Sabtu, 29 Ogos 2015

Waran tangkap ke atas Syarhan

Oleh : MOHD. TAUFEK RAZAK
Sumber : Kosmo
Tarikh : 28/08/2015


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Sya­riah di sini semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengamal perubatan Islam terkenal, Ustaz Sharhan Shafie, 39, selepas gagal mengha­dirkan diri untuk didakwa berhubung tuduhan berkhalwat bersama dua beradik wanita pada 24 Ogos 2013.
Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Zainor Rashid Hassin memaklumkan tentang ketidakhadiran tertuduh di mahkamah.
“Mahkamah bersetuju mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh selepas mendengar permohonan pihak pendakwa,” kata Mohd. Amran.
Turut dikenakan waran tangkap adalah salah seorang wanita yang dituduh berkhalwat itu, Umi Masjuri Hassan, 40, dan penjamin ke­dua-dua beradik tersebut, Mohd. Zainordin Abu Yamin.
Namun, adik Masjuri iaitu Masbelinda Hassan, 21, mengaku bersalah tetapi mahkamah tidak menerima pengakuannya selepas hakim mengumumkan untuk menarik diri daripada mendengar kes khalwat itu.

Ini berikutan Mohd. Amran turut mendengar kes pengesahan status perkahwinan antara Sharhan dan Umi Masjuri yang disebut buat kali pertama kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd Amran membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 terhadap Masbelinda sementara menunggu kes khalwat itu disebut  semula pada 26  November depan.

Bade enggan ceraikan Erma

Oleh : MOHD. TAUFEK RAZAK
Sumber : Kosmo
Tarikh  28/08/2015


Erma (kanan) dan Bade hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam untuk sebutan semula kes penceraian mereka.


KUALA LUMPUR – Suami kepada pengarah dan pelakon, Erma Fatima yang muncul buat kali pertama semalam membe­ritahu Mahkamah Syariah Gombak Timur bahawa dia enggan bercerai walaupun isterinya itu telah memfailkan tuntutan untuk berpisah pada awal Mei lalu.
Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 51, menyatakan demikian ketika hadir pada prosiding se­butan semula kes tuntutan cerai yang tertangguh dua kali sebelum ini kerana ketiadaannya untuk memberikan keterangan.
“Saya tidak bersetuju dengan perceraian ini,” katanya ringkas apabila ditanya Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang sebelum itu telah menegurnya dengan mempersoalkan tentang kegagalannya menghadirkan diri di mahkamah.
Terdahulu peguam syarie, Jamal Mohd. Sulaiman yang mewakili Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmat, 47, bingkas memohon kepada mahkamah untuk mendengar pendirian Bade selepas anak guamnya terpaksa lama menunggu berikutan kegagalan defendan untuk hadir.

Sebaik Bade selesai menyatakan pendiriannya itu, Jamal pantas menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guamnya yang merupakan pelakon dan pengarah filem masih mahu meruskan perceraian ini.

Sehubungan itu, Jamal terus memohon kepada mahkamah agar kes tuntutan cerai oleh anak guamnya selaku plaintif diletakkan di bawah jawatankuasa Pendamai atau diadakan siasatan sama ada wujudnya syiqaq (perselisihan yang berpanjangan dan meruncing antara suami isteri).

 Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan peguam Erma itu dengan mengarahkan agar kedua-dua pihak diminta mengemukakan wakil masing-masing dalam jawatankuasa tersebut apabila kes tuntutan cerai ini disebut semula pada 7  Okttober ini.

Jumaat, 28 Ogos 2015

Kenali personaliti pasangan anda

Sumber: Kosmo
Tarikh : 27/08/2015
Oleh :


Dalam beberapa minggu ini, kita dikejutkan dengan dua kisah suami yang mencederakan isteri.
Salah satunya membabitkan seorang wanita yang cedera parah di tangan kanan akibat ditetak suaminya dalam kejadian di Kampung Kubang Pisang, Rambai, Pendang, Kedah.
Mangsa dilaporkan cuba menenangkan kemurungan yang dihadapi oleh suaminya.
Dalam satu lagi kes di Lahad Datu, Sabah, seorang wanita ditetak di leher oleh suaminya sehingga mati. Kedua-dua kes ini memberikan isyarat betapa konflik rumah tangga dan isu-isu psikologi yang berlaku dalam masyarakat begitu tragis dan menakutkan.
Timbul persoalan, mengapa tindakan yang sebegitu ganas telah diambil oleh suami atau pasangan masing-masing, sedangkan mereka mungkin telah mengharungi kehidupan bahagia sebelum ini? Setidak-tidaknya untuk beberapa tahun awal perkahwinan.
Ada yang berkata bahawa pasangan mereka berubah setelah berkahwin. Suami yang ketika bercinta kelihatannya begitu penyayang mengapa pula berubah menjadi seorang yang sangat ganas?
Isteri yang dulunya mungkin seorang yang lemah lembut, adakah juga bertukar watak daripada seorang biasa-biasa sahaja kepada seseorang yang kuat berleter?
Ada pula yang ketika bercinta sanggup berbelanja dan membelikan apa sahaja untuk pasangannya tetapi berubah menjadi kedekut setelah berumah tangga.
Hakikatnya, tidak ada apa yang berubah. Manusia sebenarnya mempunyai watak dan karakter sejak remaja lagi. Mustahil seseorang itu mula berubah setelah berkahwin.
Apa yang berlaku ketika bercinta, semuanya sangat indah. Orang sanggup berjanji dan berkorban apa sahaja. Mereka sanggup berbelanja besar untuk menarik perhatian pasangan masing-masing.
Dalam kata yang lain, apa sahaja yang dipamerkan adalah hal yang baik dan indah sahaja. Sebaliknya, personaliti atau karakter buruk yang dimiliki telah disembunyikan.

Khamis, 27 Ogos 2015

Manja suami bukan 
serah tanggungjawab

Untuk erat kasih sayang

Bersama Norazman Amat
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 05/08/2015

Nak tergelak pun ada, keliru pun ada. Itulah reaksi tatkala Rohaya (bukan nama sebenar) menceritakan keadaan suaminya. Bahkan mungkin ada yang tak akan percaya bahawa di zaman serba canggih ini, seorang lelaki masih tidak tahu bagaimana hendak mengeluarkan duit di mesin ATM dan mengisi petrol ke tangki minyak kereta.

Awal perkahwinan, bicara Rohaya, dia seboleh-bolehnya cuba memahami keadaan suaminya. Namun kini mencecah enam tahun perkahwinan, keadaan tersebut masih tidak berubah. Katanya, jangan paksa dia melakukan sesuatu yang dia tak tahu.

Alahai pening juga kepala dibuatnya apabila segala urusan yang sepatutnya boleh dilakukan bersendirian oleh suami, tapi tidak mampu untuk dilakukannya. Maka terpaksalah Rohaya menemaninya setiap masa.

Semua ini mungkin berpunca daripada sikap kemanjaan terlampau suaminya terhadap ibu bapanya di zaman bujangnya. Suaminya mengakui, sekalipun dia berkereta untuk pergi ke tempat kerja, tapi minyak kereta akan sentiasa penuh kerana diuruskan oleh ayahnya.

Justeru, dia tidak tahu langsung bagaimana untuk melakukannya tanpa bantuan daripada ibu bapa.

Begitu juga, kad ATM banknya dipegang oleh ibunya. Jadi segala keperluan duitnya, akan diatur oleh ibunya. Bila tiba hari gaji, dia hanya memberitahu ibunya untuk mengeluarkan sejumlah wang yang diperlukan.

Apa yang dia tahu, ibunya telah melakukan segala-galanya termasuklah urusan nafkah Rohaya, pembayaran duit kereta, minyak kereta, perbelanjaan dapur, pakaiannya dan sebagainya. Dia tidak pernah ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang belanja.

Justeru, sebaik berumah tangga, sudah tentu kelakuan si suami mendatangkan rasa pelik pada Rohaya. Pada awalnya, Rohaya hanya menyangka suaminya sekadar ingin bermanja-manja dengannya. Dan Rohaya melayannya.

Rabu, 26 Ogos 2015

Serahkan 'mahkota' demi cinta

Nasi sudah menjadi bubur

Bersama NORAZMAN AMAT
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19/08/2015

Zalina masih berteleku di sejadahnya. Telekungnya hampir basah akibat tangisan kerana menyesali apa yang telah dilakukannya. Berkali-kali Zalina menyalahkan dirinya. Tetapi tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Nasi sudah menjadi bubur. Segala-galanya sudah terlambat untuknya berpatah balik. Dia betul-betul menyesal dan sama sekali tidak menyangka perbuatannya tersasar begitu jauh.

Kalau sebelum ini dia meminta cerai daripada suaminya kerana tindakan suami bermain kayu tiga, tetapi kini dia pula yang terperangkap dalam cinta tiga segi sehingga sanggup melukakan hati seorang perempuan lain. “Ya Allah kejamnya aku!”. Berkali-kali Zalina menyalahkan dirinya.

Ternyata pertemuannya dengan Zali dalam satu majlis telah mendorong hatinya untuk mengenali lebih dekat lelaki itu. Mana tidaknya dengan penampilannya yang nampak ‘warak’ telah ‘mengusik’ emosinya yang sememangnya kesunyian selepas diceraikan.

Sekalipun Zali menjelaskan bahawa telah berkeluarga, namun Zalina tidak kisah. Baginya, kalaulah jodohnya ada dengan Zali, sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang adil kepada isteri-isterinya. Zalina tahu dengan jawatan penting yang disandangnya dalam syarikat, sudah tentu Zali tidak akan menolaknya mentah-mentah.

Ternyata kepercayaan Zalina membuatkan Zali mengambil kesempatan ke atas dirinya. Mana tidaknya, Zalina sanggup berhabisan untuk menambat hati lelaki itu. Dan Zali apa lagi, peluang terhidang di depan mata, maka rugilah kalau tak dikebas! Sehingga akhirnya, Zalina sanggup menyerahkan ‘mahkotanya’ kepada Zali bagi membuktikan cintanya.

Selasa, 25 Ogos 2015

Lebih baik menjanda daripada tersiksa

“DALAM menjalani kehidupan berumahtangga tak semestinya kita dapat apa yang dicita-citakan. Walaupun perkahwinan itu sejak awal lagi berlandaskan dasar cinta sama cinta. Tetapi akhirnya merana juga. Macam cerita Ezzah dua minggu lalu berjudul “Wanita tak akan berjaya jika takut bertindak.” Sanggup menderita kerana sayangkan suami. Tapi diri sendiri susah.

“ Walaupun Ezzah tak bercerai, tetapi kepayahannya mengurus rumahtangga sendirian tanpa bantuan suami si kaki nombor akhirnya membelit diri sendiri, dia terpaksa meminjam kiri kanan untuk bayar sewa rumah dan sebagainya. Matlamatnya, dia takut kena cerai. Itu bukan prinsip hidup saya. Itu pengorbanan sia-sia ’’ Itu cerita Khuzainah dalam e-melnya.

“Pada say,a menurut perintah suami ada had dan batasnya. Selagi suami bertanggung jawab, maka selagi itu dia dihormati dan diikut katanya, tetapi jika dia dah tak kenal anak isteri untuk apa kita bergantung kepada dia lagi?

“Bila baca kisah Ezzah saya bayangkan hidup saya bersama bekas suami saya Wanzi lebih 10 tahun lalu. Kami pun kahwin cinta sama cinta. Tetapi orang lelaki ni (bukan semua), bila isteri dah beranak pinak, pandangannya kepada isteri mula berubah. Dia mula cari orang lain yang jauh lebih cantik pada pandangannya.

“Saya berkahwin ketika berusia 26 tahun, lepas melahirkan anak pertama Wanzi memang baik, melayan saya dan anak dengan cukup sempurna. Tetapi selepas melahirkan anak kedua, enam tahun kemudian dia mula berubah cita rasa. Mula tertarik dengan wanita lebih muda. Mulanya saya tak tahu hinggalah seorang kawan bercerita, sebab dia kasihan lihat saya berhempas pulas sendirian ambil dan hantar anak ke rumah pengasuh, memasak, berkemas rumah dan menjaga anak hingga mereka tidur. Tetapi suami sibuk menguruskan wanita lain yang menjadi kegilaannya.

“Setiap kali balik lewat, alasannya banyak kerja, trafik jam, hujan dan sebagainya, tetapi sebenarnya dia duduk minum-minum, makan-makan dengan kekasihnya. Ceritanya satu pejabat dah tau. Cuma saya yang tak sedar dan percaya katanya.

“Tetapi satu hari, nak dijadi cerita sedang dia bertandang ke rumah kekasihnya, ibu bapa kekasihnya datang ke rumah sewa anaknya. Apa lagi si ayah mulalah buka “kitab tak berbaris” macam-macam dia soal Wanzi. Apa hubungan mereka, kerja kat mana, orang mana, kahwin ke belum. Kerana tak puas hati dengan jawapan Wanzi, si ayah paksa mereka kahwin. Dia tak mahu bersubahat dalam soal maksiat.

Isnin, 24 Ogos 2015

Kemelut gantung tidak bertali

Isteri perlu tahu haknya

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 06/08/2015


Sebenarnya, jika isteri ditinggal langsung oleh suami tanpa sebab dan khabar berita lebih dari empat bulan berturut-turut, isteri telah layak memohon cerai taklik.

Ini diperuntukkan dalam seksyen 50 yang berbunyi:

1. Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

2. Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu.

Dan jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.”

Untuk mendapat cerai taklik, pasangan mesti telah membuat janji atau ikrar di mana suami melafaz taklik selepas majlis akad nikah.

Tujuan taklik adalah untuk menyelamatkan isteri yang digantung tak bertali daripada terus hidup dalam ketidaktentuan.

Bagi membolehkan isteri memohon taklik, suami mesti telah melafaz taklik selepas majlis akad nikah dan isteri mesti telah mendengar taklik yang telah dilafazkan itu.

Talkiq perceraian bersyarat dan suami jika telah melafaz syarat dan apabila isteri melanggar syarat, maka taklik berkuatkuasa.

Selain daripada taklik, mangsa tinggal langsung boleh juga memohon fasakh untuk bercerai kerana ditinggal langsung oleh pasangannya.

Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh diperuntukkan dalam seksyen 53 di mana ada bayak alasan untuk memohon fasakh, namun yang paling relevan adalah seksyen 53 (1) yang berbunyi seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari satu tahun.

Jika dilihat daripada peruntukan taklik dan fasakh maka kemungkinan seorang isteri menderita kerana ditinggal langsung untuk sekian lamanya adalah tipis.

Undang-undang keluarga Islam membuat peruntukan-peruntukkan yang jelas dalam hal ini untuk memastikan isteri tidak ditinggalkan begitu sahaja.

Anak tiri nafikan hak saya sebagai isteri

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 22/08/2015

Bukan mudah untuk memenangi hati anak tiri walau sebaik mana sekalipun perlakuan baik seorang wanita yang menjadi pengganti ibu mereka.

Cerita orang dulu, ibu tiri selalu mendera anak-anak tiri dan menjadikan mereka seperti hamba di dalam rumah kini semakin tidak relevan lagi kerana kebanyakan ibu tiri tahu tanggungjawab mereka apabila mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang sudah mempunyai anak.
Jika pun ada, hanya segelintir, sebab anak-anak sudah boleh menerima kenyataan kehadiran pengganti ibu atau bapa mereka disebabkan keperluan dan faktor gaya hidup bukan untuk merampas apa-apa.

Keadaan itu menjadi lebih sedih apabila ibu tiri disisihkan anak-anak tiri setelah bapa mereka pergi menyambut panggilan Ilahi. Mahu tidak mahu maka si ibu tiri terpaksa kembali kepada hakikat hidup, bersendirian dan kembali kepada keluarga kandung.

Inilah pengalaman yang dilalui oleh Maiza (bukan nama sebenar) yang kini terpaksa menerima kenyataan anak-anak tiri tidak ikhlas menerimanya sebagai teman hidup arwah bapa mereka dulu.
Semuanya kerana wang ringgit dan harta. Dengki dan iri hati dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh arwah bapa mereka kepada ibu tiri.

Dalam pertemuan tidak dirancang dengan saya di satu majlis hari raya baru-baru ini, Maiza berkongsi cerita tentang kehidupannya menjadi ibu tiri kepada anak-anak tiri yang berpelajaran tinggi dan punya kedudukan tetapi tidak matang.

Begini ceritanya.

“Saya berusia 65 tahun, seorang pesara kerajaan dan mempunyai tiga orang anak yang semuanya telah berkeluarga. Setelah kematian suami pertama, saya menikah dengan seorang keluarga arwah yang saya kenal sejak dari zaman kami muda lagi sebab kami satu sekolah.

Suami penentu hala tuju keluarga

Menjadi penghuni syurga atau sebaliknya

Susunan Mohd. Shah Che Ahmad
Tarikh : 19/08/2015
Sumber : Utusan Malaysia

SUAMI gelaran yang mudah disebut dan pastinya diimpikan oleh setiap lelaki, namun tanggungjawab untuk menjadi ketua dalam rumahtangga itu tidaklah semudah disangka.

Bukan sahaja perlu memikirkan hal dalam rumah tangga, malah lebih daripada itu kerana suami juga yang menentukan hala tuju ahli keluarga sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Ini kerana, institusi keluarga yang terdiri daripada anak-anak dan isteri merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT terhadap suami dalam membentuk peribadi mereka untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat kelak.

Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang kasar, bengis (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap (setia) melaksanakan segala yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

Oleh itu, sebagai seorang suami dan bapa, ilmu, daya tahan iman yang utuh, stamina amal yang teguh, kemahiran dan kesabaran dalam mendidik merupakan aspek terpenting dalam membawa keluarga kepada haluan lebih baik.

Terdapat tiga perkara yang perlu diambil kira oleh ketua keluarga iaitu memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga; menjaga dan memelihara anak dan isteri serta menghidupkan budaya syariat Islam dalam rumah tangga.

Isteri terlantar sakit, abang ipar kahwin lagi

SEMBANG-SEMBANG
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/06/2015

Perkahwinan adalah ikatan janji antara seorang lelaki dan wanita untuk hidup bersama sehingga ke akhir hayat dengan izin Allah. Harapan setiap pasangan adalah untuk menikmati kebahagiaan berkekalan selepas sah disatukan sebagai suami dan isteri.

Namun kita hanya merancang. Yang menentunya adalah Allah SWT kerana segala-galanya dia yang aturkan. Kita hanya perlu reda dan menerimanya dengan tabah serta sabar. Tidak siapa mampu menolak andainya kebahagiaan yang dirancang itu terganggu dengan ujian Allah. Jika baik perancangan itu, bersyukurlah. Jika tidak, reda dan banyak bersabar.

Minggu ini, saya ingin berkongsi kisah sedih seorang pembaca yang sangat kecewa dengan sikap abang iparnya yang bernikah lagi ketika kakaknya sedang sakit. Ingin tahu kisah selanjutnya, kita ikuti cerita Saliha (bukan nama sebenar) seperti yang dikirim kepada saya. Begini kisahnya.

“Saya berusia 30 tahun, anak bongsu daripada adik beradik seramai lima orang. Dua abang dan dua kakak saya telah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri.

“Ibu kami masih hidup tetapi bapa sudah lama meninggal dunia kerana sakit jantung. Kami adik beradik sangat rapat dan saling membantu antara satu sama lain.

“Nasib tidak menyebelahi kami apabila kakak kedua saya, Nani (bukan nama sebenar) disahkan menghidap kanser rahim tahap 4 sejak dua tahun lalu.

“Kesihatannya merosot dan dia terpaksa berhenti kerja kerana tidak berdaya lagi untuk meneruskan tugasnya sebagai seorang penjawat awam. Suaminya seorang pegawai bank berusia awal 40-an.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman