Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 21/07/2016
Tidak dinafikan amalan berpoligami menjadi idaman sebahagian besar lelaki namun tidak semua antara mereka yang dipilih. Hanya golongan berkemampuan dari segi zahir dan batin dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada satu. Itu pun mahkamah yang akan menentukan.
Tambahan pula rata-rata isteri zaman sekarang enggan bermadu meskipun berpoligami adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW yang sepatutnya diraikan. Siapa yang tidak bangga ada dua atau tiga isteri lebih-lebih lagi jika si suami berjaya memastikan kehidupannya bersama isteri-isterinya sentiasa bahagia, tenang dan damai.
Namun begitu ada juga yang berpoligami tetapi hidup mereka porak-peranda kerana isteri-isteri enggan berkongsi kasih. Itu yang ada satu kisah, suami terpaksa duduk di kawasan rawat dan rehat (R&R) pada hari raya pertama kerana tidak tahu hendak balik rumah siapa. Sebabnya isteri pertama dan kedua enggan mengalah.
Amalan berpoligami ini sungguh indah tetapi keindahan berpoligami tetap bergantung kepada kemampuan suami bukan sahaja dari sudut zahir mahupun batin malah kefahaman mereka terhadap agama.
Penulis sebenarnya sengaja menjadikan poligami sebagai topik Kalam pada minggu ini memandangkan terdapat beberapa viral foto suami yang berpoligami merakamkan detik-detik kegembiraan Aidilfitri bersama isteri-isteri serta anak-anak mereka pada hari raya pertama baru-baru ini.
Sejuk mata memandang tatkala melihat gambar-gambar tersebut. Antaranya penulis menerima sekeping foto seorang suami mempunyai empat orang isteri bergambar bersama anak-anak mereka yang jumlahnya lebih 15 orang dan semuanya memakai warna sedondon. Gambar itu diberikan oleh rakan Facebook penulis.
Secara peribadi penulis percaya suami tersebut bukan calang-calang lelaki. Malah penulis cukup yakin yang dia dalam kalangan orang berilmu dan beriman.
Cuma penulis kurang senang apabila menerima sekeping foto seorang lelaki lain yang
mempunyai dua isteri melalui aplikasi WhatsApp. Foto tersebut menunjukkan kedua-dua pipinya dicium oleh isteri pertama dan keduanya. Foto itu kemudian menjadi viral dan telah mengundang pelbagai reaksi.
Bagi penulis sebaik-baiknya foto sedemikian tidak wajar dirakamkan apatah lagi dikongsi dengan orang awam.
Tidak salah untuk bergambar bersama isteri-isteri tetapi biarlah sesuai dengan syariat Islam. Ini bukan soal halal atau haram tetapi lebih kepada menjaga adab dan akhlak. Islam amat menitikkan perkara ini. Penulis ingin bertanya apa tujuan sebenarnya lelaki berkenaan berbuat demikian?
Pelbagai telahan, tafsiran dan andaian boleh dibuat oleh orang di luar sana apabila melihat gambar tersebut. Mereka tidak tahu apa niat sebenarnya lelaki itu. Untuk makluman, pengertian menjaga agama itu cukup luas dan salah satunya sentiasa menjaga adab dan akhlak termasuk melibatkan hubungan antara suami isteri.
Perlakuan seperti ciuman atau tingkah laku mesra apatah lagi hubungan intim suami isteri adalah menjadi rahsia bagi kedua-duanya dan bukannya untuk menjadi tontonan kepada orang lain.
Begitu juga dengan trend suami isteri yang merakamkan gambar mereka yang boleh diistilahkan kemesraan melampau. Gambar ini kemudian dimuat naik di media sosial seterusnya menjadi viral. Mungkin mesej foto tersebut adalah untuk menggambarkan kebahagiaan mereka. Gambar yang seperti ini juga amat dilarang dalam Islam kerana perlakuan yang seperti itu bukan untuk dipertontonkan walaupun hubungan suami isteri adalah halal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan