Tarikh : 27/03/2016
“PADA pandangan saya hanya mereka yang merasa dan melalui hidup bermadu sahaja yang boleh mencurahkan isi hati mereka tentang seksanya hidup bermadu. Kalau takat suami bercinta lagi dan kemudian mengugut nak kahwin lagi rasanya memang ramai yang melaluinya, dan banyak pengalaman mereka, tetapi tidaklah sesakit hati isteri yang dimadukan.
“Tambah menyakitkan hati bila pengorbanan kita tidak dihargai, tetapi tak mahu melepaskan kita jika merasakan diri ini sudah tidak berguna lagi.’’ Itu curahan hati Nuradilah dalam e-melnya dan ketika kami berbual di telefon.
“Pada hemat saya terdapat dalam kalangan suami bila mereka berpangkat, berkedudukan dan bergaji lebih sikit dari isterinya dan berpelajaran tinggi, egonya setinggi langit. Dia pandang kita tak ubah macam kuli, dan khidmat kita hanya diperlukan ketika dia perlukan sahaja, lepas itu dia buat tak peduli. Pada perasannya dialah raja, dia boleh buat apa dia suka.
“Saya tak salahkan dia seratus peratus, mungkin inilah didikan ibunya ketika Ky masih bujang. Ky memang baik orangnya, semasa kami berkawan, tak banyak cakap. Tetapi suka bercerita tentang kemampuan dan kedudukan mereka, susur galur keluarga besarnya, tentang adik beradiknya berpelajaran tinggi, bergaji besar dan berpangkat.
“Sebagai anak keempat dia mempunyai cita-cita untuk jadi seperti kakak dan abangnya. Nasihat emaknya kalau tak berani berusaha mengubah diri, sampai bila pun tak akan berjaya. Jadi untuk mencapai matlamat tersebut, beberapa kali Ky bertukar-tukar kerja. Katanya dia mesti cari kerja yang sesuai dengan jiwanya, dan taraf serta kedudukannya selain kebolehannya.
“Baru dua tahun kahwin dia tukar kerja, ketika itu saya hamil anak pertama. Katanya kerja barunya tawar dia gaji lebih besar. Tempat lama tak bagus, lepas dapat anak ketiga dia tukar kerja lagi, katanya kerja barunya lebih baik untuk masa depan anak-anak. Saya nasihatkan dia jangan terlalu suka lompat-lompat kerja, tetapi katanya saya tak tahu apa jangan menyibuk. Dia tahu apa yang dia buat dan jangan cuba halang tindakannya.
“Setiap kali bertukar kerja, emaknya paling banyak memuji tentang kerjanya, gaji, pangkat dan masa depan Ky di tempat baru, dan harapannya. Saya cuma diam tak berani nak sampuk, ialah kita orang tak pandai, dan tak berani bertukar-tukar kerja atau melompat-lompat kerja.
“Saya bersyukur dengan kerjaya saya sambil berharapan kerja inilah akan membahagiakan hidup saya bersama anak-anak, walaupun pendapatan tak tinggi, mana tahu satu hari bila pengalaman bertambah tentu gaji bertambah, yang penting sabar!
“Boleh dikatakan setiap kali balik ke rumah mertua, saya akan ditanya tentang tugas dan masa depan kerjaya saya. Bila saya beri jawapan yang sama, beliau jadi bosan. Katanya sampai bila saya nak berubah mencari kerja yang lebih baik untuk dapat gaji yang setimpal dengan tugas serta kerja yang dilaksanakan?
“Saya cuma diam, tetapi saya katakan saya senang, selesa dan gembira dengan kerja yang saya buat sekarang. Pada saya itu lebih penting. Sindiran paling tajam saya dengar dari mertua katanya “saya tak ada masa depan!” Saya hanya senyum, walaupun dalam hati terasa pedih kerana disindir. Seolah-olah saya bodoh sangat takut mencuba nasib. Tapi saya sabar kerana pada saya yang lebih penting saya tahu jadual kerja saya sesuai dengan tanggungjawab saya di pejabat dan boleh uruskan anak-anak.
“Di tempat baru belum tentu saya selesa dan boleh bekerja dengan baik, sebab saya ada anak-anak yang perlukan perhatian saya, lainlah orang lelaki kerana mereka banyak menyerahkan tugas menjaga anak dan rumahtangga kepada isteri, dia lepas tangan kerana mahu senang.
“Nak jadikan cerita dalam pada melompat-lompat kerja inilah entah masa bila Ky tersangkut pada seorang gadis andartu sebaya Ky, bernama Jay. Dulu Ky kata wanita itu kawan sekolahnya, lepas tu kata kawan sama belajar di universiti. Saya diam saja, kerana fikirkan mereka kawan biasa. Tetapi sejak bekerja sepejabat cara hidup Ky banyak berubah. Dia lebih selesa di pejabat daripada di rumah. Kalau dulu sebulan sekali paling kurang jumpa emaknya, kini emaknya pulak sering telefon bertanya mana Ky lama tak datang rumahnya.
“Selama ini saya fikir bila tak ajak saya ikut sama balik rumah emaknya tentulah dia balik sendirian, tetapi tidak, sebaliknya emaknya mencari Ky di rumah. Walaupun saya sabar, tetapi sesekali terdetik juga dalam hati ke mana dia pergi sebenarnya. Bila tanya Ky katanya banyak kerja, itulah alasan yang kerap saya dengar.
Sepi
“Tetapi kerana saya baik dan penyabar (bukan nak puji diri) itu kata kawan-kawan Ky, maka terkeluarlah cerita Ky sebenarnya. Yang bercerita bukan kawan di tempat baru, tetapi di tempat kerja lamanya, yang kebetulan isterinya bekerja di tempat Ky bekerja.
“Nasihat kawan baik Ky dia minta saya bersabar dengan kerenah Ky kerana dia tahu hubungan Ky dengan Jay takkan kekal lama. Sebab menurut cerita isterinya, Jay ada ramai teman lelaki.
Hinggakan dia tak tahu mana satu yang Jay benar-benar serius, sebab semuanya dia kawan, maklum dia pegang tugas penting yang ramai orang mencarinya dan minta pertolongannya. Kebetulan Ky satu pejabat dan satu tugas, tentulah mereka sering tolong menolong. Memang rapatlah. Sebab tu selalu balik lewat.
“Kerana terlalu rapat mereka berdua sering ke luar daerah atas alasan kerja. Bab makan malam tak usah nak ceritalah, memang dah jarang makan di rumah. Masa berlalu begitu pantas, Setahun sudah berlalu, tiba-tiba saya dapat tahu mereka sudah nikah di sempadan. Terkejut beruk saya, tapi setiap kali saya tanya Ky nafikan hal ini.
“Setahun lamanya saya bersabar, akhirnya kesabaran saya tercabar juga, saya terus telefon Jay untuk dapatkan kepastian. Jawapan yang paling menyakitkan hati, “Memang saya nikah dengan Ky, apa awak nak buat?’’ Jatuh jantung saya. Katanya dia kahwin tidak susahkan hidup saya, malah dia banyak berkorban untuk Ky. Belum sempat saya bertanya lebih lanjut dia letakkan telefon. Memang sakit hati ini!
“Pelik sungguh apa pengorbanan Jay? Setelah saya siasat melalui kawannya, baru jelas cerita. Kerana cerita mereka telah berkahwin sudah tersebar luas, maka Ky terpaksa berhenti kerja, tak boleh bekerja satu tempat. Undang-undang pejabat. Tetapi saya tak tahu, Ky langsung tak cerita. Malah menafikan bila saya tanya adakah mereka sudah nikah.
“Dengan cerita baru ini, saya buat keputusan muktamad, saya minta cerai, sebab tak ada gunanya berkahwin, kalau suami lupa tugas hakikinya. Dan dia dah lupakan anak-anak. Paling teruk dia terlupa tanggungjawabnya. Sebab sentiasa mengadap bini baru. Tetapi malangnya Ky tak mahu ceraikan saya. Atas sebab apa saya tak tahu.
“Kerana enggan diceraikan saya, maka saya buat hal sendiri. Memasak bukan tugas rasmi saya. Saya cuma sediakan makan untuk anak-anak saja. Kepada anak-anak saya jelaskan cerita sebenar supaya mereka tidak tertunggu-tunggu ayah yang jarang-jarang balik apa lagi hujung minggu. Nasihat saya, mereka kena kuat belajar supaya boleh masuk asrama. Jangan fikir pasal ayah sebab dia dah ada isteri baru, sibuk dan tak ada masa untuk mereka lagi.
“Lepas berhenti kerja di pejabat Jay, Ky ada kerja lain, tetapi tak kekal. Sering bertukar kerja, saya tak hairan kerana itu hobinya. Bila umur semakin meningkat kerja makin payah. Pada saya inilah balasan orang suka bohong isteri dan tidak bertanggungjawab sebagai ayah apa lagi suami. Semasa bekerja, nak keluar duit bagi makan anak-anak terlalu berkira, konon nak simpan duit, tetapi sebenarnya untuk belanja dirinya sendiri.
“ Oleh kerana Jay terlalu sibuk dengan tugasnya yang bertambah besar itu, Ky pulak tak ada kerja lagi, maka dia sering balik ke rumah saya. Konon di rumah Jay sunyi, nak cari simpati saya. Malangnya kerana saya sudah bertahun-tahun ditinggalkan kesepian seorang diri, saya sudah terbiasa, kehadirannya langsung tidak bererti pada saya. Kerana itu dari awal lagi saya minta dibebaskan, tetapi Ky enggan ceraikan saya.
“Saya rasa pelik sudahlah tidak diceraikan, dilayan pun tidak. Jadi apa guna jadi isteri. lebih baik jadi ibu tunggal. Kini saya pulak tak pedulikan Ky, sebab sakit hati punya pasal. Sengsara jiwa ditinggalkan sepi sekian lama. Inilah masanya saya balas dendam. Memang berdosa, tetapi apakah Ky tidak berdosa kerana melupakan saya selama ini?
“Ketika Kay teringin hendak bermesra dengan anak-anak pun tak dapat, yang kecil sibuk sekolah dan tuisyen sementara dua lagi duduk sekolah berasrama. Jadi sekarang siapa yang rugi?
“Bukan itu saja, duduk di rumah saya dengan siapa nak bercakap? Pada saya inilah akibatnya jika suami ego, sombong, bongkak kepada anak dan isteri ketika berada dan kaya. Bila dah jatuh susah, siapa pun tak pedulikan dia. Isteri baharu pun semakin jauh.
“Ky patut insaf semasa kecil anak-anak tidak dipedulikan, bila dah besar anak-anak pulak jauhkan diri daripada ayahnya. Jadi jangan salahkan anak-anak jika mereka menyepi. Salahkan diri sendiri. Tanggunglah sendiri akibatnya.
“Sejak kahwin baru Ky jarang balik rumah emaknya kerana sibuk, banyak kerja. Kini bila dah tak bekerja diri sendiri terasa malu nak jumpa emak dan adik-beradik. Jadi salah siapa? Salahkan diri sendiri. Jika Ky terasa terpinggir, fikirkan penganiayaan yang dibuat pada anak isteri selama ini.
Ini kerana luka di hati ini terlalu dalam amat sukar sembuh. Insaflah kekayaan dan kemewahan kurniaan Allah tidak kekal selamanya jika tidak tahu bersyukur dan memberi kepada yang berhak,” itu luahan hati Nuradilah tentang kelukaan hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan