Khamis, 10 Julai 2014

Tangkis cerai

Oleh Siti Nur Almizan Aripin dan Saadiah Ismail
snur@bharian.com.my
23/03/2012

Modul kursus kahwin wajar jadi silibus sekolah menengah, IPT

TIADA siapa mahukan perceraian, tetapi ada kalanya itulah pilihan yang ada. Hendak menuding jari, ia hanya menambah luka selain kekusutan apabila hakikatnya 'nasi sudah menjadi bubur.'

Hidup perlu diteruskan dan apa yang berlaku menjadi iktibar bagi mengelak perkara berulang.

Kerukunan rumah tangga juga tidak dapat dipupuk dalam sehari dua. Jadi, ia berbalik kepada asas agama dan kami berasakan, mungkin baik jika modul kursus pra perkahwinan ini dijadikan sebagai silibus pelajaran. - Saimah Mukhtar, Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM

Cuma agak membimbangkan apabila perkara yang dibenci agama ini kian ketara. Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit dalam kalangan umat Islam dan jumlah itu dipercayai meningkat dari tahun ke tahun berpunca daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

Apabila kes perceraian menjadi sesuatu yang lazim, timbul persoalan di mana silapnya masyarakat hari ini? Apakah ada sebarang cara mengekang perkahwinan yang dilayari menjadi roboh dalam masa sebegitu cepat dan bergelar janda ketika inai masih merah di jari?

Selain sikap individu sebagai pelaku utama perceraian, timbul juga pertanyaan mungkinkah ada kepincangan dalam kursus praperkahwinan yang mungkin sekadar melepaskan batuk di tangga - mengajar yang asas tetapi tidak mendidik pasangan mengenai peri pentingnya ilmu melayari rumah tangga sebagai suami isteri dan mempertahankan ikatan sehingga ke akhir hayat.



Benarkah sebegitu dan apakah ada formula bagi menangkis perceraian? Pertanyaan itu sudah pasti diajukan kepada pihak berwajib, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menjadi antara pihak paling akrab dengan isu nikah cerai dan dasar berkaitan keagamaan.
Antara lain, JAKIM menyarankan supaya modul kursus pra perkahwinan dijadikan satu silibus baik di peringkat sekolah menengah dan universiti bagi menangani masalah perceraian.

Ia juga antara usaha dirasakan perlu bagi JAKIM dalam mempersiapkan setiap individu dengan ilmu asas agama dan fardu ain merangkumi ilmu akidah (tauhid), ibadah/kebersihan (fiqah) serta akhlak yang akan menjadi teras sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Dalam pertemuan dengan Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM, Saimah Mukhtar, baru-baru ini.

“Kerukunan rumah tangga juga tidak dapat dipupuk dalam sehari dua. Jadi, ia berbalik kepada asas agama dan kami berasakan.

“Mungkin baik jika modul kursus pra perkahwinan ini dijadikan sebagai silibus pelajaran,” katanya.

Beliau turut memperhalusi antara punca berlakunya perceraian.

“Sabda Nabi Muhammad SAW, jagalah kamu akan Allah, pasti Allah akan menjaga kamu. Luasnya makna ayat itu membawa maksud tersirat dan tersurat namun yang pasti, setiap umat Islam wajib mengetahui bahawa jika kita menunaikan segala perintah dan meninggalkan laranganNya, Allah akan menjaga kita.

“Bermula dengan patuh terhadap perintah Allah, di situ jugalah lahir keberkatan dalam kehidupan, rumah tangga dan rezeki,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, masyarakat sering menganggap modul pra perkahwinan sebagai ‘ubat ajaib’ mampu mengelak dan menyembuh penyakit sedangkan ia hanyalah usaha dilakukan Jakim bagi melengkapkan bakal pengantin dengan ilmu asas perkahwinan sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

“Bayangkan, dalam tempoh 13 jam, 11 tajuk perlu disampaikan dan apabila berlaku perceraian, tiba-tiba salahkan modul dengan alasan ia tidak berkesan.

“Itulah akibatnya jika menaruh persepsi yang terlalu tinggi terhadap kursus perkahwinan sedangkan pelaksanaan modul pra perkahwinan adalah bagi memberi input asas bagi pasangan yang belum berkahwin,” katanya.

Bagaimanapun, Saimah berkata, sebagai pihak yang ‘membekalkan sesuatu’, Jakim tetap menerima setiap maklum balas dengan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa.

“Modul kami disediakan panel terdiri daripada ulama, tenaga pengajar institusi pengajian tinggi, pegawai Jakim dan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri, jadi apa disediakan adalah yang terbaik.

“Namun begitu, tahun ini JAKIM akan melakukan perubahan besar dalam pelaksanaan modul dengan menggunakan bantuan slaid berbentuk video dan dokumentari, menjadikan ia lebih interaktif,” katanya.

Penggunaan slaid akan dimulakan secara berperingkat bermula tahun ini bertujuan menarik minat peserta untuk memberikan sepenuh tumpuan terhadap isi ceramah.

Penambahbaikan turut meliputi beberapa tambahan isi modul merangkumi tajuk kesihatan, pengurusan tekanan dan penggunaan media baru, yang mana ia dirangka berdasarkan situasi semasa.

“Bagaimanapun, penerimaan maklumat bergantung kepada perhatian, minat serta praktik, dan apa sering berlaku, segelintir peserta hadir kerana hendak mendapatkan sijil malah tidak memberikan tumpuan penuh kepada isi ceramah.

“Jadi, semuanya berbalik kepada diri kerana jika hendak masuk ke alam rumah tangga, setiap orang perlu ada ilmu dan sebagai seorang Islam, ilmu Allah itu menjadi asas.

“Sesuatu perkara berlaku bukan kerana satu punca sama seperti apabila seorang remaja terjebak dengan gejala sosial, ia mungkin berpunca daripada ibu bapa, diri sendiri atau rakan sebaya,” katanya.

Laman madu kasih punca cerai

PERKAHWINAN adalah hubungan membabitkan dua individu berbeza yang berteraskan persefahaman, jadi semuanya perlu dilalui dengan sifat sabar.

Bagaimanapun, apabila berlakunya perceraian, faktor sekeliling turut dibangkitkan sebagai penyebab dan Saimah tidak menolak, media baru seperti Facebook serta twitter sebagai punca cerai.

“Kebanyakan yang berdepan masalah keretakan rumah tangga akibat media baru ini rata-ratanya terdiri daripada golongan muda yang baru terdedah dengan teknologi.

“Keseronokan baru menyebabkan mereka mengabaikan perasaan pasangan dan akhirnya menyumbang kepada kehambaran dalam rumah tangga. Malah, lebih teruk apabila status dihantar di laman peribadi menjadi tontonan umum dan ia membabitkan aib pasangan sehingga akhirnya mengundang pergaduhan,” katanya.

Bagaimanapun akui Saimah, kajian khusus akan dibuat Panel Pemikir Sosial Umat Islam dalam mengenal pasti punca sebenar pasangan suami isteri bercerai.

Hasil kajian terdahulu yang dijalankan terhadap 3,312 responden pada Jun 2005 oleh Bahagian Penyelidikan Jakim ke atas perceraian pada 2003-2004 mendapati, 43.33 peratus suami dan 69.44 peratus isteri mengakui faktor utama perpisahan berlaku disebabkan tiada persefahaman.

Punca kedua berlaku akibat pasangan tidak bertanggungjawab, diikuti masalah akhlak/sosial, masalah pihak ketiga, masalah ekonomi, masalah seksual, masalah didikan agama, kesihatan dan juga perbezaan budaya.

“Data berjaya mengutip lebih 39 faktor perceraian namun kami masukkan ia dalam kategori di atas bagi memudahkan pengumpulan maklumat,” katanya.

INFO: Punca perceraian
1. Tiada persefahaman
2. Masalah nafkah
3. Penagih dadah
4. Pemabuk
5. Suka berjudi
6. Tahanan penjara
7. Tahanan pusat serenti
8. Penghidap HIV/Aids
9. Lemah tenaga batin
10. Dingin dalam hubungan seks
11. Sakit berkekalan
12. Masalah kewangan
13. Masalah hutang
14. Poligami
15. Ada hubungan sulit
16. Pergaulan bebas pasangan
17. Kuat seks
18. Panas baran
19. Cemburu
20. Tidak bertanggungjawab/ abai keluarga
21. Lari dari rumah
22. Keluar tanpa izin
23. Ingkar
24. Ego
25. Curang
26. Murtad
27. Kahwin paksa
28. Campur tangan keluarga/pihak ketiga
29. Terlalu mementingkan keluarga
30. Tidak bekerja
31. Kurang pengetahuan agama
32. Terlepas lafaz cerai
33. Bersikap materialistik
34. Suka berleter
35. Tidak mahu menjaga anak
36. Queen Control
37. Mengamal ajaran sesat
38. Perbezaan budaya dan adat
39. Pulang ke negara asal.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman