Dalam keadaan itulah, untuk berlaku adil kepada si isteri, mengikut adat pada masa itu, harta yang sama-sama dicari dan diusahakan dibahagi di antara si suami dan si isteri. Adat itu telah diterima pakai oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi (Sivil) (Hakim-Hakim British) dalam kes-kes di hadapan mereka, sebelum merdeka.

Selepas merdeka, apabila Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dibuat, ‘harta sepencarian’ telah dikanunkan dengan nama asalnya ‘harta sepencarian’ sedangkan tuntutan-tuntutan lain seperti ‘nafkah’ dan ‘mutaah’ menggunakan bahasa asalnya iaitu bahasa Arab.

Sebagai misalan, Seksyen 46(2)(b)(iv) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993(APAI (WP) 1993) memperuntukkan:
(2) “Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah — (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan — (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian”.


Peruntukan ini, secara umum, memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk membicarakan dan memutuskan kes-kes mengenai pembahagian atau tuntutan harta sepencarian. Ertinya, mahkamah ada bidang kuasa untuk membicarakan kes tuntutan harta sepencarian dan membuat perintah pembahagiannya.

Dalam keadaan mana perintah mengenai harta sepencarian boleh dibuat? Ini diperuntukkan oleh Seksyen 58, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (AUKI (WP) 1984):
(1) Mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Subseksyen (3) memperuntukkan:
(3) Mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Perhatikan, mengikut subseksyen (1) dan (3), seksyen 58AUKI (WP) 1984, mahkamah hanya boleh membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam dua keada­an sahaja:
i. apabila mengesahkan lafaz talak, dan
ii. apabila membuat perintah perceraian.

Dalam kata-kata lain, di Wilayah Persekutuan, pembahagian harta sepencarian hanya boleh dibuat apabila berlaku perceraian.

Di negeri Selangor, ada satu keadaan lagi di mana perintah pembahagian harta sepencarian boleh dibuat, iaitu apabila memberi kebenaran si suami berpoligami. Tetapi, itu tidak berkenaan dengan perbincangan sekarang.

Soalnya, apabila tuntutan dibuat selepas kematian si suami sedang­kan tidak ada perceraian semasa hidup keduanya, bukankah apa yang dikatakan ‘harta sepencarian’ itu sebenarnya sebahagian daripada pusaka si suami dan perlu dibahagikan mengikut faraid? Bolehkah, dalam menentukan bahagian waris-waris terhadap pusaka itu, ‘harta sepencarian’ si isteri ditolak terlebih dahulu dan bakinya baharulah dibahagikan mengikut faraid.?

Saya berhujah bahawa, mah­kamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat perintah dalam keadaan yang tersebut di atas kerana, di Wilayah Persekutuan:
n Pertama, seksyen 58 AUKI (WP) 1984 hanya membolehkan mahkamah membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam dua keadaan yang disebut itu. Seksyen 46(2)(b)(iv) APAI (WP) 1993 tidak boleh digunakan untuk meluaskan bidang kuasa mahkamah membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam keadaan selain daripada yang diperuntukkan oleh Seksyen 58.

Jika mahkamah berbuat demikian, bererti mahkamah telah menceroboh bidang kuasa dan mengambil alih tugas Parlimen. Hanya Parlimen yang berkuasa memberi bidang kuasa kepada mahkamah, tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Arahan Amalan dan Fatwa juga tidak boleh meluaskan atau menambah bidang kuasa mahkamah.

n Kedua, apabila tidak ada perceraian dan si suami telah meninggal dunia, kesemua peninggalannya telah menjadi pusaka dan hendaklah dibahagikan mengikut faraid.
Daripada rencana dan penghakim­an Mahkamah Syariah yang saya temui dan baca, nampaknya, harta sepencarian telah dite­rima sebagai hukum syarak atas dua alasan:
1. Walaupun asalnya adat Mela­yu, amalannya tidak bercanggah dengan syarak.
2. Untuk berlaku lebih adil kepada si isteri.

Kedua-dua alasan itu betul jika pembahagian harta sepencari­an terhad kepada perceraian sahaja. Masalahnya apabila tidak ada perceraian dan si suami telah meninggal dunia dan peninggalannya telah menjadi pusaka. Dalam keadaan itu, bolehkah kita menggunakan urf (adat) untuk mengatasi nas-nas yang jelas mengenai pembahagian pusaka? Bolehkah adat mengatasi syarak?

Mengenai alasan kedua, iaitu untuk berlaku lebih adil kepada si isteri. Soalan saya, jika ini sebahagian daripada pusaka, adakah kita menga­takan bahawa pembahagian pusaka mengikut syarak itu tidak adil?

Pada pandangan saya, Mah­kamah Syariah perlulah berfikir semula dan membetulkan ‘kesilapan undang-undang’ (error of law) ini kerana implikasinya sangat besar baik dari segi nilai jumlah harta yang terlibat dan akan terus terlibat, hukum mahupun ketidakadilannya kepada waris-waris. Jika tidak, Parlimen atau Badan Perundangan Negeri, yang mana berkenaan, patutlah meminda undang-undang untuk membetulkan keadaan itu.