Mahkamah Syariah sabitkan gugur talak tiga ke atas Shamsudin-Azida
Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM
Sumber : xx
Tarikh : 24/07/2007
KUALA LUMPUR 24 Julai - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini mengesah dan mensabitkan perceraian satu pasangan suami isteri yang dilafazkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada April lalu.
SMS yang dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya, Azida Fazlina Abdul Latif tertera: ``Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''.
Pada masa lafaz itu dihantar pada pukul 10.04 pagi 18 April lalu, Azida berada di rumah keluarganya dan dia hanya membacanya pada pukul 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang.
Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail semasa membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap Azida.
Beliau juga memerintahkan Azida beredah selama tiga kali suci bermula daripada tarikh SMS itu diterima.
Mahkamah juga merekodkan persetujuan sulh yang dicapai antara pasangan itu yang berkahwin pada 25 Disember 2001 dan tidak mempunyai anak, berhubung nafkah edah dan mutaah serta nafkah tertunggak.
Shamsudin bersetuju membayar nafkah edah RM1,200 dan mutaah RM1,000 serta nafkah tertunggak selama 10 bulan sebanyak RM2,000.
Mahkamah memerintahkan beliau menjelaskan keseluruhan bayaran RM4,200 itu dalam masa 14 bulan dengan ansuran RM300 sebulan ke dalam akaun Azida yang berkuat kuasa mulai bulan ini sehingga Ogos tahun depan.
Pada prosiding 9 Julai lalu, Azida yang bertindak sebagai plaintif memberitahu mahkamah bahawa dia pasti SMS itu dihantar oleh suaminya (ketika itu).
Shamsudin yang dinamakan sebagai defendan ketika ditanya oleh mahkamah, memperakukan keterangan yang diberikan oleh Azida.
Ketika itu, Azida dengan nada sebak juga memberitahu bahawa suaminya pernah `melafazkan' cerai taklik yang sama melalui SMS tetapi menarik balik kata-katanya.
Selepas itu, Azida yang menangis teresak-esak memberitahu mahkamah bahawa suaminya selalu melafazkan hendak menceraikannya tetapi dia yang tidak mahu. Dia juga memberitahu bahawa tidak pernah melanggar taklik yang dibuat oleh suaminya sebelum ini.
Berhubung penggunaan SMS bagi lafaz cerai, Singapura pada Julai tahun lalu telah meluluskan fatwa lafaz cerai seseorang suami kepada isterinya yang dilakukan menerusi SMS telefon bimbit sebagai sah dan boleh dilakukan menerusi perkhidmatan tersebut.
Pendaftar Mahkamah Syariah republik itu, Shaiffuddin Saruwan berkata, lafaz cerai menerusi SMS adalah sama kesannya seperti lafaz cerai melalui sepucuk surat.
Bagaimanapun suami berkenaan perlu hadir di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan perceraian tersebut.
Menurut Shaiffuddin, mahkamah perlu meneliti setiap kes cerai sebelum memberikan kata putus.
``Lafaz cerai adalah memadai dengan dilakukan melalui SMS dan syarat bagi membolehkan lafaz itu sah adalah pengirim SMS adalah suami, kenyataan lafaz cerai itu adalah jelas dan semasa menghantar SMS, si suami berniat menceraikan isterinya,'' katanya.
Beliau ketika itu mengulas kenyataan Penasihat Unit Kaunseling Kekeluargaan Mahkamah Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Abdel Salam Mohammad sebagai berkata, lafaz perceraian boleh dibuat menerusi SMS.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan