“ANDA tergolong wanita yang bertuah jika suami anda bukan kaki perempuan, tidak bercakap bohong dan bertanggungjawab kepada anak-anak dan isteri. Kalau sesekali dia suka keluar makan dengan rakan-rakan sekerja, anda lepaskanlah kerana dia masih sayangkan anda dan anak-anak. Tetapi jika dia berubah lebih sayangkan kawan daripada keluarga, anda mesti berhati-hati. Sebab jika tidak ditegah dari awal, sikap seperti itu boleh hancurkan rumahtangga anda.
“Saya bercakap dari pengalaman, dulu ketika ada dua orang anak, suami saya punyalah baik, setia dan amat bertanggungjawab, tetapi setelah dapat kawan yang agak ‘mereng’ otaknya, suami saya Ezzwan bertukar 360 darjah, dia terikut-ikut dengan perangai kawannya. Pada dia kawan yang terbaik, sedangkan isteri cuma perhiasan rumah.’’ Itu cerita Maryati dalam e-melnya.
“Oleh kerana awalnya dia baik, saya kurang bertanya ke mana dia pergi dan dengan siapa. Sebab dia jujur. Apa berlaku di luar dia akan beritahu saya Tetapi setelah kawan lebih penting daripada anak isteri saya mula risau Bila saya tanya dia mula meninggi suara dan tuduh saya sekat pergerakannya dan jadi queen control.
“Saya katakan kalau berubah jadi orang masjid atau surau saya tak larang, tetapi jadi kaki rambu ramba, setiap minggu tentu tak baik. Mulanya saya fikir kawan cuma lelaki, tetapi entah masa bila tetiba ada pulak kawan perempuan.
“Awalnya memang saya tak tahu, tetapi kawan dia sendiri bongkar rahsia. Malangnya bila tanya, Ezzwan tak penah mengaku, mula tuduh saya kaki cemburu, suka serkap jarang, suka dengar cerita orang untuk memburukkan maruah suami.
“Apa yang pelik salah seorang kawan Ezz bagi tahu saya nama teman wanita Ezz, dan di mana mereka suka lepak. Hairan juga, kenapa kawannya bersungguh-sungguh membongkar rahsia Ezz. Adakah mereka sudah bergaduh atau ada masalah lain.
“Kerana ketika itu perasaan ingin tahu info yang diberi, saya pergi ke tempat yang diberitahu. Sah, mereka sedang berdua-duaan dalam bilik hotel bajet. Ezz, cuma pakai tuala saja bila pintu yang saya ketuk dibuka. Jelas mereka sedang berasmara dana. Ezz terkejut. Dia memang marah, tapi dia tarik tangan saya masuk bilik, dan terus terang tanya apa saya mahu, dia boleh ceraikan saya ketika itu juga. Katanya kalau saya nak report silakan, pada siapa pun dia tak takut sebab mereka memang nak kahwin.
“Oleh kerana terkejut dan marah, saya mengamuk dan menangis. Hasilnya ketika itu juga saya diceraikan. Seminggu selepas peristiwa itu, Ezz balik ambil pakaian dan serahkan surat cerai. Mudah sungguh . Keputusannya muktamad. Menangis air mata darah pun saya sudah bergelar ibu tunggal. Takdir sudah tidak boleh diubah lagi, sudah ketentuan Allah jua.
“Berbulan saya menangis mengenangkan nasib, tak sangka saya boleh diceraikan dalam sekejap masa. Emak datang duduk sebulan di rumah tenangkan hati saya. Kata emak, kuasa cerai di tangan lelaki kalau dia dah tak suka jangan merayu. Pandai-pandailah bawa diri, jaga anak-anak mungkin ada baiknya kemudian hari. Tetapi saya tak boleh sabar, saya merayu Ezz, minta dia pulang dan fikirkan anak-anak. Keputusan Ezz muktamad dan mereka akan berkahwin sebab wanita itu takut rahsia terbongkar, kerana saya terjumpa mereka berdua-duaan dalam bilik hotel.
“Lebih setahun saya hidup merana, anak-anak terbiar, nasib kakak saya yang belum berkahwin mahu datang membantu tinggal bersama di rumah sewa saya. Ketika itu Ezz sudah pun berkahwin. Tetapi Allah Maha Besar, Allah Maha Kaya, pepatah orang tua-tua ada berkata, `bangkai gajah tak boleh ditutup dengan nyiru.” Tanpa disangka, keburukan terserlah juga.