Apa yang dikesalkan kejadian itu bukan saja berlaku di dalam masjid iaitu sebuah institusi yang amat mulia yang disebut Allah sebanyak 27 kali di dalam al-Quran tetapi juga turut meleraikan ikatan dua hati yang sepatutnya disatukan dalam keadaan harmoni.

Mahar atau dalam bahasa Melayunya disebut mas kahwin adalah satu pemberian yang wajib diberikan oleh pihak suami kepada isteri­nya apabila berlaku perkahwinan. Oleh yang demikian, mahar itu adalah hak pengantin perempuan.

Mahar boleh dibayar secara tunai mahu pun hutang atau gabung­an kedua-duanya seperti dalam insiden di atas. Walaupun mahar ini wajib dibayar tetapi ia bukanlah satu rukun yang menentukan terbentuknya sesuatu perkahwinan.

Dalam erti kata lain, sekiranya mahar tidak dibayar secara tunai semasa akad nikah berlangsung, maka perkara itu tidak akan menjejaskan kesahihan akad nikah ber­kenaan. Sebaliknya, pembayaran mahar itu akan tertangguh dan dianggap sebagai hutang yang perlu dijelaskan oleh suami pada masa akan datang.

Oleh itu, sekiranya seorang suami itu belum menjelaskan mahar kepada isterinya dan berlaku kematian, maka mahar itu dianggap sebagai hutang dan perlu dijelaskan oleh waris-waris si suami atau diambil daripada harta peninggalannya.


Dalam konteks ini Allah berfirman: “Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makan makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya “ ( Surah An-Nisaa’4:4).

Mas kahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikitnya dan ia adalah berdasarkan persetujuan kedua belah pihak untuk menentukannya berdasarkan taraf atau darjat pengantin perempuan berkenaan.

Menurut para fuqaha Islam, mahar itu terbahagi kepada dua jenis iaitu Mahar Mithil dan Mahar Musamma.

Mahar Mithil ialah jumlah mas kahwin yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan lain yang telah berkahwin terlebih dahulu dan hendaklah dinilai sama dengan mas kahwin ahli keluarga yang paling dekat se­perti kakak, ibu saudara dan sebagainya di samping menilai ke­adaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan,kekayaan,pelajaran dan sebagainya. Ini boleh digunakan jika penetapan mahar tidak dinyatakan secara jelas sebelum sesuatu perkahwinan itu berlaku.

Mahar Musamma pula ialah jumlah mas kahwin yang ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum perkahwinan itu berlangsung dengan tidak mengambil kira nilai mas kahwin bagi saudara-saudara perempuan lain. Oleh itu, bakal suami wajib membayar sejumlah mas kahwin yang telah dipersetujui walaupun mas kahwinnya adalah lebih mahal daripada mas kahwin saudara-­saudara perempuannya yang lain.

Islam amat mengutamakan soal agama dalam setiap aspek kehidupan. Justeru dalam soal mencari jodoh pun aspek agama amat di­utamakan di samping Islam tidak meminggirkan kepentingan aspek-aspek lain. Ini adalah kerana sesebuah keluarga yang hendak dibentuk nanti bukanlah untuk satu jangka masa singkat tetapi biarlah ber­kekalan hingga ke anak cucu.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda “Sebaik-baik isteri adalah bila diberikan sesuatu dia bersyu­kur, bila tidak diberikan apa-apa dia bersabar,bila kamu memandang­nya menyenangkan hatimu, bila kamu menyuruhnya dia mentaatimu” (Hadis Riwayat Muslim).

Ahli falsafah Latin terkenal iaitu Plato bertanya kepada gurunya apakah maksudnya perkahwinan, lalu gurunya menjawab “Kamu ma­suklah ke hutan, dan bawalah balik satu pohon yang engkau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan itu”.

Lalu masuklah Plato ke dalam hutan dan membawa keluar sebuah pohon yang tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu cantik. Lalu Plato memberitahu gurunya “ Saya bertemu banyak pohon yang indah daunnya, besar batangnya tetapi saya tidak dapat memotongnya dan pastinya tidak dapat membawa keluar pohon itu dari hutan tersebut. Kemudian saya temui pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak menemui lagi pohon seperti itu di hadapan sana, maka saya pilih pohon itu kerana saya yakin mampu merawatnya dan menjadikannya cantik”.

Lalu berkata gurunya ‘‘Itulah makna perkahwinan”. Maksudnya pilihlah calon yang terbaik mengikut pandangan dan keyakinan kita dan terimalah seadanya di samping berusaha menjadikan kehidupan berumahtangga itu yang terbaik bagi kita dengan saling faham memahami dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Mudah-mudahan peristiwa pergaduhan dua keluarga yang berlaku ini adalah yang terakhir berlaku dalam masyarakat kita. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengah­winkan anak-anak kita dan bertolak ansur dari segi penyediaan wang hantaran kerana ia bukanlah satu rukun yang akan mencacatkan perkahwinan tersebut. Ini juga sejajar dengan aspirasi besar negara ­sepertimana yang terkandung dalam Tekad Keempat Pelan Integriti Nasional iaitu memantapkan institusi ­keluarga dan komuniti.

Mudah-mudahan dengan per­kah­winan yang terjalin itu rezeki pasangan muda ini akan menjadi murah sepertimana yang dijanjikan Allah melalui Firman-Nya “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang(lelaki dan perempuan) dan dalam kalangan kamu dan hamba-hambamu yang soleh, lelaki dan perempuan. Jika mereka itu miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah Kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (Rahmat dan Limpah Kurnian-Nya ),lagi Maha Mengetahui”( Surah An-Nahl : 16 : 72).

Penulis ingin menutup bicara kali ini dengan merenung akan sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud “Takuti Allah mengenai perempuan. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka atas keamanan Allah dan persetubuhan dengan mereka telah dihalalkan dengan kalimah Allah” ( Hadis Riwayat Muslim).

Sesungguhnya, isteri itu adalah amanah Allah yang wajib dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab dan secara berintegriti oleh suami yang adalah ketua kepada sesebuah keluarga.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia.