Sumber : Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 21 Julai - Vokalis kumpulan rock Wings, Awie hari ini berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anak hasil perkahwinan dengan isterinya, Rozana Misbun daripada Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Mahkamah turut membenarkan permohonan injunksi oleh Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, untuk menghalang Rozana, 36, daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.
Hakim Syarie, Nassir Abdul Aziz membenarkan permohonan yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) pada 16 Julai lalu ketika kes disebut di kamar hakim di sini.
Bagaimanapun, Rozana dibenarkan melawat anak-anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7; Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, sebanyak dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan serta terhad di bekas rumah kelamin pasangan itu sahaja.
Awie hadir diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain manakala Rozana yang merupakan adik kepada pelakon dan penerbit, Haliza Misbun, tiada pada prosiding hari ini.
Menurut Mohd. Zaidi, anak guamnya memfailkan permohonan penjagaan interim (sementara) dan injunksi tersebut pada 16 Julai lalu berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 200 dan 201 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.
Pasangan itu bakal 'bertemu' dalam satu majlis sulh yang ditetapkan pada 6 Ogos ini di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Sesi 'sulh' merupakan suatu kaedah penyelesaian secara damai antara pihak-pihak yang bertikai terhadap sesuatu tuntutan atau permohonan menghadiri satu proses perbincangan di dalam suatu majlis perundingan yang dipimpin secara rasmi, yang diatur oleh pegawai mahkamah.
Awie ketika ditanya mengenai perkara itu, enggan mengulas lanjut mengenainya tetapi dengan tenang dan tersenyum berkata: "Tunggulah sehingga kesemua kes itu selesai."
Sebelum ini, menerusi perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Arni Nazira, Awie mempunyai dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.
Pada 4 Julai lalu, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Rozana.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun lalu.
Pertuduhan terhadap pelakon utama filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Kes itu akan disebut semula pada 11 Ogos ini.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan