Tarikh : 17 April 2016
"SEMASA masih gadis dahulu, saya selalu membayangkan betapa bahagianya hidup seseorang gadis apabila dia memasuki alam rumah tangga. Saya bayangkan kebahagian mereka bila bergelar isteri. Tetapi setelah saya sendiri bergelar isteri, baru saya sedar, rupanya langit tidak selalu cerah, sungai tak selalu tenang, ada ketikanya airnya laju membahayakan, langit yang cerah bertukar gelap tanda hujan akan turun.
"Namun sebagai isteri saya sentiasa berusaha membahagiakan suami dan mengharmonikan keluarga, dengan melupakan masalah titik bengik dan berfikiran positif satu hari nanti yang buruk akan berganti baik, yang gelap akan bertukar cerah, dan banjir akan surut membawa sampah derita dan sungai kembali tenang.’’ Demikian hasrat Nooredah dalam e-melnya.
"Malangnya harapan tinggal harapan. Janji tinggal janji, hingga anak bertambah tiga yang sulung sudah 10 tahun, sayangnya suami masih tidak pernah berubah, sebaliknya semakin menjadi-jadi ragam perangainya suka menggoda gadis-gadis untuk memenuhi seleranya yang bernafsu.
"Namun saya tak salahkan suami saya seorang, gadis-gadis dan isteri orang juga sepatutnya sedarkan diri, tahu diuntung, sekali anda berhasrat menghancurkan rumah tangga orang lain, anda juga akan merasanya satu hari nanti.
"Salah seorang gadis yang pernah menjadi mangsa suami saya KayZek, Jun namanya. Katanya dia sukakan KayZek kerana dia jujur, ikhlas dan penyayang. Dia tahu KayZek sudah ada anak isteri, sebab itu dia berani dekatkan diri, sebab dia ingin meminta nasihat.
"Nasihat saya padanya, jangan percaya sangat pada KayZek takut dirinya jadi mangsa, orang berlagak jujur ni ada sebab tertentu. Kerana dia tahu wanita mudah percaya dan cepat jatuh hati pada lelaki yang pandai menjual diri. Akhirnya kerana terlalu percaya Jun tergoda. Tetapi dia masih berdegil hinggalah satu hari dia mengaku dirinya sudah ditinggalkan. KayZek tak mahu bertanggungjawab. Malah menyalahkan Jun yang cepat menyerah.
"Saya juga pernah tegur isteri orang yang gila “sms” dengan KayZek beberapa tahun lalu. Bila saya terangkan siapa diri saya, dia minta maaf katanya tak berniat nak hancurkan rumah tangga saya, sebab rumah tangganya juga hampir tenggelam kerana suami bercinta dengan gadis lagi.