Khamis, 8 Mei 2014

Siapa lebih berhak?

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 8/5/2014


PADA 7 April lalu, Mahkamah Tinggi Seremban membuat keputusan untuk memberikan hak penjagaan dua orang kanak-kanak yang berusia enam dan sembilan tahun kepada ibu mereka S. Deepa.

Keputusan ini menimbulkan pelbagai persepsi kerana sebelum ini Mahkamah Syariah telah memberikan hak penjagaan itu kepada pihak bapa N. Viran atau nama Islam beliau Izwan Abdullah.

Isu ini timbul apabila Izwan yang memeluk Islam turut membawa kedua-dua anak itu Sharmila, 9, dan Mithran, 6, yang ditukar nama kepada Nurul Nabila dan Nabil.

Deepa yang beragama Hindu pula membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil dan kemudiannya mengketepikan keputusan Mahkamah Syariah dan memberikan hak penjagaan ke atas anak-anaknya itu.

Adakah ini menunjukkan berlaku pertindihan perintah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil?

Yang pasti, Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai isu berbeza mengenai hak penjagaan dalam kes Izwan dan Deepa. Isu ini harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum pihak polis boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.

Bagaimana ini boleh berlaku? Siapa yang betul? Siapa yang salah dan keputusan Mahkamah mana yang seharusnya diikuti?

Pada dasarnya, Perlembagaan Persekutuan telah menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negeri-negeri Melayu.

Kedudukan Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya dalam perlembagaan cukup jelas. Ia memberikan kuasa kepada negeri untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam.

Peruntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan menegaskan Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan undang-undang Islam yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah dianggap sebagai undang-undang diri (personal law).

Ini tidak bermakna Mahkamah Syariah mencabul hal penganut agama lain seperti yang berlaku dalam kes Deepa dan Izwan ini. Tidak timbul soal pencabulan hak terhadap mereka yang menganuti agama lain atau pencabulan terhadap keputusan mahkamah lain.

Sebenarnya wujud garis pemisah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil iaitu pindaan Perenggan 1A dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Perenggan 1A ini menyatakan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Peruntukan ini telah mengeluarkan Mahkamah Syariah dari kekuasaan Mahkamah Sivil. Sebelum pindaan ini terdapat banyak kes di mana selepas Mahkamah Syariah membuat keputusan, pihak yang satu lagi akan memohon Mahkamah Sivil membuat keputusan sebaliknya, terutamanya dalam kes penjagaan anak.

Hasilnya kedua-dua mahkamah mengeluarkan keputusan yang berbeza dan ini menjadikan konflik berpanjangan. Jadi, pindaan pada Perenggan 1A ini bertujuan mewujudkan persefahaman dan supaya keputusan kedua-dua mahkamah dihormati.

Tetapi, kes Deepa dan Izwan ini menunjukkan bahawa konflik antara kedua-dua mahkamah ini masih wujud. Ini kerana kaedah penyelesaian mengatasi permasalahan undang-undang dan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Tinggi Sivil tidak semudah yang disangka.

Sebab itu perlu dipastikan bahawa penghakiman yang diberikan adalah adil kepada pihak-pihak yang terlibat. Bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan pihak-pihak yang beragama Islam sahaja.

Jika, terdapat salah satu pihak yang bukan beragama Islam, maka ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil untuk menyelesaikan kes tersebut walaupun perkara yang dipertikaikan sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hal ini menyebabkan undang-undang sivil dirujuk. Ini tidak bermakna undang-undang Islam dan hukum Syarak diketepikan. Namun, hierarki Mahkamah menyebabkan perintah Mahkamah Tinggi Sivil dipakai.

Dalam kes Myriam lawan Mohamed Ariff misalnya, Mahkamah Syariah telah menyerahkan hak penjagaan anak kepada bapa. Berikutan itu, si ibu telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Sivil untuk mendapatkan hak penjagaan anak yang mana keputusannya memihak kepada ibu.

Mahkamah Tinggi Sivil bukan sahaja ada bidang kuasa untuk mendengarnya, malah keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Sivil adalah berbeza dengan keputusan Mahkamah Syariah dan keputusan Mahkamah Tinggi Sivil adalah mengikat dan secara tidak langsung mengketepikan keputusan Mahkamah Syariah.

Merujuk kes Shamala lawan Muhammad Ridzwan, dia berkahwin dengan Jeyaganesh C. Mogarajah, 41, mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998. Tetapi empat tahun kemudian, Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.

Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran yang tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Kes ini ditentukan mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak penjagaan anak dari hasil perkahwinan sivil mereka kepada ibu atau bapa yang menukar kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama.

Peruntukan ini tidak konsisten dengan pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memberikan hak sama rata kepada ibu atau bapa dalam membesarkan dan penjagaan anak-anak mereka.

Kes hak penjagaan anak Shamala-Muhamad Ridzwan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan perlembagaan. Hasilnya Shamala memperoleh hak penjagaan terhadap dua anak lelakinya itu.

Tetapi dia diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu dan tidak memberi makan daging khinzir.

Begitu juga dalam kes Subashini lawan Saravanan. Dalam memberi keputusan, Mahkamah Syariah lebih menekankan aspek hak mengikut hukum syarak dan undang-undang Islam, sesuai dengan nama dan kedudukan Mahkamah Syariah itu sendiri. Manakala Mahkamah Tinggi Sivil lebih mengutamakan hak di bawah semua peruntukan undang-undang atau statut.

Penulisan ini tidak bertujuan membesar-besarkan kes perebutan atau pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, tidak dinafikan bahawa polemik kes Deepa dan Izwan mengundang reaksi hangat dari pelbagai pihak. Sesuatu harus dilakukan segera memandangkan Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang bebas menganuti agama pilihan masing-masing.

Tidak mustahil isu seperti ini akan berulang sedangkan isu yang sedia ada belum dapat diselesaikan.

Sepatutnya, dalam apa juga keadaan faktor kebajikan anak perlu diutamakan. Apa yang terbaik untuk anak-anak yang sepatutnya diambil kira dan ibu bapa perlu memberi penjagaan terbaik kepada anak-anak mereka.

Konflik antara keputusan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil ini hanya sebagai metafora kepada konflik kedua ibu dan bapa anak-anak yang terlibat.

Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil sebenarnya saling lengkap melengkapi dan hormat menghormati.

Jika kedua-dua pihak iaitu ibu dan bapa anak-anak yang terlibat dalam hak penjagaan anak ini juga saling melengkapi dan hormat menghormati, tidak mustahil kebajikan anak-anak mereka akan lebih terjamin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140508/ke_06/Siapa-lebih-berhak#ixzz31C41rWDP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman