Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/06/2016
MEMANG lumrah harta kekayaan menjadi perhatian apabila hendak memilih calon menantu. Walaupun tidak semua, ia berlaku di dalam kehidupan kita hari ini.
Bukan niat mengaibkan keluarga sendiri tetapi sebagai iktibar untuk pedoman kita bersama. Jangan sesekali memilih kekayaan kerana ada kalanya budi bahasa lebih berharga daripada itu semua.
Inilah kisah yang saya pilih minggu ini. Kisah benar yang diceritakan seorang isteri, Atira (bukan nama sebenar) yang memilih lelaki biasa sebagai teman hidup, sedangkan dia anak orang berada.
Ini ceritanya.
“Saya berusia awal 30-an, telah lima tahun berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia tiga tahun. Rumah tangga saya bahagia walaupun suami hanya seorang kerani di peringkat awalnya.
“Kami menghadapi banyak ujian sebelum dan selepas berkahwin kerana suami orang kebanyakan. Saya anak orang berada dan ada gelaran di pangkal nama. Tapi saya tak kisah.
“Saya kenal suami kerana belajar di sekolah menengah yang sama. Sayangnya dia gagal ke menara gading kerana terpaksa bekerja untuk menanggung keluarganya.
“Hubungan kami tidak putus. Saya berhubung dengannya walaupun saya belajar di luar negara. Selesai belajar, saya balik. Dia setia menunggu saya. Kami menyambung kasih kami dan mengambil keputusan bernikah walaupun dia hanya bekerja sebagai kerani.
“Ayah membantah, begitu juga mak. Malah adik beradik saya semua menentang hajat saya dengan alasan kami tidak setaraf dan dia tidak layak menjadi suami saya.
“Apabila saya ugut untuk kahwin lari, ayah benarkan saya kahwin dengan suami. Alhamdulillah. Majlis tidak meriah seperti kakak dan abang saya. Tapi saya tidak kecil hati.
“Setahun lebih berkahwin, suami berhenti kerja dan membuka bisnes sendiri yang ada kaitan dengan tugasnya sebelum itu. Di peringkat awal, kami menghadapi masalah kewangan. Tetapi suami seorang yang sangat sabar.
“Dia bersungguh-sungguh melakukan kerja dan berusaha mendapatkan projek untuk mengembangkan bisnesnya. Saya pula membantu dia mana yang boleh. Dengan pendapatan sebagai lulusan luar negara, saya tidak ada masalah untuk membantunya.
“Alhamdulillah dalam tempoh tiga tahun, bisnes suami menampakkan kejayaan. Syarikatnya mendapat perhatian ramai sebab mereka yang kenal dengan suami akan datang kepadanya untuk mendapatkan khidmatnya.
“Daripada menyewa sebuah kedai kecil akhirnya suami sudah mampu menyewa rumah kedai yang lebih selesa. Begitulah seterusnya hingga akhirnya dia berjaya membeli bangunan sendiri.
“Ayah dan keluarga saya yang dahulunya tidak setuju mula buka mata. Mereka nampak suami sungguh-sungguh membina kehidupan kami anak beranak.
“Secara automatik layanan terhadap suami juga berubah. Kalau dahulu mereka tidak pedulikan suami, sekarang merekalah yang beria-ia menyapa dan menyuruh kami selalu datang ke rumah.
“Ayah sangat gembira kerana kawan-kawannya kenal syarikat suami saya. Bila suami datang, cerita ayah hanya mengenai syarikat milik sua mi.
“Begitu cepat manusia berubah. Tetapi suami saya tidak pernah ambil hati dengan sikap keluarga saya kepadanya sebelum ini. Walaupun dia tahu orang tidak suka, dia tidak pernah menolak untuk datang jika ada kenduri-kendara di rumah keluarga saya.
“Kadang kala saya kasihan kepadanya tetapi saya tahu dia sangat tabah. Sekarang, suami adalah orang yang paling disayang dan dipuja dalam keluarga saya. Tidak seperti dahulu, dihina dan dikata.
“Allah Maha Kaya, semua ini berkat kesabaran suami dan saya juga. Kami tidak peduli apa orang nak kata. Saya tidak ambil kisah kata kawan-kawan yang saya bodoh bernikah dengan kerani, sedangkan saya anak orang berada dan ada nama.
“Yang penting bagi saya, dia boleh menjaga dan mendidik saya dengan baik untuk menjadi isteri dan ibu solehah. Alhamdulillah, kini kami sangat bahagia.
“Walau sejauh mana sekalipun kita pergi, kalau ada jodoh, tidak ke mana. Semoga Allah pelihara kebahagiaan kami hingga ke syurga!” kata Atira di akhir ceritanya.
Syabas kepada Atira kerana setia dengan janjinya. Ketegasan Atira juga mendorong kepada kebahagiaan yang dinikmati sekarang. Sudah terbukti, harta benda dan kekayaan bukan alasan untuk bahagia tetapi keikhlasan menerima seseorang.
Kepada ibu bapa yang terlalu memilih, elok ambil cerita Atira sebagai iktibar. Biarlah anak-anak membuat pilihan, kita sebagai orang tua hanya perlu berdoa dan menasihatkan agar mereka sentiasa di dalam rahmat Allah.
Menutup kaya, sepatah pesanan saya, hidup ini sangatlah sederhana, kita yang merumitkannya. Pilihlah jalan mudah dan baik, insya-Allah yang dapat juga baik-baik belaka.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan