emak sendiri di akhir-akhir hayatnya. Kerja membersihkan rumah, menyapu halaman yang luas, bukan mudah kerja tu perlukan tenaga juga. Lebih penting demi keselamatan emak yang duduk sendirian di kampung.
“Benar di kampung ramai saudara mara, tapi kalau emak duduk berteman lebih selamat. Lagipun kerja membersihkan rumah yang luas dan ada empat bilik memang bukan mudah, perlukan tenaga. Sedangkan emak mentua saya bukan muda lagi, umur dah hampir 70 tahun tenaganya bukan kuat lagi.
“Saya rasa kalau adik-beradik suami saya termasuk Kak Jay berpakat mungkin masalah carikan pembantu untuk emaknya boleh dibuat, sebab masing-masing bekerja. Duit boleh dikongsi. Tapi Kak Jay awal-awal lagi kata emak tak perlukan pembantu, Kak Zek pulak kata kalau emak ada pembantu nanti senangnya Hana sebab boleh minta tolong jagakan anaknya yang kecil itu. Masing-masing terlalu berkira dengan duit ringgit.
“Bukan nak bandingkan, tetapi keadaan ini berbeza dengan emak saya. Emak daripada awal lagi dah nasihatkan kami adik-beradik supaya berpakat membantunya ke dapur. Buat giliran, katanya kalau ada antara kami nak balik beraya rumah mentua, pastikan ada yang tinggal supaya boleh membantunya. Tak kira anak sendiri atau menantu.
“Jadi masing-masing sudah tahu tanggungjawab mereka. Dan kami sentiasa berhubung dan berpakat untuk keselesaan emak. Walaupun adik ketiga saya anak beranak duduk serumah dengan emak. Tapi kata emak, Alang pun ada mentua, jadi dia pun kena balik beraya rumah mentuanya. Jadi kami tak boleh harapkan Alang saja bantu emak, kami mesti pakat supaya setiap kali raya ada orang yang boleh bantu emak.
“Kami bersyukur sebab Alang mahu duduk dengan emak, jadi emak tidaklah rasa sunyi dan keselamatan emak terjamin. Kalau emak jatuh atau sakit tengah malam, ada anak yang boleh angkat dan bawa ke hospital. Ini yang penting. Saya sedih lihat mentua saya, anak-anak bukan orang susah, tetapi mereka sanggup biarkan emak tinggal sendirian.
“Orang tua biasalah bukan mahu duduk rumah anak-anak, dia lebih selesa duduk rumah sendiri, tetapi kita sebagai anak boleh fikirkan apa yang boleh menambah baik dan keselesaan selain menjaga keselamatan emak yang suka duduk sendirian di rumahnya.
“Apa yang membuat saya frust, kini sudah lebih 12 tahun berkahwin, maka selama itulah saya sendirian bantu emak mentua di dapur. Sedangkan anak-anak perempuannya yang lain lebih pentingkan diri sendiri, langsung tidak ada perasaan kasihan terhadap emak mereka.
Pada saya senang, kalau malas nak tolong emak di dapur, rajin-rajinlah keluarkan duit cari orang yang boleh bantu emak, ini bukan orang lain, tapi emak sendiri. Apa salahnya senangkan hidup emak di hujung-hujung hayatnya.’’
Itu cerita Nurul Aisyah dalam e-melnya yang kecewa dengan sikap dan perangai ipar duai yang pentingkan diri daripada emak sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan