Ahad, 13 Julai 2014

Daftar nikah bukan bertujuan susahkan bakal pengantin

Oleh : Moeis Basri
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 17/10/2013

Peraturan bagi pastikan syarat, rukun dipatuhi elak timbul masalah


Pernikahan yang diiktiraf oleh syarak adalah dengan memenuhi lima rukun asas iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi serta lafaz ijab dan kabul.


Pada setiap satu daripada rukun itu terdapat beberapa syarat sah yang perlu dipenuhi. Walaupun nikah sering kali dianggap mudah, syarat kepada rukun nikah harus diberi perhatian untuk memastikan kesemua rukun nikah dipenuhi pada masa pernikahan berlaku. Contohnya pengantin perempuan itu bukan semata-mata perempuan, tetapi mesti dipastikan beliau tidak terikat dengan ikatan pernikahan lain atau masih berada dalam edah.


Majlis walimah itu tidak perlu dibuat secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa sombong, bermegah-megah, membazirkan harta, pergaulan bebas antara wanita dan lelaki yang tiada batas.

Begitu juga pengantin lelaki antara syaratnya beliau tidak mempunyai lebih daripada empat isteri pada satu masa. Wali juga sering disalah anggap sebagai jurunikah kerana tertulis dalam kitab bahawa wali adalah orang yang menikahkan pasangan terbabit .

Tanggungjawab wali


Hakikatnya, wali adalah penjaga kepada pengantin perempuan yang kebiasaannya bapa, datuk, bapa saudara, saudara lelaki mengikut turutan yang telah ditetapkan. Tidak boleh menggunakan wali mengikut kesenangan semata-mata, sebaliknya hendaklah mengikut turutan keutamaan.

Wali memang berkuasa menikahkan pasangan dan wali juga berhak menyerah kuasa kepada orang lain untuk menikahkan bagi pihak beliau. Jurunikah yang dilantik oleh kerajaan tidak boleh menikahkan melainkan mendapat kuasa sempurna daripada wali perempuan atau wali Raja.

Pematuhan dan ketelitian dalam memenuhi syarat rukun ini penting untuk memastikan pernikahan itu sah dan menepati hukum syarak.

Pernikahan penting dalam membentuk masyarakat yang bertamadun. Pernikahan yang sempurna menentukan keturunan yang sempurna dan pewarisan harta pusaka serta memastikan anak daripada pernikahan dapat ditentukan walinya nanti.

Pada setiap pernikahan digalakkan atau disunatkan mengadakan walimah iaitu majlis kenduri bagi meraikan kedua-dua mempelai dan sebagai perisytiharan kepada masyarakat bagi mengelak sebarang fitnah apabila lelaki dan perempuan itu tinggal bersama.

Daripada Aisyah, Nabi SAW bersabda: “Beritahukanlah pernikahan dan jadikanlah pernikahan di masjid serta bunyikanlah rebana dalam pernikahan itu.” (Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)

Majlis walimah tak perlu berlebihan

Bagaimanapun, majlis walimah itu tidak perlu dibuat secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa sombong, bermegah-megah, membazirkan harta, pergaulan bebas antara wanita dan lelaki yang tiada batas.

Berbalik kepada kisah pernikahan dan rukun yang harus dipenuhi, apabila dunia menjadi semakin kompleks disebabkan bilangan manusia semakin ramai, satu peraturan untuk mengawal sistem pernikahan dan perkahwinan adalah perlu dibuat dan dipatuhi. Maka dengan itu wujudnya sistem pendaftaran bagi setiap pernikahan yang diadakan di Malaysia.

Tujuannya bukan untuk menyusahkan masyarakat atau cuba mengatasi hukum syarak, tetapi bertujuan memastikan pematuhan hukum syarak khususnya berkenaan syarat dan sah nikah.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai peraturan pendaftaran pernikahan sama ada yang baru hendak bernikah atau yang sudah bernikah di mana-mana negara, tetapi ingin mendaftarkan pernikahannya di negara ini.

Asas kepada sistem pendaftaran nikah adalah untuk memastikan setiap syarat dan rukun dipatuhi sebelum suatu pernikahan boleh didaftarkan atau tidak. Sememangnya tanpa pendaftaran pun pernikahan yang mematuhi syarat dan rukun nikah adalah sah dari segi hukum syarak.

Namun, tanpa pendaftaran teratur, pasangan yang bernikah akan menghadapi masalah terutama untuk mendaftarkan kelahiran anak. Selanjutnya, jika perkahwinan itu menghadapi masalah, Mahkamah Syariah di Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadili atau mendengar apa-apa aduan pasangan melainkan perkahwinan itu didaftarkan terlebih dulu.

Seandainya pernikahan itu kekal sehingga ke akhir hayat, hak isteri dan anak-anak terhadap harta pusaka akan terjejas oleh kerana bukti pernikahan akan dipersoalkan.

Peraturan pendaftaran nikah

Peraturan pendaftaran pernikahan yang telah lama dilaksanakan membantu dari segi memastikan pernikahan itu sah mengikut hukum syarak dan hak individu kepada sesuatu perkahwinan terpelihara.

Peraturan juga penting untuk mentadbir masyarakat secara baik dan berkesan. Janganlah kita taksub kepada fahaman ‘asalkan sah dari segi hukum syarak sudahlah’.

Walaupun peraturan pendaftaran pernikahan peraturan yang dibuat oleh manusia tetapi ia bertujuan memberi kebaikan dan menjaga masyarakat daripada hidup mengikut nafsu semata-mata.

Justeru, adalah dinasihati sama ada yang mengamalkan poligami atau pernikahan yang enggan diketahui umum, pastikan segala peraturan dipatuhi bagi memastikan hak masing-masing terpelihara dan terjaga pada masa akan datang.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman