Tarikh : 19/06/2016
KISAH yang dipaparkan dua minggu lalu berjudul, “Ibu beralih arah setelah kahwin lain” membuat Izan terpanggil untuk turut memberi pendapatnya. Kata Izan luahan hati Julihanizah amat jelas menggambarkan betapa sunyinya hati seorang ibu tunggal yang kurang dapat perhatian daripada anak-anaknya setelah mereka dewasa, bekerja dan berumah tangga.
Kata Izan lagi, tidak semestinya ibu anda ke sana ke mari berjalan dan pergi melancong bersama kawan-kawan sebayanya sebagai tanda dia bahagia. Mungkin itu sekadar mengisi ruang kosong di hatinya yang ditinggalkan oleh anak-anak.
“Sebagai anak sepatutnya menjadi tanggungjawab anda sekali-sekala datang berbual dengan ibu. Buat giliran antara adik-beradik anda balik bertemu ibu untuk membuang rasa kecewa atau bosan yang tinggal sendirian. Dan bukannya mencari jalan mudah balik kampung ambil ibu dan membawanya tinggal bersama di rumah anda.
“Mungkin juga ibu anda selesa tinggal di rumah suami barunya, kerana di sana dia rasa dirinya diperlukan. Dia bahagia sebab ada suami tempat mengadu hal, dan mungkin juga ibu anda gembira dengan anak-anak tiri yang memeriahkan suasana rumah. Mungkin juga ibu anda sanggup berkhidmat di rumah suami kerana itu menggembirakannya.
“Apabila masa ibu anda terisi dengan berbakti kepada keluarga baru, maknanya ibu anda sudah bertemu kebahagiaan yang dicari. Biarkan ibu anda bahagia dengan pilihan hidupnya sendiri. Selagi dia tidak merungut itu tanda dia bahagia di sana.
“Kepada anak-anak yang ibunya masih tinggal bersendirian di rumah, jenguklah ibu anda sekerap mungkin. Dengan cara ini, ibu anda tidak lagi merasa dirinya terpinggir. Buatlah jadual atau giliran antara adik beradik anda balik menziarahi ibu. Dengan cara ini sekurang-kurangnya setiap minggu ibu anda akan menanti kepulangan anda dan cucu yang disayanginya. Dengan cara ini dia merasa lebih gembira.
“Jangan nanti bila ibu anda mula mencari bahagia dengan orang lain, baru anda pula terasa dipinggirkan atau anda merasa ibu anda ‘dikulikan’ oleh suami baru. Namun selagi ibu anda tidak mengadu penat tinggal di rumah suami barunya, itu tandanya dia bahagia” kata Izan.
“Bagaimanapun Lisa dalam e-melnya pula bersetuju dengan Julihanizah, katanya apabila ibunya berkahwin baru, hubungan dia dengan ibunya semakin renggang. Sebab ibunya tidak ada masa lagi berbual dengan anak-anak selain sibuk uruskan makan minum dan sakit pening suami barunya dan keluarga barunya sahaja.
“Masalah jadi lebih besar apabila hari raya. Kalau ibu beraya di rumah suaminya, dia menjadi tidak selesa untuk balik ke rumah ayah tirinya, sebab di rumah itu sudah ramai dengan anak cucu ayah tiri. Tak bantu ibu ke dapur, kesian melihat ibu bertungkus lumus seorang diri memasak dan menyediakan juadah raya. Sedangkan anak-anak tiri sibuk dengan anak mereka.
“Kerana tidak mahu lihat dan melalui masalah tersebut, biasanya saya pulang beraya di rumah mentua. Tetapi saya yang makan hati. Demikian pandangan dua orang pembaca tentang isu “Ibu beralih arah setelah kahwin lain.” Bagaimana pun pandangan anda?
Namun cerita minggu ini bukan masalah ibu kahwin lagi atau bermadu, sebaliknya rintihan hati seorang ibu tunggal bernama Noralisa membesarkan empat orang anak dalam menghadapi hari raya.
“Memang benar ada antara pembaca berpendapat hari raya bukan penting sangat. Ya! Bukan penting kepada kita yang telah dewasa, tetapi amat bermakna dan paling istimewa kepada anak-anak yang masih kecil dan tinggal di rumah pangsa di KL ini.
“Walaupun raya lambat lagi, tetapi ada antara keluarga khususnya jiran tetangga yang telah membuat banyak persiapan untuk anak-anak mereka. Bukan maksud saya, jiran-jiran ingin menunjuk-nunjuk persiapan mereka, tetapi anak-anak mereka yang terlalu gembira akan bercerita kepada kawan-kawannya, kebetulan anak-anak saya tentang baju raya, kasut raya yang telah ibu bapa mereka beli ataupun akan beli.
Tanggungjawab
“Apa yang terjadi kepada anak-anak saya mereka tentu balik ke rumah mendesak supaya kita turut membeli seperti apa yang kawan-kawan mereka ada. Yang menjadi masalahnya, anak-anak tersebut ada ayah yang boleh menyediakan kelengkapan atau persiapan untuk anak-anaknya, sedangkan anak-anak saya nama saja ada ayah, tetapi ayahnya tidak bertanggungjawab, bukan sahaja tak beri nafkah, malah tak pernah menjengok muka. Kalau ada pun sekali-sekala datang ke sekolah dia cuma beri duit RM5 seorang.
“Apa dia ingat anaknya cukup makan RM5 sebulan. Jangan kata seminggu, setengah hari boleh selesai. Mereka beli nasi lemak atau mi makan aiskrim, habis RM5. Saya cukup hairan dengan sikap lelaki Melayu nama aja beragama Islam, tetapi tidak tahu apa itu tanggungjawab dan amanah yang telah Allah berikan kepada mereka. Berbanding kawan saya orang Cina.
“Kawan saya ni ada dua orang anak. Dia selalu bersungut suaminya tak bagi cukup makan untuk anak-anak, katanya, bagi RM1,00 sebulan mana cukup. Dia sakit hati suaminya mampu simpan perempuan dan jarang balik rumah. Saya terkejut anak dua orang dapat RM1,000 tak cukup, macam mana dengan saya anak empat orang, tak dapat sesen pun nafkah pun. Dah diceraikan, minta nafkah sudah dua tahun turun naik mahkamah masih belum selesai lagi.
“Bab berjanji memang pandai, tetapi tak pernah tepati. Saya dah bosan naik mahkamah, sebab tak ada duit nak bayar peguam, cuti pun dah habis. Jadi lebih baik saya tumpukan kepada pekerjaan, tak buang duit peguam, duit teksi dan cuti saya.
“Saya cukup hairan, undang-undang mahkamah atas kertas cukup cantik, tetapi pelaksanaan tak sampai ke mana. Lelaki yang pandai temberang lepaslah dia daripada tanggungjawab beri nafkah untuk anak-anak, seperti bekas suami saya. Dia sanggup berhenti kerja supaya gajinya tidak dipotong. Bila depan hakim dia kata tak ada duit kerana masih cari kerja. Sedangkan kita tahu dia ada kerja kalau tidak takkan dia boleh kahwin lain.
“Dipendekkan cerita lelaki Melayu nama saja beragama Islam, tak tahu tanggungjawab, lebih baik lelaki Cina tak tahu agama apa, simpan perempuan, tetapi dia beri nafkah kepada anak-anaknya, bermakna mereka lebih bertanggungjawab kepada keluarganya.
“Saya tak pernah marah kalau bekas suami nak kahwin lain dan ceraikan saya. Sebab orang lelaki ni, kalau dia dah gatal nak kahwin, walau macam mana kita sayang, pujuk, merayu dan menyembah dia supaya jangan kahwin, lagi cepat dia nak kahwin nak ceraikan kita. Jadi jangan buang masa kalau dah tak sukakan kita lebih baik ceraikan tapi tolonglah bagi nafkah.
“Gaji saya bukan besar sangat untuk tanggung empat orang anak. Nasib baik dapat duduk rumah flat ini, sebab bayaran sewanya murah, dulu masa mula bercerai lima tahun lalu, saya menyewa, memang tak mampu bayar sewa RM600 sebulan. Ketika itu hidup saya memang menderita. Habis seutas rantai, dua urat gelang dan loket pemberian emak saya gadaikan sebab tak mampu hendak bayar sewa rumah dan bagi makan anak-anak.
“Dengan nasihat kawan yang simpati pada hidup saya yang terdesak, dia suruh saya memohon sewa flat ini, dan dengan pertolongan-Nya dan kerana rezeki kami juga, saya dapat duduk flat ini walaupun agak jauh dari tempat kerja. Tetapi saya bersyukur, sebab sewa rumah murah.
“Ketika bercerai anak saya yang kecil berumur tiga tahun, nak bayar duit pengasuh lagi, tambang bas sekolah anak-anak, dan yuran tadika. Kalau kurang teguhnya iman mahu saya telan pil biar cepat mati tak perlu fikir masalah ini. Tetapi saya bersyukur ada rakan-rakan senasib mahu bantu dan nasihatkan saya. Berbekalkan semangat saya kuatkan hati besarkan anak-anak.
“Walaupun kini semua anak sudah bersekolah, dan saya tak perlu bayar pengasuh lagi, tetapi perbelanjaan sara hidup semakin bertambah. Terutama setiap awal tahun untuk persediaan persekolahan dan juga hari raya. Ketika ini, memang hidup saya amat terdesak. Kadang-kadang saya menangis malam sendirian mengenangkan nasib. Nak mintak tolong adik-beradik mereka bukan orang senang, emak pun duduk kampung, jadi pandai sayalah besarkan anak-anak.
“Mungkin hidup saya tak susah kalau berpendapatan tinggi, malangnya gaji setakat lulusan SPM berapa sangat? Namun saya bersyukur ketika anak-anak mendesak beli pakaian baru, buku sekolah dan uniform sekolah, saya nasihatkan mereka supaya pakai baju abang. Syukur si adik faham tapi syaratnya dia hendakkan kasut baru, si abang dapat baju baru kenalah bersyukur dengan selipar untuk raya, sebab kasut mahal. Tak perlu pakai songkok yang mahal memadai pakai kopiah. Lagipun, songkok cuma pakai sekejap, lainlah pakaian dan kasut yang lebih perlu. Masalah pakaian lelaki selesai yang perempuan kena beli juga.
“Nasihat kawan saya kalau bekas suami tak bagi nafkah, minta pada mentua. Tapi saya buang masa saja. Sikap bekas mentua saya, dia pastikan anak-anak beri dia duit setiap bulan walaupun hidupnya bukanlah susah sangat. Pada beliau, anak-anak tanggungjawab ibu bapanya. Jangan nak menyusahkan hidupnya.
“Di pejabat saya ada tiga orang ibu tunggal, semua ada masalah macam saya, kami pernah bincang untuk memohon kepada kerajaan supaya potong duit KWSP bekas suami untuk beri nafkah anak-anak, jika bekas suami enggan beri nafkah. Masalah ini boleh selesai jika mahkamah syariah keluarkan surat kuasa atau surat perintah kepada KWSP untuk potong duit nafkah jika suami enggan beri nafkah.
“Inilah sahaja jalan yang boleh selesaikan masalah bekas suami yang enggan beri nafkah anak-anak. Jika perintah atau hukum ini ada, sudah pasti bekas suami akan beri nafkah dan tidak ada lagi alasan mereka tidak bekerja, maka mereka tak boleh beri nafkah. Kita ada menteri wanita patut beliau perjuangkan masalah ini.’’
Itu cerita Noralisa tentang masalah tak dapat nafkah anak-anak daripada bekas suami dan cadangannya supaya kerajaan adakan peruntukan memotong duit KWSP bekas suami yang enggan beri nafkah anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan