Ahad, 27 Julai 2014

Lafaz rujuk apabila kembali tenang

Oleh : Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Fikrah Dr. Salam
Tarikh : 25/07/2014

Akibat terlalu marah pada isteri, saya melafazkan cerai talak satu kepadanya baru-baru ini.
Namun, atas kesedaran dan apabila keadaan kembali tenang, saya ingin merujuknya kembali. 
Malah, sudah beberapa kali saya bertemu isteri dan melafazkan ‘saya ingin merujuk kembali dengan kamu’. 
Adakah sah ‘rujuk’ saya? Adakah kami masih suami isteri yang sah di segi hukum?
Saya faham, saya perlu mengikut prosedur mahkamah untuk pengesahan nikah dan cerai.
Nasir 
Kuala Lumpur
 
Secara umumnya, sah rujuk itu jika ia dibuat dalam waktu idah pada perkahwinan yang boleh rujuk. 

Kata-kata anda ‘saya ingin merujuk kembali dengan kamu’ boleh dikira lafaz rujuk. Ia pula dibuat di depan isteri tanpa sebarang bantahan. 

Dari segi hukum anda berdua masih suami isteri yang sah apabila berlaku rujuk itu. 

Bagaimanapun, anda berdua perlu segera melaporkan perkara ini ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan perceraian dan rujuk yang berlaku. Ini penting dalam menentukan status perkahwinan anda berdua. 

Perceraian yang berlaku di luar mahkamah syariah (pejabat agama) hendaklah dilaporkan dalam masa tujuh hari. 

Mahkamah akan mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak dilafazkan itu adalah sah mengikut hukum syarak. 

Apabila mahkamah berpuas hati talak adalah sah, maka ia akan membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak, merekodkan perceraian itu dan menghantar salinan rekod kepada pendaftar. 

Dengan kata lain, perceraian perlu direkodkan terlebih dahulu dan diikuti bersekedudukan semula sebagai suami isteri. Ini penting dalam penentuan bilangan talak dan rujuk.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman