Selasa, 13 Oktober 2015

Akhirnya saya ceraikan kedua-dua isteri

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 10/10/2015

KEBANYAKAN orang selalu berkata isteri muda sangat beruntung kerana disayangi suami berbanding isteri pertama sementara isteri pertama pula menyifatkan mereka sangat tidak bernasib baik kerana selalu disisih suami.

Sama ada benar atau tidak, setiap orang mempunyai persepsi sendiri tentang hidup berpoligami sementara isteri pertama pula berkata, mereka selalu diabaikan suami selepas dimadukan.

Mana satu yang betul sukar dibuat penilaian kecuali mereka yang melaluinya. Ingin tahu lebih lanjut tentang perkara ini, saya paparkan kisah kiriman Azlan (bukan nama sebenar), lelaki yang mengaku berpoligami tetapi menyesal dengan tindakannya kerana tidak mampu berlaku adil kepada kedua-dua isterinya.

Saya paparkan kisah Azlan untuk dihayati bersama.

“Saya seorang pegawai kerajaan berusia 40-an dan mempunyai dua orang isteri dan empat orang anak. Dengan isteri pertama saya mempunyai tiga orang anak dan dengan isteri kedua seorang anak.

“Keempat-empat orang anak saya berusia dua hingga 15 tahun. Tiga daripadanya sudah bersekolah. Isteri pertama tidak bekerja tetapi isteri kedua bekerja di sebuah jabatan kerajaan juga seperti saya.

“Saya bernikah dengan isteri pertama bernama Ami (bukan nama sebenar) atas kehendak keluarga. Ami orang kampung dengan saya. Sementara Zaila (bukan nama sebenar) saya kenali semasa menghadiri kursus di Pulau Redang lebih lima tahun lalu.

“Saya bernikah dengan Zaila kerana cinta yang mana sebelum ini tidak pernah saya rasa. Kami bercinta selama enam bulan sebelum saya mengambil keputusan melamar dan menjadikan dia isteri saya yang sah tanpa keizinan isteri pertama.

“Bagaimanapun, bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan sehelai daun. Akhirnya rahsia terbongkar juga apabila Ami berjaya mengesan kecurangan saya. Memang saya bukan lelaki yang bijak bermain dengan kata-kata dan tidak pandai berlakon.

“Saya tidak pandai membahagikan masa antara isteri pertama dan kedua, juga dengan anak-anak. Ami pula mengongkong saya dan Zaila terlalu mendesak. Keadaan ini menjadikan saya serba salah.

Isnin, 12 Oktober 2015

Rimas keluarga sebelah suami

Asyik bertandang ke rumah sehinggakan tiada privasi

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 07/10/2015


“Mungkin pendedahan yang akan dilakukan ini mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada pembaca. Ada yang akan mengatakan saya isteri serta kakak ipar yang kedekut, berkira dan sebagainya kerana rasa rimas apabila adik-adik ipar dan kaum keluarga sebelah suami asyik datang ke rumah.

“Namun, bagi saya rasa rimas ini memang akan hadir setiap kali mereka datang, malah semakin hari semakin semak saya memikirkannya. Saya rasa seperti ingin keluar dari rumah setiap kali mereka datang bertandang,” kata Mastika, seorang rakan kepada suami apabila berpeluang bertemu dengannya baru-baru ini.

Menurut Mastika, dia dan suami telah berumah tangga sejak empat tahun lepas dan dikurniakan dua cahaya mata comel. Keluarga mentuanya menetap di sebuah negeri di utara.

Suaminya, yang merupakan seorang anak sulung, mempunyai lima orang adik perempuan yang masih lagi belajar di sekolah menengah, menuntut di kolej dan universiti.

Manakala Mastika pula merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik yang berasal dari Kuala Lumpur.

Kata Mastika, sebelum berkahwin dia memang mengetahui suaminya merupakan seorang anak manja, malah adik-adik yang lain turut bermanja dengannya. Mereka adik-beradik memang tidak boleh berpisah dengan ibu dan ayah, namun itu semua tidak menjadi halangan cintanya kepada suami.

“Selepas kami berkahwin, saya dan suami berpindah ke sebuah rumah yang agak selesa di Damansara. Jarak kedudukan rumah dengan tempat tinggal ibu dan ayah saya juga tidak jauh, hanya 10 minit sekiranya berkereta.

“Pada bulan pertama perkahwinan kami, setiap dua minggu sekali, ayah dan ibu mentua akan datang menjenguk kami ke rumah dan duduk di rumah kami selama tiga hari, bermula dari malam Jumaat dan malam Isnin mereka akan pulang menaiki bas ekspres. Adakalanya mereka juga akan datang berkereta.

“Waktu ini memang saya rasa seronok, ada juga orang yang datang menjenguk. Mentua tinggal lama pun tidak mengapa kerana saya faham perjalanan pergi dan balik mereka agak jauh. Lagipun ibu dan bapa mentua sangat baik dengan saya.

Ahad, 11 Oktober 2015

Keganasan rumah tangga di usia lanjut

Perlu muhasabah diri dan berpijak di bumi nyata

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 08/10/2015

Agak mengejutkan apabila membaca statistik yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai 3,343 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, 279 kes daripadanya melibatkan pasangan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan sebanyak 572 kes lagi melibatkan mereka yang berumur 46 hingga 59 tahun.

Statistik berkenaan didedahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015, baru-baru ini.

Jika dilihat daripada nilai-nilai normal masyarakat, pada umur lanjut seperti ini, sepatutnya mencerminkan sikap kematangan berfikir dan sudah tentu tidak timbulnya isu-isu yang membabitkan pergolakan rumah tangga, apatah lagi yang bercorak keganasan.

Pada waktu ini, mungkin perbincangan adalah satu perkara yang boleh memberikan jalan penyelesaian terhadap kes-kes keganasan rumah tangga, namun apa yang terjadi sebaliknya.

Bahkan, diyakini kes-kes seperti ini sebenarnya lebih tinggi, namun mangsa mengambil keputusan enggan membuat laporan kerana tidak mahu mendapat malu dan tidak tahu hendak ke mana sekiranya berlaku perceraian

Selain itu, sesetengah mangsa mungkin turut ‘setuju’ dengan alasan si pelaku (lazimnya suami) bahawa tindakannya mengasari atau mengganas merupakan satu tanggungjawab untuk mendidik isteri.

Menurut Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh, selama ini masyarakat sering mendengar mengenai banyaknya kes-kes perceraian di peringkat usia emas, dan salah satu puncanya ialah pasangan dikasari, sekali gus berlakulah istilah keganasan rumah tangga kepada pasangan yang sudah lanjut usia.

Perceraian membabitkan warga emas biasanya berlaku pada fasa kelima perkembangan keluarga. Pada ketika ini anak-anak sudah dewasa dan keluar rumah sama ada melanjutkan pengajian atau berkahwin, dan masa ini, pasangan suami isteri akan tinggal berdua pada usia emas dan sudah bersara.

Menurut Hushim, jika diperhatikan secara realistik, keganasan rumah tangga pada usia lanjut dihasilkan daripada perubahan emosi yang tidak stabil terhadap pasangan, apatah lagi sekiranya kehidupan pasangan berkenaan pada tahun-tahun sebelumnya tidak bahagia, tetapi diteruskan juga kerana tidak mahu anak-anak mengetahui mengenai sikap baran ayah atau ibu mereka.

Sabtu, 10 Oktober 2015

Adilkah beri harta pada anak perempuan saja?


k

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 04/10/2015

“TIDAK keterlaluan jika saya katakan bukan semua ibu bapa zaman dahulu, sekitar tahun 1950-an, 1960-an dan 70-an suka mempunyai anak ramai, tetapi jika sudah ditakdirkan tidak ada siapa boleh menghalangnya. 

Tetapi ada juga ibu bapa berbangga terutama jika semua anaknya menjadi ‘manusia’ malah bersyukur bila anak-anaknya membantu senangkan hidup mereka.

“Tetapi bukan semua yang diharapkan menjadi kenyataan, ada antara anak-anak ini berjaya, tak kurang juga membawa banyak beban masalah dan merunsingkan hidup ibu bapa sendiri, terutama jika terlibat dengan gejala sosial.’’ itu cerita Zuhir dalam e-melnya.

Pandangan Zuhir senada dengan Kak Long yang juga melahirkan isi hatinya yang kecewa bukan kepada emaknya sahaja, tetapi juga kepada adik-beradik yang tidak bertimbang rasa. 

Mereka berdua Zuhir dan Kak Long mencurahkan isi hatinya sebagai menyahut cerita yang dipaparkan minggu lalu, berjudul “Didiklah anak lelaki hormatkan ibu.’’

Kata Zuhir, setelah jadi ayah kepada empat orang anaknya, dia tahu mengapa emak dan ayahnya berlaku tidak adil kepada anak-anaknya yang seramai lapan orang ini. “Dulu saya hairan mengapa emak ada sikap pilih kasih kepada kami. Sebagai contoh, emak dan ayah lebih sayangkan anak-anak perempuan daripada kami anak lelaki.

“Dalam banyak hal, emak akan ikut apa juga kehendak anak perempuannya, mereka dapat baju raya lebih, sedangkan kami cuma dapat dua pasang saja sedangkan kami lima orang. Kata ayah, kami boleh berkongsi baju dan seluar, sedangkan perempuan tak boleh.

“Kenapa tak boleh? Kalau buat baju kurang tentu boleh kongsi pakai. Tapi kenapa belikan mereka, skirt dan blaus ikut muat-muat badan, tentu tak boleh kongsi, sebab ada yang kurus ada yang pendek. Begitu juga pergi ke sekolah kami lelaki disuruh naik basikal, yang kecil dan perempuan sahaja naik bas sekolah. Mereka pun boleh naik basikal jugak? Itu belum bab belanja sekolah, alat tulis dan sebagainya, semua perempuan dapat lebih.

“Rupa-rupanya bila dah besar baru saya tahu sebab yang perempuan rajin belajar, pandai sekolah. Antara kami lima lelaki, adik lelaki yang kecil aja pandai yang lain cukup-cukup makan. Pandai-pandai kami bawa hal setelah tamat tingkatan 5. Tetapi walaupun lulus SPM abang saya jadi kontraktor kecil buat parit dan longkang, jadi kerani, dan jadi tentera. Dulu emak kata asalkan kami boleh berdikari dan tak menyusahkan emak sudah ok.

“Memanglah kami ok, tepi kami tak puas hati bila emak tak bagi harta sama banyak antara kami adik-beradik. Memang ayah bukan orang kaya, tapi ada rumah teres, ada kebun getah 2 ekar dan rumah kampung seluas 2 ekar lagi. Sedihnya emak ayah beri semua pada anak perempuannya, kami yang lelaki ni melopong tak dapat apa pun. Emak dan ayah bukan orang Negeri Sembilan (maaf) bagi harta pada anak perempuan. Tetapi mengapa tak adil.

Rabu, 7 Oktober 2015

Loya tekak baca mesej isteri muda ayah

Oleh : Malahamzah56@gmail.com
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 05/09/2015


SELALUNYA ruangan ini mendapat perhatian daripada suami atau isteri yang berkongsi kisah rumah tangga mereka tetapi berlainan pula minggu ini apabila seorang anak tampil berkongsi kisah yang berlaku dalam rumah tangga ibu bapanya.

Kata yang mengirim cerita ini, kisah ini bukan untuk membuka pekung di dada atau mengaibkan kaum keluarga tetapi semata mata untuk dijadikan teladan kepada para suami yang ingin berpoligami.

Memang anak-anak boleh menerima kehadiran orang lain sebagai ibu mereka tetapi penerimaan mereka kadang kala berbelah bagi tambahan pula bagi wanita yang berkongsi kasih dengan ibu kandung mereka.

Apa yang dialami oleh Noni (bukan nama sebenar) telah mengguris perasaan dan hatinya tetapi sebagai anak dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berdoa agar terus diberi kekuatan untuk menerima kenyataan hidup.

Ingin tahu apa yang berlaku kepada Noni, kita ikuti ceritanya.

“Nama saya Noni, berusia 23 tahun. Anak bongsu dari adik beradik seramai lima orang, tiga abang dan seorang kakak. Pada mulanya saya agak berat untuk berkongsi cerita ini tetapi apabila difikirkan ia boleh dijadikan teladan kepada pembaca saya setuju berkongsi cerita ini.

“Di mata orang keluarga saya hidup dalam keadaan serba sederhana. Tiga orang abang lelaki telah berkahwin begitu juga kakak.

“Alhamdulillah..semua kakak ipar dan abang ipar sangat baik dengan saya terutama dengan ibu dan ayah. Sebagai anak bongsu dan adik bongsu saya mendapat sepenuh kasih sayang dari seluruh ahli keluarga.

“Ibu seorang yang penyayang. Begitu juga dengan ayah. Didikan ayah yang telah menyebabkan kami semua berjaya dalam kehidupan. Saya pula baru habis pengajian di universiti tempatan sesuatu yang sangat menggembirakan hati ibu dan ayah kerana kesemua anak-anaknya berjaya ke menara gading.

“Namun, pada 2013 semua itu berkecai. Kebahagiaan kami direntap dan hilang dalam sekelip mata. Ayah dalam diam-diam telah berkahwin lain di Thailand.

“Ibu tidak tahu. Rahsia ayah terbongkar ketika abang Lang saya ingin mengecas telefonnya di rumah keluarga saya. Dia dan isterinya datang singgah ke rumah untuk bertanya khabar ibu dan ayah.

“Ayah ketika itu sedang mandi. Telefon ayah ketika itu sedang dicas. Kerana telefon abang Lang hampir kehabisan bateri, abang Lang meminjam pengecas ayah sebentar.

“Allah SWT maha berkuasa. Sebaik sahaja abang Lang cabut telefon ayah dan menggantinya dengan telefon dia, tiba tiba telefon ayah berbunyi tanda mesej masuk. Abang Lang yang tidak mengesyaki apa-apa terus membuka mesej tersebut. Alangkah terkejutnya Abang Lang, bila membaca mesej yang masuk itu.

“Orang yang amat di sanjung dan dihormati oleh kami semua sanggup menipu ibu. Ayat-ayat di dalam mesej tersebut amat meloyakan tekak abang Lang. Dalam diam-diam abang Lang adakan perjumpaan dengan adik beradik yang lain. Saya tidak diajak sama dan langsung tidak tahu tentang kecurangan ayah kepada ibu.

Isnin, 5 Oktober 2015

Istimewanya isteri

Melayan isteri secara terbaik adalah tuntutan Islam 

Oleh DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 September 2015

HUBUNGAN suci suami isteri perlu berasaskan piawaian hukum syarak
HUBUNGAN suci suami isteri perlu berasaskan piawaian hukum syarak agar apabila dilanda badai bahtera rumahtangga tetap utuh - GAMBAR HIASAN
SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca dalam akhbar dan media massa tentang keruntuhan rumahtangga masyarakat Islam. Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan bawahan malah golongan berada juga tidak dapat lari daripada permasalahan ini. Ia juga tidak terhad dalam kalangan orang tidak mempunyai didikan agama malah kumpulan ini juga seringkali terjerat di dalam polemik ini.

Walaupun umat Islam berlumba-lumba mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat terhadap orang lain, tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita. Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa hadis Rasulullah yang menerangkan kepentingan memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya. Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Ingatlah, terimalah wasiatku, gauli wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik.” - Riwayat Tirmizi

Sabda Rasulullah di atas jelas memberi panduan kepada kita tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji telah diberikan garis panduan menanganinya.

Oleh yang demikian melayani isteri dengan cara yang terbaik amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai signifikan amat besar. Tulang rusuk itu sebenar terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki (suami) untuk dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki untuk dipijak atau dihina. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam. Tulang rusuk yang bengkok itu pula simboliknya perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan penuh hikmah agar tidak patah semasa diluruskan.

Ahad, 4 Oktober 2015

Kecewa dengan isteri bengkeng

Selalu diherdik dan dibentak isteri yang panas baran

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 September 2015

Sikap isteri yang panas baran boleh mengeruhkan rumah tangga.-
Sikap isteri yang panas baran boleh mengeruhkan rumah tangga.- Gambar hiasan
Sudah lama lelaki ini memendam perasaan, sudah lama juga dia ingin meluahkan kepada seseorang tetapi tidak berkesempatan, namun menerusi e-mel yang dihantar agak lama dahulu, sekurang-kurangnya dapat memberikan dia sedikit ruang untuk mengendurkan tekanan yang dialami rentetan daripada sikap isterinya.

Mat adalah panggilan buat lelaki ini yang berusia hampir 30 tahun, dan mempunyai dua orang anak, berusia 3 dan 4 tahun. Mat dan isterinya bekerja di sebuah syarikat yang sama.
Memandangkan duduk di Kuala Lumpur ini memerlukan perbelanjaan yang besar, pasangan suami isteri itu duduk sekali bersama mentua, kakak dan abang iparnya.

Menurut Mat, sebelum mereka berkahwin lagi, dia sudah mengetahui perangai isterinya itu yang sangat panas baran. Dibesarkan sebagai anak bongsu dan manja, sudah tentu isterinya, Nana, mendapat banyak perhatian daripada ibu dan ayahnya, yang kebetulan orang berada.

“Saya yang hanya pekerja biasa di sebuah syarikat kecil kepunyaan ayah mentua, tidak menyangka cinta saya akan disambut oleh Nana yang pada ketika itu baru belasan tahun usianya. Malah nasib saya baik kerana kedua-dua mentua merestui perkahwinan saya bersama anak mereka biarpun kami tidak setaraf.

“Dalam bulan pertama hubungan saya dan isteri berjalan lancar. Dia melayan saya dengan baik, biarpun banyak kekurangan dari segi layanan, namun saya terima segalanya memandangkan saya pun tiada kelebihan.

“Masuk bulan kedua, Nana mula menunjukkan belangnya yang suka memberontak dan asyik tidak berpuas hati.

“Pada mulanya saya biarkan saja, kerana berpendapat mungkin pembawaan budak memandangkan pada waktu itu dia mula mengandung. Namun sikapnya semakin menjadi-jadi. Di pejabat dia akan membentak pekerja-pekerjanya, kalau tidak berpuas hati dia akan mencampakkan barangan atau fail di atas meja. Saya hanya mampu melihat dari jauh kerana bekerja di bahagian lain.

Sabtu, 3 Oktober 2015

Pengorbanan yang sia-sia

Ditinggalkan suami walaupun berkorban untuk keluarga 

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 23 September 2015

kapsyen
Berkesempatan melawat rakan yang terlantar di hospital setelah lama tidak bersua, bertukar menjadi sesi ibu tunggal tiga anak itu meluah perasaan.

Rasa terkejut yang amat sangat apabila dia mengakui telah telah bercerai dua tahun yang lalu setelah suaminya beralih arah kepada kekasih lama yang memang sanggup menunggunya sejak zaman persekolahan lagi.

Maria, 44, memberitahu sejak diceraikan suami, dia yang menanggung kehidupan keluarganya. Bukan itu sahaja, dia juga yang menanggung kehidupan bekas ayah dan ibu mentuanya yang tinggal di dalam rumah itu, selain adik iparnya yang mengalami masalah penglihatan.

“Kami membeli rumah itu sejak 10 tahun lalu. Ansuran bulanan saya yang bayar sejak bertahun lalu. Anak-anak kami sudah besar, masing-masing berumur 18, 16 dan yang bongsu 13 tahun.”

“Anak-anak memang di peringkat remaja, semuanya memerlukan duit bagi tujuan pembelajaran mereka. Yang sulung sudah ke kolej, yang kedua akan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) manakala yang kecil masih lagi bersekolah. Adik ipar saya pula memerlukan perbelanjaan untuk ke sekolah khas, manakala ayah dan ibu mentua pula sudah uzur.

“Namun, saya masih bernasib baik kerana mereka berdua ini tidak menyusahkan kerana masih larat untuk berjalan dan menguruskan diri sendiri. Kalau terlantar di katil susah juga kerana memerlukan orang untuk menjaga mereka,” kata Maria.

Dek asyik memikirkan bebanan kewangan menyebabkan dia diserang darah tinggi dan dimasukkan ke dalam wad untuk berehat.

Biarpun begitu, dia tidak sesekali menyifatkan bekas ayah dan ibu mentua serta adik ipar yang tinggal bersamanya membebankan, cuma agak terkilan dengan sikap bekas suaminya yang langsung tiada perasaan untuk menjenguk mereka.

Bukan itu sahaja, nafkah untuk anak-anak dan orang tua itu pun tidak pernah dihulurkan. Kini segala-galanya Maria yang uruskan dari soal duit rumah, belajar, makan sehinggalah perubatan.

“Kehidupan saya agak terhimpit setelah bercerai. Ada yang mengatakan kepada saya kenapa bermurah hati untuk menanggung ayah dan ibu mentua serta adik ipar, sedangkan anak kandungnya selepas kahwin hilang lenyap tanpa berita.

Materialistik, pergaulan 
bebas punca curang

Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Gaya hidup moden, mewah, serta terdedah kepada pergaulan bebas ada kalanya menyebabkan sebuah ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, kasih dan sayang runtuh begitu sahaja.

Menurut Perunding Keluarga di Zura’s Akademik, Faizan Mohd. Nor, peningkatan kes curang saban tahun dalam kalangan wanita dilihat mempunyai hubung kait dengan sikap materialistik masyarakat yang memiliki keinginan menjalani gaya hidup mewah.

Katanya, apabila kehendak dalam kehidupan menjangkaui tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul boleh menimbulkan krisis rumah tangga hingga berlaku kecurangan dalam perkahwinan.

“Apabila semakin tertekan dengan kehendak duniawi yang gagal dipenuhi oleh pasangan, amat mudah bagi mereka mencari jalan pintas dengan menduakan pasangan selagi impian untuk memiliki sesuatu berada di depan mata. Malah saya tidak menolak hubungan itu akan berakhir dengan penceraian,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia berhubung satu siasatan yang dilakukan oleh seorang penyiasat persendirian, Datuk M. Venodevan mendedahkan sekurang-kurangnya 15 peratus suami dan 11 peratus isteri didapati curang dengan pasangan.

15% suami, 11% isteri curang

Siasatan dapati pasangan terlibat berusia antara 40-an hingga 50-an 

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 2o/09/2015

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Hampir 15 peratus daripada golongan suami manakala 11 peratus isteri di negara ini pernah atau sedang berlaku curang terhadap pasangan mereka.

Perkara ini didedahkan oleh seorang penyiasat persendirian, Datuk M. Venodevan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini, berdasarkan pengalaman pihaknya yang diminta untuk menyiasat atau memantau pasangan kepada pelanggan mereka.

Menurut Venodevan, berdasarkan kajiannya, 33 peratus daripada semua kes curang akan berakhir dengan perceraian apabila kecurangan itu terbongkar atau diketahui oleh pasangan.

“Sebagai rujukan dan perbandingan, di Amerika Syarikat, lebih 60 peratus lelaki pernah dan sedang berlaku curang sama ada secara menjalin hubungan sulit dengan perempuan simpanan, melawat pusat pelacuran atau melakukan hubungan seks di luar tabii.

Pasangan suami isteri curang melampau?

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20 September 2015

MUKADIMAH - ALAM perkahwinan pastinya sesuatu yang diimpikan oleh setiap individu.
 Setiap lelaki dan wanita mahu menjadikan pertalian mereka sebagai satu hubungan yang sah atau halal di sisi agama, sekali gus mahu bergelar suami isteri. Bagaimanapun, banyak dugaan atau ujian ditempuhi pasangan dalam mengejar kebahagiaan sejati selepas bernikah. Antaranya, apabila kelakuan si suami atau si isteri berubah tiba-tiba sahaja. Perubahan sikap itu sering kali dikaitkan dengan tabiat yang paling merisaukan iaitu curang. Lebih parah jika kecurangan itu berpenghujung atau bermotif memuaskan nafsu dengan melakukan seks atau maksiat bersama individu lain. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR mencari sejauh manakah kebenaran kes curang ini dalam kalangan pasangan suami isteri di Malaysia. Ia banyak diperincikan menerusi perkongsian oleh seorang penyiasat persendirian, DATUK M. VENODEVAN (gambar).

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Adakah kurang kasih sayang, bosan rutin kehidupan atau terlalu mengikut nafsu? Adakah itu puncanya sehingga sanggup curang kepada pasangan?

Rupa-rupanya janji setia hanyalah kata-kata yang diluahkan oleh pasangan suami isteri pada peringkat awal perkahwinan. Namun, ujian yang mendatang setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga cukup hebat, sehinggakan perasaan dan perlakuan masing-masing berubah.

Dugaan berumah tangga datang pelbagai bentuk dan pasangan perlu bersedia menghadapinya, supaya tidak menjejaskan perhubungan mereka hingga menyebabkan kes perceraian.

Menurut seorang penyiasat per­sendirian, Datuk M. Venodevan berkata, meskipun kes curang melibatkan sama ada yang muda mahupun berumur, tetapi perbuatan tidak setia terhadap pasangan itu dilihat semakin serius dalam kalangan yang berumur antara 40-an dan 50-an.

“Sepanjang pengalaman kami menyiasat kes-kes sebegini, 60 pe­ratus melibatkan si suami manakala 40 peratus wanita yang curang terhadap pasangan mereka dengan menggunakan pelbagai kaedah.

Jumaat, 2 Oktober 2015

1,644 kes keganasan rumah tangga dilaporkan

Oleh : SAIFULIZAM MOHAMAD

sumber : utusan malaysia
tarikh : 01/10/2015

PUTRAJAYA 1 Okt. - Sebanyak 1,644 kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga April tahun ini telah dilaporkan dan daripada jumlah itu, 1,236 kes membabitkan golongan wanita.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah tersebut berdasarkan kepada statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga merupakan rakan strategik kementerian.


Beliau berkata, keganasan rumah tangga tersebut melibatkan penderaan fizikal, mental, seksual, sosial dan ekonomi hingga menyebabkan mangsa mengalami trauma yang rumit.


Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Wanita 2015 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman