Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/06/2016
Kiriman e-mel yang diterima daripada seorang pembaca ke ruangan Pengakuan minggu ini agak berbeza berbanding cerita-cerita sebelum ini.
Kemelut rumah tangga kali ini bukan membabitkan konflik suami isteri sebaliknya kisah mentua dan menantu.
Menurut Ezah (bukan nama sebenar), tujuan dia menulis bukan untuk memburukkan sesiapa terutama mentua, sebaliknya sekadar mengajak pembaca berfikir dan mencari pengajaran jika ada.
Katanya, perkahwinan dengan Ikram (juga bukan nama sebenar) sejak 14 tahun lalu diserikan dengan empat cahaya mata berusia antara dua hingga 12 tahun.
Ezah lulusan ijazah sarjana dalam bidang teknologi maklumat (IT) dari sebuah universiti tempatan dan pernah bekerja di sebuah firma terkenal dengan gaji agak lumayan.
Suami isteri bekerja dengan gaji masing-masing hampir mencecah lima angka, membuatkan kewangan bukan jadi isu bagi keluarga muda ini.
Namun, selepas kelahiran anak bongsu kira-kira dua tahun lalu, dia mengambil keputusan berhenti kerja untuk menumpukan kepada keluarga.
“Semuanya bermula dengan insiden anak sulung kami, Akmar, ‘hilang’ selepas waktu sekolah. Dia bersekolah sebelah petang. Pergi dan balik sekolah menaiki bas sekolah, tetapi suatu hari dek leka bermain dia terlepas bas dan mengambil keputusan untuk pulang berjalan kaki.
“Pembantu rumah menghubungi saya, Akmar belum sampai rumah walaupun waktu itu sudah hampir pukul 8 malam. Saya dan suami ketika itu masih dalam perjalanan pulang dari kerja. Saya cuba hubungi kawan-kawannya, semua berkata tidak tahu di mana Akmar berada.
“Pukul 10 malam baru dia ditemui selepas dihantar oleh jiran yang kebetulan ternampak dia berjalan seorang diri. Sepanjang tempoh dia hilang nyawa saya macam hilang dari badan. Pelbagai perkara buruk saya fikirkan, macam mana kalau saya tidak dapat berjumpa dengan anak saya semula dan macam-macam lagi.
“Insiden tersebut bagai wake up call, menyentak kami daripada kelekaan. Terlalu memikirkan soal kerja dan kesenangan untuk keluarga, kami lupa apa yang lebih diperlukan anak-anak, iaitu ibu bapa mereka. Selama ini kami ambil mudah, menyerahkan banyak tanggungjawab kepada pembantu rumah.
“Kami fikirkan dengan memastikan segala keperluan material anak-anak dipenuhi sudah memadai, sedangkan apa yang lebih penting ialah kehadiran ibu bapa mereka,” kata Ezah.
Setelah berbincang suami isteri, mereka mengambil keputusan Ezah berhenti kerja untuk memastikan salah seorang ada di rumah ketika diperlukan anak-anak.
Mereka menyusun semula cara hidup harian termasuk dalam soal pengurusan kewangan. Alhamdulillah segalanya lancar walau pada permulaan ada rintangan di sana sini.
“Namun, bukan itu yang sebenarnya saya ingin kongsi,” katanya.
Keputusan Ezah berhenti kerja rupanya sangat tidak disenangi dan ditentang kuat ibu mentuanya.
Memang dari awal ibu Ikram memang hanya mencari menantu yang bekerja. Lima anak lelakinya semua beristerikan wanita berkelulusan tinggi dan bekerjaya.
Menyedari kecenderungan ibu mentuanya, dari awal lagi Ezah dan suami sepakat merahsiakan keputusan mereka.
“Namun sampai bila nak berahsia. Apabila dia bertanya kenapa tidak pergi kerja, lama-lama kami pun habis alasan untuk berbohong.
“Sehari suntuk dia membebel ketika mendapat tahu saya berhenti kerja. Macam-macam dia sebut, kata kami bodoh mengambil keputusan tidak fikir panjang, macam mana nak hidup di bandar kalau seorang sahaja bekerja dan macam-macam lagi.
“Saya ingatkan habis di situ tetapi rupa-rupanya keadaan bertambah teruk. Layanannya terhadap saya juga mula berubah. Kalau dahulu saya antara menantu yang disayang, sekarang ada saja yang tak kena sehinggakan saya pakai baju baharu pun ditanya mana dapat duit beli baju.
“Ibu mertua saya mula menuduh saya habiskan duit anaknya, iaitu suami saya. Dia berkata, anaknya penat bekerja tungkus-lumus tapi saya senang hati duduk rumah tukang habis duit.
“Dia tak nampak sebarang kebaikan saya berhenti kerja walaupun tujuan saya adalah untuk kesenangan anak-anak yang juga cucu-cucunya. Malah, dia anggap tindakan saya membazir kerana kelulusan tinggi tapi duduk di ceruk dapur,” ujarnya.
Panas telinga juga mendengar kata nista ibu mentua, namun Ezah mengambil pendirian mendiamkan diri.
Katanya, apa yang ibu mentua tidak nampak ialah kehidupan dia sekeluarga sebenarnya lebih teratur, anak semakin gembira kerana ibu mereka sentiasa di rumah.
“Malah, apa yang dia tuduh saya menghabiskan duit anaknya, sebenarnya dilihat dari satu segi telah menjimatkan banyak perkara.
“Sejak anak bongsu berusia setahun, pembantu rumah yang tamat kontrak saya tidak perbaharui. Tiga anak yang bersekolah rendah saya hantar dan jemput setiap hari tidak perlu lagi bayar tambang bas. Walau penat berulang-alik, saya seronok dapat bersama anak dalam kereta mendengar cerita mereka.
“Paling penting saya tidak perlu hantar anak tuisyen sebab saya boleh ajar anak-anak di rumah. Saya juga tidak perlu hantar yang bongsu ke taman asuhan kerana saya jaga sendiri.
“Memang pada awalnya saya agak kelam kabut untuk menyusun rutin harian tetapi lama-kelamaan semuanya berjalan lancar, apatah lagi suami juga ringan tulang membantu.
“Alhamdulillah, kalau dahulu setiap pagi kalut dengan anak-anak dan pada masa sama mahu bergegas ke tempat kerja hingga kadang-kadang tidak sempat pun nak menyentuh dan mencium kepala anak kerana saya dan suami perlu keluar seawal 6 pagi bagi mengelak kesesakan. Sekarang anak ke sekolah siap membawa bekal makanan, malah suami juga semakin gemar membawa bekal ke tempat kerja, jimat dan lebih sedap, katanya,” ujar Ezah.
Berbalik kepada ibu mentua, rasa tidak puas hatinya bagai tidak bertepi. Sebulan atau dua minggu sekali dia akan datang berziarah alasannya untuk melihat cucu tetapi Ezah tahu dia akan memerhati seluruh rumah mencari kalau ada barang atau perabot baharu.
Kalau dia nampak sesuatu yang baharu mula bertanya siapa beli, guna duit siapa dan macam-macam lagi.
Dia juga mula memberi tekanan kepada suami Ezah dengan membuat permintaan yang bukan-bukan.
“Sebenarnya walaupun saya sudah berhenti kerja, wang bulanan yang kami beri kepada orang tua kami termasuk ibu bapa saya tidak berubah.
“Walaupun saya pernah mencadangkan wang untuk ibu bapa saya mungkin dikurangkan kerana saya sudah tidak bekerja tapi suami tidak setuju. Dia kata wang itu hak mereka dan restu untuk rezeki lebih murah.
“Namun, ibu mentua pula mula meminta macam-macam. Bulan ini minta wang nak tambah bilik rumahnya, bulan depan pula minta sofa diganti dan sebagainya.
“Pendek kata ada sahaia yang tidak kena yang sebelum ini tidak pernah berlaku. Saya tahu dia minta itu ini kerana takut duit anaknya dihabiskan untuk saya.
“Bab cucu lain pula. Kalau dahulu anak-anak saya disayang tetapi sekarang anak-anak hendak datang ke rumahnya pun takut sebab ada sahaja yang tak kena.
“Baju anak tak berganti, kenapa tidak pergi tuisyen dan macam-macam lagi. Pendek kata pada hujungnya nanti dia akan sebut pada anak-anak, ‘itulah ibu kamu kerja elok-elok berhenti. Sekarang nak beli baju anak pun tak mampu,” katanya.
Marah, sedih, rasa terhina saling berbaur. Ezah juga pelik masih ada ibu atau ibu mentua yang berfikiran begitu. Sepatutnya mereka gembira kerana makan minum anak dan cucunya lebih terjaga.
“Apa pun, saya bersyukur suami tidak terpengaruh kata-kata ibunya dan hanya tersenyum apabila kami membincangkan hal ini. Saya harap dan berdoa ibu mentua berubah selepas ini,” katanya mengakhiri bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan