Mangsa berusia setahun hingga tujuh tahun merupakan yang paling ramai iaitu 743 orang, diikuti yang berusia lapan tahun ke atas sebanyak 468 orang.

Lebih menyedihkan bayi yang berusia bawah setahun turut menjadi mangsa dera iaitu 320 orang.

Menurut pengkaji jenayah, masalah cinta ibu atau bapa kanak-kanak yang telah berpisah merupakan antara punca kes penderaan kanak-kanak dilaporkan seperti kes baru-baru ini apabila bayi dihempas ke lantai oleh buah hati ibunya yang berstatus janda.

Berdasarkan laporan yang pernah disiarkan Utusan Malaysia sejak 2011, sebanyak 15 kes kematian kanak-kanak akibat didera oleh kekasih ibu atau bapa mangsa dicatatkan.

Berdasarkan statistik kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak yang diperoleh dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebanyak 48 kejadian dera pula dilakukan oleh teman lelaki ibu, manakala enam kes disebabkan teman wanita bapa.

Lebih mengejutkan, golongan yang paling ramai terlibat dengan jenayah itu sebenarnya penjaga atau pengasuh dengan 439 kes, diikuti bapa kandung (407) dan ibu kandung (303) selain saudara terdekat.


Melihat daripada pecahan motif kes penderaan, panas baran serta tidak sabar merekodkan kes tertinggi dengan 1,372 kes.

Yang menimbulkan persoalan kenapakah perkara ini berlaku? Adakah disebabkan tekanan hidup, khususnya faktor ekonomi yang mendorong kepada jenayah dera semakin serius berlaku dalam masyarakat sehingga mereka tidak dapat mengawal emosi semasa memarahi anak-anak yang tidak berdosa.

Statistik itu juga menunjukkan tahun 2011 sebanyak 242 kes dilaporkan diikuti 2012 (285), 2013 (295), 2014 (328), 2015 (329) dan sehingga Mac tahun ini (70).

Selangor dan Johor merupakan negeri yang mencatatkan laporan tertinggi dengan masing-masing merekodkan sebanyak 420 dan 250 kes dalam tempoh lima tahun.

Melayu mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 1,081 kes, diikuti Cina (218), India (209) dan diikuti dengan bumiputera Sabah dan Sarawak serta lain-lain warga negara.

Daripada pecahan seksyen, Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 merekodkan kes tertinggi dengan 1,459 kes diikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan 32 kes dan selebihnya Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 serta beberapa seksyen lain di bawah akta sama.