Fikirnya, mana hati isteri dan anak-anak hendak dijaga, begitu juga hati ibu dan ayah serta keluarga di kampung. Malah terpaksa memikirkan pelbagai alasan sebagai cara halus menyembunyikan masalah yang dihadapi dek kerenah isteri, daripada dinista sanak saudara.

Aliff memang tahu, selama ini pun isterinya, Zarina (bukan nama sebenar) memang tidak suka balik ke kampung. Anak orang bandar itu kononnya malas hendak menjejakkan kaki ke kampung halaman suaminya itu setiap kali beraya kerana tidak mahu berhimpun bersama adik-beradik serta ipar duai yang ada.

Lagi pun selama ini, apabila balik ke kampung, isterinya hanya bertahan selama dua atau tiga hari sahaja, selepas itu buru-buru balik ke rumah kerana tidak mahu tinggal di situ.
Kata Aliff Fadli, sekiranya dia memutuskan untuk balik beraya di kampung, biasanya akan mengambil masa sehingga sebulan untuk memujuk isteri dan anak-anak.

Pelbagai cara dilakukan dalam usaha agar mereka dapat bersama-sama balik ke kampung termasuk janji-janji yang mereka akan tagih bila sampai waktunya.

Itupun sekiranya hendak balik beraya, Zarina sendiri akan meminta mereka sekeluarga duduk di sebuah hotel di bandar, dan hanya akan balik ke rumah mertuanya pada pagi raya.

“Biarpun rumah di kampung itu memang agak besar dan mempunyai banyak bilik, yang boleh memuatkan kami adik-beradik, namun Zarina dan anak-anak memilih untuk tinggal di hotel atas alasan rimas kerana terlalu ramai orang di dalam rumah. Tiada pendingin hawa pun menjadi satu masalah kepada isteri saya yang sering berasa panas di dalam rumah.


“Zarina pun enggan ke dapur membantu biras atau kakak ipar di dapur yang sanggup menyingsing lengan bergotong-royong menyediakan juadah pada malam raya. Zarina memberi alasan tidak pandai memasak yang menyebabkan dia khuatir sekiranya disuruh memasak yang dia sendiri tidak reti membuatnya.

“Apa pun itu semua sebenarnya tiada masalah, kerana keluarga kami memang sudah tahu Zarina tidak boleh memasak dan kami semua maklum dan menerima dirinya seadanya. Tetapi sikapnya yang ego dan sombong tidak bertempat menyebabkan keadaan bertambah rumit.

“Kalau dinasihati, saya juga akan kena dan menjadi bahan tempat dia melepaskan kemarahan. Selepas itu sebulan dia akan bermasam muka dengan saya. Mengelak kejadian serupa itu, saya menurut sahaja apa yang dimahukan. Sebab itu setiap kali balik kampung, kami akan tidur di hotel.

“Pagi Syawal baru akan balik ke rumah emak. Selepas sejam dua berada di situ, isteri dan anak-anak akan balik ke hotel semula menyambung tidur. Selepas menghantar mereka ke hotel, terkontang-kanting saya sendirian beraya di rumah sanak saudara.

“Di sini yang menjadi masalah kepada saya. Biarpun keluarga sudah mengetahui perihal perangai isteri, namun sebaik bertandang ke rumah sanak-saudara, pasti mereka bertanya di mana anak-anak dan isteri.

“Pada awalnya, mungkin saya boleh memberitahu dan memberikan pelbagai alasan seperti sibuk, atau sebagainya, namun lama-kelamaan, saya juga yang malu kerana asyik memberikan alasan pelbagai alasan, sehingga orang tidak percaya lagi.

“Sampaikan sekarang, mereka tidak lagi mempersoal di mana isteri dan anak-anak ketika saya beraya di kampung. Ada atau tidak bagi mereka sama sahaja, yang penting saya ada menjenguk mereka. Bagi saya, apa guna dia turun bertandang sekiranya muka asyik mencuka,” kata Alif Fadli panjang lebar.

Lelaki ini juga memberitahu, sekiranya diadakan kenduri kendara di sebelah keluarganya, biarpun isterinya itu ikut serta pulang ke kampung, namun hanya untuk jangka masa yang pendek, selebihnya, dia akan berada di hotel.

Aliff Fadli memberitahu, sudah habis ikhtiar dirinya selama ini menasihati wanita itu untuk bercampur dan bermesra dengan orang kampung, saudara-mara sebelah pihaknya. Kalau hendak dikatakan tidak pandai bergaul, dia sebenarnya seorang pegawai atasan di sebuah syarikat swasta yang sudah tentu mempunyai pengalaman berhadapan dengan ramai orang.

Puas juga Aliff Fadli memikirkan sama ada pernah atau tidak ahli-ahli keluarganya membuatkan Zarina terasa kecil hati, namun dia sendiri tidak tahu kerana tidak pernah diberitahu, malah dia enggan mengambil tahu mengenai perkara itu.

Dia sendiri tidak pernah melihat isterinya berbual mesra dengan adik beradik lain, hanya membawa diri sahaja sekiranya berada bersama mereka.

Kini, sudah enam tahun Aliff Fadli menikahi Zarina dan selama itu jugalah dia menahan perangai jelik wanita itu yang enggan menjenguk ahli keluarga belahnya.

Kini dia cuba berusaha mengajak dua orang anaknya yang masih kecil itu pula bergaul dan bertandang ke rumah saudara mara di kampung, agar satu hari nanti mereka tidak berperangai seperti isterinya itu.

Bagi Aliff Fadli hubungan silaturahim perlu diperkukuh kerana itu tunjang persaudaraan di dunia dan akhirat.

Dia berdoa semoga satu hari nanti isterinya sedar mengenai perkara itu. Dia pernah memberitahu isterinya, sebaik sahaja dia berkahwin dengan dirinya, dia bukan sahaja menerima dia sebagai suaminya tetapi perlu hormati ahli keluarga yang lain dan itu juga yang Aliff Fadli lakukan, melayani keluarga belah isterinya dengan baik.