Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/07/2016
Tiada beban, batu pula hendak digalas, begitulah ibaratnya yang tepat ditujukan bagi lelaki yang ingin berpoligami. Walaupun mampu tetapi perlu juga memikirkan perasaan isteri dan anak-anak seandainya perkara itu benar-benar berlaku.
Disebabkan masalah ini, setengah pasangan sampai sanggup berpura-pura bahagia di hadapan anak-anak, sedangkan hakikatnya hubungan mereka bagaikan retak menanti belah.
Jangan ingat anak-anak tidak faham kerana mereka menjadi pemerhati tetap hubungan ibu dan ayah dengan harapan kasih sayang itu kekal hingga ke syurga.
Inilah kisah yang saya pilih minggu ini, kiriman seorang remaja berusia 19 tahun, anak sulung sepasang suami isteri yang sedang menghadapi masalah rumah tangga kerana suaminya ada perempuan lain.
Kita ikuti cerita Nili (bukan nama sebenar), anak sulung daripada dua beradik yang kini sedang bersedih kerana ibu dan ayahnya sudah tidak sehaluan lagi.
“Saya anak sulung. Adik saya berusia 15 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya sudah masuk kolej dan kini berada di tahun kedua.
“Kami mempunyai ibu bapa yang sangat penyayang, mengambil berat dan sangat sayangkan kami dua beradik. Ayah seorang usahawan berjaya, ibu pula membuka bisnes sendiri.
“Kehidupan mereka sangat sibuk, sampaikan tidak ada masa untuk kami dua beradik. Tapi nasib baik saya dan adik tinggal di asrama, jadi kami tidak begitu terasa diabaikan oleh mereka.
“Ayah mempunyai ramai kenalan wanita, daripada klien sampailah kepada teman wanita. Terkini, saya dapat tahu ayah mempunyai kekasih. Biasalah bila ada duit ringgit, harta kereta mewah, ramai yang menghimpit.
“Saya perasan perubahan ayah. Dia dan ibu tidak lagi berkomunikasi dengan baik. Masing-masing buat hal sendiri apabila di rumah, tidur juga di lain-lain bilik. Saya tidak tahu kenapa tetapi saya yakin, ibu merajuk kerana ayah ada teman wanita lain.
“Satu hari saya terdengar ayah berterus terang dengan ibu tentang kekasihnya itu. Ayah minta izin ibu untuk berpoligami. Saya dengar ibu melenting dan marahkan ayah.
“Kata ibu, ayah tidak sedar diri, masa senang cari wanita lain, masa susah ibu yang tolong. Macam-macam lagi ibu ungkit. Ayah cuba memujuk ibu tetapi gagal.
“Ibu bagi kata dua, pilih perempuan itu atau ibu, jika ayah hendak juga bernikah dengan kekasihnya itu, ibu akan minta cerai. Itu keputusan ibu kerana dia tidak mahu dimadu.
“Air mata saya menitis ketika mendengar ibu berkata demikian kepada ayah. Saya sangat sedih. Kenapa harus jadi begini, sedangkan selama ini ayah dan ibu baik-baik sahaja.
“Saya tidak tahu nak buat apa. Saya tanya ibu, dia mengaku akan bercerai dengan ayah jika ayah tetap ingin teruskan hajatnya bernikah dengan perempuan itu. Ibu tidak mahu kongsi kasih sayang ayah dengan perempuan lain.
“Saya sebenarnya sangat sedih. Saya ingin pujuk ibu supaya jangan bertindak melulu, tetapi saya tahu hati ibu sudah hancur. Kepercayaan ibu terhadap ayah sudah hilang. Ayah mungkir janji. Ayah tidak setia. Itu yang ibu marah.
“Bagaimanapun, saya masih belum putus harapan. Saya bercadang berjumpa nenek sebelah ayah untuk meminta bantuan memujuk ibu dan ayah supaya jangan bercerai. Saya yakin ibu dan ayah akan mendengar cakap nenek.
“Tetapi saya juga tahu, kalau ayah sudah buat keputusan untuk menikah dengan kekasih baharunya itu, tidak ada siapa boleh menghalang. Hanya Allah sahaja yang boleh membalikkan keputusan ayah.
“Saya sudah bercakap dengan ayah dan dia meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya. Kata ayah, ibu sudah lama mengabaikan ayah, makan minum ayah tidak dijaga kerana sibuk dengan bisnesnya.
“Ibu pula salahkan ayah sebab dah kaya dan hidup mewah, cari perempuan lain, lupa jasa ibu membantunya semasa susah dahulu. Tidak tahu saya bagaimana hendak selesaikan masalah mereka.
“Apapun saya tidak pernah jemu berdoa kepada Allah supaya ada keajaiban akan berlaku dalam hubungan kedua-dua orang tua saya ini. Saya sangat berharap mereka akan terus kekal bersama.
Saya tidak mahu mereka berpisah.
“Saya harap ayah dan ibu terbaca catatan ini dan faham dengan hajat saya. Selamatkanlah rumah tangga ayah dan ibu...,kasihani kami dua beradik. Kasihan adik yang masih belum memahami keadaan. Saya takut pelajarannya terjejas.
“Saya harap ayah dan ibu ingatkan balik masa bahagia dahulu, 19 tahun sudah berlalu, takkan hendak dibuang begitu sahaja saat manis itu. Semua orang buat silap. Bagilah ayah peluang kedua.
“Saya ingin melihat kebahagiaan hidup kami berempat seperti dahulu semula. Semoga Allah makbulkan doa saya, mudah-mudahan doa saya diterima oleh Allah SWT di bulan baik dan mulia ini,’’kata Nili menamatkan ceritanya.
Cerita Nili memang banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Kebanyakan pasangan suami isteri mengambil sikap berdiam diri. Saya kagum sebab Nili faham akan masalah rumah tangga ayah dan ibunya.
Apapun, Nili kena banyak bersabar, doa jangan putus. Jaga adik elok-elok dan selalulah berbual dengan ibu dan ayah untuk mengambil hati mereka semula. Nili kena ingat, biar ibu dan ayah selesaikan masalah mereka. Sebagai anak jangan putus berdoa.
Cadangan Nili untuk meminta bantuan nenek juga satu idea yang bernas. Tak cuba tak tahukan? Allah juga suruh kita berusaha. Doa yang baik, fikir yang baik, yang datang juga nanti, insya-Allah yang baik-baik.
Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, lapangkan hati, lapangkan minda, setiap masalah akan ada jalan keluarnya. Bersabar dan bertabahlah. Ingat satu perkara, Allah ada. Dia Mendengar dan Melihat.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan