Ahad, 4 Mei 2014

Isteri fobia hadir perbicaraan kes cerai di mahkamah

PerbicaOleh: Siti Razasah Abd Razak
Sumber : Berita Harian - Hak Muslim
Tarikh : xx/xx/2007

SAYA berhadapan dengan dilema. Suami menceraikan saya melalui surat dengan alasan saya tidak setuju hasratnya untuk berpoligami. Suami saya sudah membuat dua kali permohonan berpoligami di mahkamah, tetapi kedua-duanya ditolak kerana kewangan tidak kukuh dan tiada sebab bagi mengharuskan beliau berpoligami.

Saya sekarang menghadapi tekanan mental, sukar menjalankan tugas dengan sempurna dengan ragam anak yang masih kecil berumur dua tahun. Saya bersendirian tanpa keluarga. Saya menghadiri setiap perbicaraan di mahkamah untuk kes suami ingin berpoligami sejak Ogos 2005 selepas habis pantang bersalin hingga April 2007, Semuanya menggunakan duit sendiri. Suami sudah memfailkan kes cerai di mahkamah Kuala Lumpur, tetapi saya fobia dengan mahkamah hingga takut untuk menjenguk peti surat dan akan berasa tertekan jika ada surat bersampul putih.

Hingga sekarang saya tidak hadir ke mahkamah, saya berasakan tiada guna saya hadir, menghabiskan cuti, wang dan masa, tetapi akhirnya tiada apa yang saya dapat. Lagipun saya tidak biasa dengan jalan dan lokasi di Kuala Lumpur kerana bekerja di selatan. Lagipun, keadaan saya kurang sihat kerana ada gangguan luar yang saya rasa mahkamah tidak boleh terima kerana tiada bukti dari segi perubatan hospital.
Persoalan saya, adakah saya akan dikenakan waran tangkap oleh mahkamah jika tidak hadir untuk kes cerai ini dan bolehkah mahkamah selesaikan kes ini tanpa kehadiran saya. Bagaimana dengan hak jagaan anak saya berusia dua tahun. Adakah suami akan mendapat hak jagaan anak?

Isteri teraniaya

Pihak kami bersimpati atas apa yang puan lalui, tetapi puan perlu tabahkan hati menghadapi ujian hidup ini. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian ini untuk melihat sama ada puan tergolong dalam golongan insan yang sabar atau tidak. Lebih-lebih lagi, puan mempunyai anak yang memerlukan kasih sayang dan perhatian.

Mengenai perbicaraan di mahkamah, setiap kali hari perbicaraan ditetapkan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, puan perlu menghadirkan diri tanpa gagal. Jika puan tidak atau gagal menghadirkan diri ke mahkamah seperti dinyatakan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap terhadap diri puan. Ketidakhadiran ke mahkamah akan mendatangkan masalah terhadap puan dan anak.

Namun, mahkamah boleh menyelesaikan kes ini walaupun tanpa kehadiran puan. Jika suami puan memfailkan perceraian melalui permohonan perceraian secara persetujuan bersama mengikut Seksyen 47, mahkamah memerlukan persetujuan bercerai secara baik daripada puan.

Jika puan tidak hadir ke mahkamah, bagaimana untuk mahkamah menentukan sama ada puan bersetuju atau tidak dengan perceraian itu. Walau bagaimanapun, waran tangkap terhadap puan tetap boleh dikeluarkan mengikut Seksyen 51 Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Berkenaan hadanah anak, pada amnya anak yang masih kecil ibunya iaitu puan dalam kes ini berhak terhadap jagaan anak. Hadanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan masih kecil yang belum berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya anak berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Hak jagaan anak berdasarkan Seksyen 81 (1) dan Seksyen 87 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI). Walau bagaimanapun, jika puan berterusan dalam keadaan tertekan seperti sekarang, kemungkinan besar suami boleh mendapat hak jagaan anak atas alasan puan tidak mampu menjaga kerana keadaan puan yang selalu sakit dan mengalami tekanan jiwa.

Berdasarkan hukum syarak dan Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUKI). Merujuk Seksyen 83 (a) akta sama, seseorang ibu atau hadinah boleh hilang kelayakan jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu. Oleh itu, puan perlu mengubah diri daripada sikap negatif kepada positif bagi mendapatkan hak jagaan anak.

Kami nasihatkan puan supaya menghadiri perbicaraan itu sepenuhnya. Jika puan bersetuju dengan perceraian berkenaan dan selepas pengesahan lafaz perceraian di hadapan Mahkamah Syariah, seorang isteri masih mempunyai hak yang boleh dituntut daripada bekas suami antaranya nafkah edah, nafkah tertunggak, mutaah, harta sepencarian, hutang, nafkah anak dan hak jagaan anak. Berkaitan hak berkenaan, puan boleh merujuk jawapan yang pernah kami siarkan sebelum ini.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang soalan, sila kirimkan ke exco_pgsm@yahoo.com

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya nak tanya adakah boleh saya tunda kes perbicaraan ini jika sy pihak isteri tidak setuju untuk bercerai ayas sebab suami ingin bercerai kerana pihak ketiga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman