Ada juga laporan yang mengatakan sebab utama perceraian ialah kerana suami didera oleh isteri. Berbagai-bagai reaksi diterima sehingga ada yang mencadangkan sebuah kementerian untuk lelaki diwujudkan. Saya percaya, penderaan suami oleh isteri berlaku di abad ke-21 ini, namun ia bukanlah sebab utama perceraian. Malahan isteri yang didera suami jauh lebih besar jumlahnya jika dibandingkan dengan kes isteri mendera suami.

Dalam Islam kuasa talak itu di tangan suami dan suami wajib menceraikan isterinya yang nusyuz atau yang menderhaka kepadanya. Kes suami dibuli isteri walaupun ada namun jumlahnya tidak sampai lima peratus pun setahun bagi keseluruhan kes penderaan.

KETIDAKSEFAHAMAN

Alasan paling mudah diberikan oleh pasangan yang memohon untuk bercerai. Ketidaksefahaman berlaku kerana pasangan tidak dapat menyesuaikan diri dengan alam perkahwinan, masih memilih cara sendiri dalam urusan harian dalam rumahtangga sedangkan apabila sudah berkahwin, setiap pasangan perlu memikirkan bagaimana rumahtangga tersebut boleh berterusan dengan penuh kebahagiaan termasuk mengambil kira hati dan perasan pasangan masing-masing.


Pasangan mesti yakin inilah jodoh terbaik yang Allah tentukan, jika wujud kelemahan pasangan ia mesti diketepikan dan melihat hanya kepada kekuatan yang menyebabkan mereka ‘jatuh hati’ hingga berkahwin.

Ada yang beranggapan pasangan bercerai kerana semasa membuat keputusan untuk berkahwin, mereka tidak ikhlas kepada pasangan atau diri sendiri. Ini kerana kebanyakan keputusan untuk berkahwin dipengaruhi oleh rasa ingin merasai nikmat perkahwinan, usia yang bertambah atau semata-mata ingin menyelesaikan masalah nafsu. Lantas perkahwinan tanpa sebarang niat untuk mencari keredaan Allah SWT dan mengamalkan sunnah Nabi SAW.

Perkahwinan yang kekal lama dan bahagia tidak semestinya tanpa pergaduhan. Jika sebuah rumahtangga itu mendatar sahaja indeks kebahagiaannya tentu ia tidak mencabar naluri pasangan. Perbezaan cara dan gaya hidup serta latar belakang keluarga sebenarnya adalah sebahagian daripada asam garam rumahtangga. Cabarannya ialah sejauh mana pasangan dapat mengekalkan kesabaran dan kebahagiaan rumahtangga?

Dugaan rumahtangga yang paling hebat ialah pergaduhan sehingga berlaku perceraian. Ada pasangan kerana terlalu ego bercerai semasa sedang bergaduh. Misalnya, isteri mencabar suami untuk menceraikannya. Tentunya seorang lelaki apabila dicabar sedemikian akan menjadi marah.

Akibatnya terdapat pasangan menderita bertahun-tahun kerana terlepas kata! Ada pasangan yang tercabar rumahtangganya apabila mendapat anak. Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta dan nafsu tanpa berfikir untuk mendapat anak kerana merasa terlalu muda untuk memilikinya, dikejutkan apabila isteri hamil.

Sebagai seorang wanita, tentunya kehamilan itu adalah yang ditunggu-tunggu. Namun jika berlaku tanpa dirancang, ia boleh mengejutkan pasangan yang sememangnya belum bersedia untuk mendapat anak atau memang tidak mahu anak. Ada suami yang meminta isterinya menggugurkan kandungan atau isteri membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada suami untuk menggugurkan kandungan.

Hanya setelah usia perkahwinan memasuki tiga tahun dan masih tidak mempunyai zuriat, baru lah timbul rasa bersalah atau malu kerana tidak mempunyai zuriat.

KESAN BERPANJANGAN

Perceraian memberi kesan bukan sahaja kepada pasangan suami isteri tetapi kepada anak-anak, keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan kenalan. Bukannya mudah menyesuaikan diri selepas perceraian. Kesukaran menyesuaikan diri menyebabkan ramai pasangan bercerai mengalami kemurungan, rasa rendah diri dan sebagainya kerana kegagalan perkahwinannya.

Namun berapa ramai pasangan yang telah bercerai rujuk semula dengan pasangan masing-masing. Ada pasangan bercerai, mereka mengambil masa tersebut sebagai masa berfikir. Akhirnya mereka kembali hidup sebagai suami isteri. Ada juga membina rumahtangga kedua dengan orang lain dan berkekalan hingga ke akhir hayat kerana pengalaman pertama memberi kesan kuat kepada diri mereka dan perkahwinan kedua menjadi lebih baik berasaskan pengalaman buruk dalam perkahwinan pertama.

Apa-apa pun perceraian adalah cabaran paling hebat dalam sesebuah rumahtangga. Kata orang, “jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Tetapi jangan pula kerana takut pada ombak akhirnya langsung tidak berkahwin. Perkahwinan adalah suatu rahmat Allah SWT. Percayalah kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya rumahtangga akan menjadi lebih aman dan bahagia.