Tarikh : 20/07/2016
Muhammad Faiz Hashim bersama kedua isterinya, Syarifah Nor Fadhilah Syed Mohd. Idris (kiri) dan Nik Noor Syuhada Kamarudin di Kuantan, Pahang, semalam. utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 19 Julai – Seorang wanita tidak menyangka foto bersama suami dan madunya yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook baru-baru ini menjadi viral termasuk dijadikan sebagai bahan berita di portal-portal dalam dan luar negara.
Foto itu memaparkan Syarifah Nor Fadhilah Syed Mohd. Idris, 35, dan madunya, Nik Noor Syuhada Kamarudin, 30, mencium suami mereka, Muhammad Faiz Hashim, 35, ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Syarifah Nor Fadhilah berkata, dia terkejut dengan maklum balas orang ramai dengan foto yang dimuat naik suaminya yang tersebar luas di laman sosial.
‘‘Sebelum ini banyak juga gambar saya bersama Nik Noor Syuhada dikongsi suami kami di Facebook.
‘‘Gambar itu (semasa hari raya) pula menjadi viral sedangkan tiada apa yang berbeza dengan sebelum ini. Banyak mesej yang saya terima daripada rakan-rakan lama dan ahli keluarga yang mana saya menerimanya dengan hati terbuka,’’ kata anak kelahiran Kuantan itu kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Syarifah Nor Fadhilah, dia juga berperasaan yang sama seperti wanita lain ketika suaminya memohon izin untuk berpoligami tujuh tahun lalu.
‘‘Saya perlukan masa dan berfikir lebih baik saya memberi izin daripada suami melakukan perkara tidak elok di belakang. Dengan sendirinya saya reda dan ikhlas.
‘‘Alhamdulillah, selepas berpoligami kasih sayang suami bertambah di samping rezeki kami sekeluarga sentiasa melimpah ruah,’’ ujarnya.
Tambahnya, satu perkara yang membuatkannya terhutang budi kepada madunya adalah ketika mereka melahirkan anak pada hari sama enam tahun lalu.
‘‘Saya tak boleh lupa sehinggakan doktor yang menyambut bayi-bayi lelaki kami juga tertawa. Kami melahirkan anak pada 31 Ogos 2010.
‘‘Ketika usia bayi tiga bulan, saya dimasukkan ke hospital kerana menjalani pembedahan. Nik Noor Syuhada bersengkang mata menjaga dan menyusukan bayi saya. Seolah-olah dia mendapat bayi kembar. Saya sangat menghargai pengorbanannya itu,’’ katanya yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan sebelum mendirikan rumah tangga pada 2002.
Sementara itu, bagi Nik Noor Syuhada pula, dia hanya mengetahui penyebaran foto berkenaan dalam laman sosial menerusi kakaknya kerana tidak mempunyai akaun Facebook.
Wanita kelahiran Kubang Kerian, Kelantan itu berharap masyarakat dapat menerimanya dari sudut positif.
‘‘Sebagai isteri kedua, kena banyak mengalah dan hormat. Saya tidak menganggap Syarifah Nor Fadhilah sebagai madu tetapi lebih kepada seorang kakak. Pergi ke mana-mana bersama, membeli belah dan rasa seperti kawan-kawan sahaja,” katanya.
‘‘Perkara yang jadi keutamaan adalah menjaga sensitiviti antara satu sama lain dan tidak perlu hendak tunjuk kemesraan bersama suami di hadapan khalayak,’’ katanya.
Sementara itu, Muhammad Faiz yang juga Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota berkata, perkara paling dibimbangi isteri pertama untuk berpoligami adalah kekurangan kasih sayang daripada suami dan diabaikan.
‘‘Saya berjanji pada diri sendiri tidak akan abaikan amanah Allah SWT ini dan sentiasa melakukan yang terbaik walaupun dalam kesibukan tugas seharian.
‘‘Walaupun beristeri dua, tugas mencari rezeki biar saya seorang yang usahakan kerana itu adalah tanggungjawab saya. Tugas isteri adalah menguruskan anak-anak dan menjaga rumah tangga,’’ ujarnya.
Ditanya apakah dia berhasrat untuk melengkapkan ‘kuota’ lelaki Islam iaitu dibolehkan beristeri empat, Muhammad Faiz berkata, cukup baginya beristeri dua namun tidak menolak jika ditakdirkan begitu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan