Nancy Shukri
Zulhelmi, yang menjalankan perniagaan restoran berkata, dia akan menyokong isterinya untuk meneruskan pengajiannya hingga ke peringkat universiti.

Sebulan sebelum itu, pada 30 November 2014, seorang pelajar tingkatan lima, Nur Izzati Amiera Ishak (berusia 17 tahun) berkahwin dengan teman lelakinya, Muhd. Muaz Mislan (berusia 15 tahun). Perkahwinan ini juga direstui keluarga mereka. Mereka berkahwin selepas bercinta kira-kira dua bulan.

Perkahwinan mereka menarik perhatian ramai setelah pasangan itu memuat naik gambar dan video akad nikah mereka di Facebook. Menurut Muaz, dia mengahwini Nur Izzati kerana mahu menjadikan perhubungan mereka sah selepas mendapat restu daripada kedua-dua keluarga.

Nur Izzati baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala Muaz sedang menunggu keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). 

Menurut Muaz, dia tidak bercadang meneruskan pelajarannya selepas perkahwinan mereka ini.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun. Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka (lihat seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008).


Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun. Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah (lihat seksyen 10 dan seksyen 21(2)).

Antara kes kahwin bawah umur yang menggemparkan masyarakat Kedah pada satu ketika dulu adalah perkahwinan Nor Fazira Saad (berusia 12 tahun) dengan pasangannya Mohd.Fahmi Mohamed Alias (berusia 20 tahun). Perkahwinan ini berlangsung pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008. Bagaimanapun, perkahwinan ini tidak dapat bertahan lama dan Fazira diceraikan oleh suaminya dengan talak tiga.

Baru-baru ini, pada 12 April 2016 lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri ada menyatakan bahawa remaja bawah umur yang mahu berkahwin perlu mendapatkan kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri masing-masing. Peraturan baru ini ter­kandung dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001 selepas diluluskan di Parlimen baru-baru ini bagi mengelak berlakunya perkahwinan pada usia muda dalam kalangan remaja perempuan.

“Kita bimbang bila kahwin pada usia muda, mereka tidak dapat ­kawal emosi menyebabkan rumah tangga bergolak sekali gus menyebabkan berlaku masalah sosial dalam masyarakat,” katanya selepas merasmikan seminar bertajuk “Hak dan Isu Wanita serta Kanak-Kanak” di Alor Setar, Kedah.

Nancy memberitahu, terdapat 105 kes permohonan perkahwinan bawah umur tahun lalu di Kedah, berbanding 76 kes pada 2014 dan 38 kes pada 2013.

“Dari Januari hingga 29 Februari 2016, terdapat 13 kes permohonan perkahwinan bawah umur direkodkan dan ia amat serius serta perlu dibendung,” tambahnya.

Pada 5 September 2013, Jabatan Kehakiman Syariah Sa­r­awak ­menyatakan bahawa jumlah permohonan perkahwinan bawah umur dalam kalangan pasangan beragama Islam adalah paling tinggi di negeri itu, diikuti Kelantan dan Sabah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman, menyatakan bahawa bilangan permohonan perkahwinan bawah umur di negeri berkenaan meningkat sebanyak 15.4 peratus iaitu sebanyak 270 permohonan berbanding 234 permohonan pada tahun sebelumnya.

Di peringkat antarabangsa, sekiranya suatu perkahwinan itu melibatkan pasangan di bawah usia 18 tahun, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggapnya satu pelanggaran hak asasi manusia. Pada 2013, UN Human Rights Council meluluskan satu ketetapan bahawa perkahwinan bawah umur itu adalah satu pelanggaran hak asasi manusia.

Mengikut UNICEF lagi, yang telah menjalankan penyiasatannya dalam lebih 118 negara, dianggarkan lebih 700 juta wanita yang ada di muka bumi ini telah berkahwin semasa mereka di bawah umur (masih kanak-kanak), manakala kira-kira 250 juta berkahwin sebelum mereka berusia 15 tahun.

Beberapa negara asing telah lama meluluskan undang-undang khas menghalang atau mengharamkan perkahwinan bawah umur. Contohnya, India yang menguatkuasakan Child Marriage Restraint Act sejak 1929.

Pada mulanya akta itu men­g­halang perkahwinan melibatkan pasangan berusia 14 tahun (bagi perempuan) dan 18 tahun (bagi lelaki), tetapi kemudian tahap usia ini dinaikkan menjadi 18 tahun (bagi perempuan) dan 21 tahun (bagi lelaki). Akta lama ini kemudian dimansuhkan dan digantikan dengan Prohibition of Child Marriage Act 2006, mula berkuatkuasa pada 1 November 2007.

Di Pakistan, satu undang-undang bernama The Sindh Child Marriage Restraint Act 2013 telah diluluskan. Akibatnya, perkahwinan yang melibatkan pasangan berusia kurang dari 18 tahun adalah satu kesalahan dan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih dari 3 tahun atau denda Rs 45,000. Akta ini diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Sindh pada 18 April 2014.

Kesimpulannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang membenarkan pasangan muda berkahwin walaupun mereka belum berusia 18 tahun (bagi perempuan) dan 21 tahun (bagi lelaki). Di negara ini, gadis Islam boleh berkahwin walaupun belum berusia 16 tahun, dengan syarat perkahwinan itu direstui ibu bapanya dan diizinkan oleh Mahkamah Syariah. 

Bagi gadis bukan Islam, mereka perlu menunggu hingga berusia lebih 16 tahun. Walaupun belum mencapai 18 tahun, mereka boleh berkahwin di bawah Akta 164 dengan syarat mendapat izin daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri di negerinya.

Sempena hasrat kerajaan meminda Akta Kanak-Kanak 2001 mengenai isu had umur ini, persoal­an sama ada Enakmen Keluarga Islam itu juga perlu di­semak semula bagi meningkatkan usia minimum pasangan Islam, saya serahkan kepada pakar perundangan Islam mengupasnya.

PROF. SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang.