“Ada wanita yang rela dimadu, ada yang enggan dan akhirnya mengambil keputusan memutuskan ikatan pernikahan yang telah dibina kerana kecewa dengan sikap orang tersayang yang menduakan kasih.
Namun hidup mesti diteruskan walau dalam apa juga keadaan, dengan harapan ada cahaya bahagia menanti di hadapan. Inilah kisah yang dipilih minggu ini.
Pengakuan ikhlas seorang isteri yang hanya mahu dikenali sebaga Mira (bukan nama sebenar) yang sangat kecewa dengan keputusan suaminya bernikah dengan rakan sekerjanya.
Ini cerita Mira.
“Saya berusia awal 40-an, mempunyai dua orang anak perempuan berusia 14 dan 11 tahun yang masih sekolah. Suami saya seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan.
“Saya juga seorang penjawat awam. Tapi kami tidak kerja setempat. Saya mempunyai seorang rakan baik bernama Yati (bukan nama sebenar) bekerja satu jabatan dengan suami.
“Hubungan kami macam adik beradik. Yati tidak berkahwin dan masih bujang sampai sekarang setelah dua kali putus tunang. Saya tidak pernah menaruh perasaan buruk terhadap Yati walaupun dia sangat rapat dengan suami saya.
“Setiap hari, Yati menumpang kereta suami ke tempat kerja kerana kami tinggal berdekatan. Saya memandu sendiri ke pejabat. Tetapi bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan daun. Saya mula mendengar banyak cerita tentang Yati dan suami.
“Tambahan pula sejak kebelakangan ini, Yati jarang-jarang pula datang ke rumah. Jika tidak, boleh dikatakan setiap hari dia akan bertandang di rumah kami. Balik kerja singgah di rumah saya. Selepas solat dan makan malam baru dia balik ke rumahnya.
“Tetapi saya tidak luahkan kepada suami sebab tidak mahu dia syak apa-apa. Ada yang kata mereka telah berkahwin, cuma tidak tinggal sebumbung. Cerita ini sampai ke pengetahuan ipar duai saya yang terus bertanyakan saya untuk kepastian.
“Bagaimana saya hendak bagi kepastian, sedangkan saya tidak tahu. Suami macam biasa sahaja. Balik kerja tepat pada waktunya. Malam tidak keluar rumah. Hujung minggu banyak menghabiskan masa di rumah dengan saya dan anak-anak.
“Tetapi saya perasan satu perkara, Yati tidak lagi singgah ke rumah saya sejak enam bulan kebelakangan ini. Sampai dari pejabat terus ambil kereta dia, balik ke rumahnya.
“Saya cuba cerita dengan suami tentang perkara ini. Saya tanya dia kenapa Yati tiba-tiba berubah? Ada dia cerita apa- apa. Suami kata tidak tahu. Dia minta saya jangan risau perkara itu kerana katanya mungkin Yati ada masalah.
“Saya mula tidak percayakan suami. Sebab dia asyik minta saya jangan bercakap lagi tentang Yati. Saya tidak sedap hati. Mesti ada sebab kenapa Yati boleh berubah.
“Satu hari, tergerak hati saya untuk mengintip mereka. Mana tahu kalau mereka mempermainkan saya. Saya hendak mencari bukti akan kata-kata orang yang saya dengar.Satu pagi, saya tidak terus ke pejabat tetapi menunggu di simpang jalan untuk mengekori mereka.
“Seperti diharapkan, saya nampak kereta suami keluar dari kawasan taman perumahan kami. Yati ada di dalamnya. Mereka nampak gembira dan sangat mesra. Saya mula syak.
“Mereka singgah minum di sebuah restoran mamak terkenal di pinggir jalan besar menghala ke bandar. Saya tunggu jauh dari restoran itu takut mereka nampak. Dalam setengah jam mereka bergerak semula tetapi tidak ke arah pejabat tetapi berpatah balik ke kawasan perumahan kami.
“Jantung saya bergerak kencang, air mata saya bergenang. Saya bimbang apa yang saya takut dan dengar selama ini menjadi kenyataan. Mereka masuk ke rumah Yati berdua-duaan, macam pasangan suami isteri.
“Saya menunggu dalam 15 minit, kemudian masuk ke kawasan pagar rumah, mujur pintu pagar tidak berkunci. Pintu rumah juga tidak bertutup. Saya mendengar suara mereka ketawa dari dalam bilik. Saya tidak tunggu lama, terus terjah dan menjerit memanggil nama suami. Apa lagi, lintang pukang Yati lari menyorok.
“Tetapi mereka tidak boleh buat apa lagi, saya sudah ada di depan mereka. Saya sudah lihat lakonan mereka selama ini. Air mata saya berlinangan di pipi..saya menangis sunguh-sungguh hati.
“Ceraikan saya, jika dia yang abang pilih. Saya tidak mahu bermadu. Terima kasih Yati, sebab buat aku begini. Selama ini, aku percayakan engkau tapi ini balasan kau kepada aku, kata saya tegas. Kemudian saya keluar dari rumah itu. Kata-kata orang sudah terbukti. Mereka mempermainkan saya selama ini. Sampai hati mereka! Saya macam orang bodoh termakan dengan lakonan mereka.
“Saya ambil cuti kecemasan. Saya bawa anak-anak balik kampung. Saya mahu cari ketenangan. Saya mahu lupakan semua perkara yang berlaku. Saya tidak akan berpatah balik. Saya mohon diceraikan. Semoga Allah bagi saya kekuatan,’’ pinta
Mira menutup ceritanya.
Jangan terlalu percaya kepada kawan, sebaik mana pun seseorang kawan itu dia tetap manusia. Hati dan perasaan boleh berubah tanpa kita duga.
Inilah harga yang perlu dibayar oleh Mira dalam persahabatannya dengan Yati. Apapun keputusan Mira, marilah kita doakan agar dia sentiasa di dalam rahmat Allah dan bahagia hidupnya di dunia dan akhirat.
Mengundur diri, pesanan saya, jangan bersedih jika kecewa kerana Allah tidak akan membiarkan hambaNya terus bersedih dan akan menggantinya dengan bahagia.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan