Masalah orang ketiga, krisis dengan mentua, kemiskinan dan masalah dadah menjadi punca rumah tangga tergugat dan tidak dapat diselamatkan sehingga membawa kepada perceraian.

Oleh yang demikian amatlah wajar setiap pasangan meletakkan kepercayaan dan saling hormat menghormati sebagai asas penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.
Dalam hubungan ini, asas agama menjadi tiang kepada keyakinan dan kemantapan rohani dan jasmani dalam mengharungi hidup sebagai suami isteri. Tanpa asas agama, hidup akan menjadi porak peranda dan tidak aman.

Ini sebahagian daripada cebisan kisah yang dipilih minggu ini. Kisah dan luahan hati seorang isteri yang menderita zahir dan batin akibat perbuatan suami yang menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ dalam rumah tangga.

Kita ikuti cerita Shira (bukan nama sebenar) mengenai rumah tangganya yang seperti berada di hujung tanduk. Diluah mati mak, ditelan mati bapak, semuanya kerana anak.
Ini cerita Shira.

“Saya berusia awal 30-an, bersuamikan seorang lelaki yang playboy dan dikurniakan dua orang anak berusia 13 dan 10 tahun. Kami bernikah atas dasar cinta sama cinta semasa masih  di kolej. 

“Semua nampak elok setelah kami berkahwin, suami seorang yang penyayang dan prihatin dengan saya dan rumah tangga kami, tambahan pula semasa saya mengandung dan melahirkan anak sulung kami.

“Kasih sayangnya terhadap saya dan anak kami menyerlah, apa sahaja permintaan saya dia turutkan, begitu juga dengan anak kami. Kami selalu bercuti ke luar negara dan di dalam negara. Saya sangat bahagia. 

“Namun panas tidak sampai ke petang seperti yang saya harapkan. Apabila saya mengandung anak kedua, suami mula berubah. Dia membenci saya, apa yang saya buat semua tidak kena di hatinya.

“Masak tidak kena, tak sedap, buat apa semuanya tidak mendapat pujiannya. Pendek kata, semua yang saya buat, suami tidak suka. Marah, menengking dan mengata saya menjadi mainan di bibirnya. Sampai saya tertanya-tanya, apakah salah saya.

“Akhirnya saya dapat jawapannya, dia ada perempuan lain,  perempuan muda, sebaya dengan adik bongsunya berusia dalam lingkungan 21 tahun. Bayangkan, kerana kekasih gelap dia sanggup perlekeh saya.

“Sejak mengenali budak perempuan itu, suami jarang tinggal di rumah, hujung minggu pun keluar. Macam-macam alasan dia bagi untuk keluar dari rumah, sehinggakan saya tidak peduli lagi dengan apa yang dia hendak buat.

“Cuma, saya sedih sebab suami tidak lagi hiraukan saya, tumpuannya hanya kepada kekasih gelapnya itu. Dapat pucuk muda, budak hingusan yang masih belajar di universiti. Gaya manja, menggoda. Mana lelaki yang tak cair.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh kenal dengan budak remaja itu. Malu saya dengan anak- anak dan kaum keluarga dengan tabiat suami yang mabuk cinta mengalahkan orang muda. Di mana duduk, di situ tersenyum seorang diri, telefon tak lekang di tangan.

“Kita tanya soalan, lain dijawabnya, tanya banyak kali kita dimaki, dicaci dan dijerit-jerit, cuma tangannya sahaja yang masih belum naik ke muka saya.  Masakan saya sekarang semuanya tidak sedap lagi. Pernah dia luahkan makanan yang katanya masin, sedangkan anak-anak makan sampai habis. 

“Sudah menjadi adat,apabila sudah tidak sayang, semua nampak buruk. Kebaikan isteri hilang begitu sahaja kerana nafsu muda. Perempuan yang belum berjasa pula disanjung dan dipuja-puja.

“Perbelanjaan rumah turut terjejas. Bil, persekolahan anak-anak juga kelam-kabut, mujur ipar duai dan adik-adik membantu, maklumlah saya berjawatan kecil, gaji tidak seberapa. Tapi cukuplah untuk menyambung hidup.

“Banyak kali, saya minta suami lepaskan saya tetapi saya yang jadi mangsa kemarahannya. Pernah satu ketika, dia ugut akan kurung saya dalam rumah kalau saya sebut lagi tentang cerai. Walau apa jadi sekalipun, dia tidak akan ceraikan saya.

“Saya hilang akal, tidak tahu apa yang hendak dibuat lagi. Makan hati dengan sikapnya yang tidak berpijak di bumi nyata. Kalau bencikan, saya buat apa simpan saya lagi, elok lepaskan sahaja. 

“Saya tidak akan mati jika tidak ada suami. Keluarga, bila-bila masa boleh jaga saya. Tetapi orang lelaki ini, egonya sampai melepasi kepala, sebab itu jadi macam orang tidak siuman.

“Dia ingat di dunia ini, dia ada kuasa, dia lupa kuasa sebenarnya ada di luar sana, Allah Yang Esa. Saya cuba ingatkan, tapi saya dimarahi dan dikatakan cuba mengajarnya. Pada hal, saya tahu ilmu agamanya kurang, solat pun tidak cukup waktu.

“ Saya meluahkan kisah saya ini supaya orang di luar sana tahu, tidak semua isteri bertuah kerana disayangi suami. Ada suami yang hanya menjadikan isteri sebagai boneka. Ambil bila mahu, ditolak ke tepi bila tidak suka.

“Saya tidak pernah bertanya tentang kekasih gelapnya walaupun kadangkala dia sengaja tunjukkan gambar perempuan itu kepada saya. Di dalam kereta penuh dengan barang-barang tinggalan kekasihnya itu, tapi saya tidak pernah tanya.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ambil tahu, lagi ambil tahu, lagi sakit hati saya. Doa saya semoga suami akan sedar yang perbuatannya itu salah. Mengabaikan isteri dan anak juga salah kerana itu amanah.

“Saya berharap para suami di luar sana jangan jadi seperti suami saya. Tidak ada pendirian dan keyakinan. Yang jadi mangsanya saya. Tapi saya reda dan selagi boleh sabar, saya akan sabar, jika tidak saya akan buat ikut saluran undang-undang dan agama yang betul.

“Kita ada cara untuk  mencari bahagia sendiri kalau orang yang diharap menjadi pelindung sampai ke syurga tidak amanah dan tidak bertanggungjawab serta lupa janjinya dengan Allah. Semoga ada jalan keluar untuk saya,”  kata Shira menamatkan ceritanya.

Tersentuh juga saya membaca cerita Shira, begitulah lumrah berumah tangga. Tidak semua bahagia, tidak semua derita. Shira harus tabah menghadapi ujian Allah ini. Jangan putus 
asa, bertabahlah.

Pujuk hati untuk sabar demi anak-anak, jangan putus berdoa kepada Allah, mohon dipermudahkan urusan hidup Shira. Setiap usaha akan diakhiri dengan kejayaan termasuk dalam masalah rumah tangga.

Ingat satu perkara Shira, walau pahit macam mana sekalipun, mesti taatkan suami selagi ikatan masih ada. Anggaplah ini sebagai ujian Allah untuk Shira, setiap kesusahan, mesti ada jalan keluarnya.

Menamatkan catatan, pesanan saya,  bukan kekuatan yang menyebabkan kita menang tetapi usaha dan kesabaran yang membina kekuatan itu sebenarnya.

Salam
sembang-sembang