Sumber : Kosmo - varia
Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Tarikh : 9/5/2014
WANITA mempunyai kuasa mutlak terhadap hartanya walaupun mereka bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Ia juga tidak menghilangkan haknya untuk mendapat nafkah daripada suami mengikut kemampuan suaminya dan mengambil kira juga status sosial isteri.
Ini dapat dilihat dengan jelas dengan pensyariatan mahar yang merupakan satu bayaran yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri pada masa akad dijalankan sama ada dalam bentuk tunai atau hutang.
Undang-undang Islam sangat konsisten dalam membincangkan hak mutlak wanita terhadap mahar dan ia tidak boleh dipindah milik kepada suami atau bapanya kecuali dengan keizinannya.
Sehubungan dengan itu, Allah berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 4 yang bermaksud: "Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedaya lagi baik."
Dari perspektif hukum pula, semua mazhab dalam undang-undang Islam berpendapat setiap sesuatu yang mempunyai nilai boleh dinamakan sebagai mahar. Bagaimanapun, Rasulullah SAW mengehadkan jumlah mahar tidak kurang dari 10 dirham dan tidak lebih 500 dirham (jumlah yang ditetapkan oleh Rasulullah kepada isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya).
Apabila jumlah mahar tidak disebut dalam akad perkahwinan, isteri berhak mendapat mahar mithil iaitu jumlah mahar kakak atau ibu saudara sebelah bapa bersesuaian dengan kedudukannya.
Mas kahwin
Sesetengah ulama Islam menegaskan bahawa dalam menentukan jumlah mahar, seseorang hendaklah mengambil kira kedudukan ekonomi, sosial, moral dan intelektual isteri.
Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami atau wakilnya kepada isteri di hadapan orang yang melakukan akad dan disaksikan juga oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi sebagai yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.
Biasanya, jumlah mas kahwin dibayar mengikut status, kedudukan dan pangkat pengantin perempuan. Walaupun begitu, ia tidaklah menjadi satu bentuk pengukuran yang mesti diikut sehingga menyusahkan pihak lelaki atau wanita untuk meneruskan ikatan perkahwinan.
Konsep harta sepencarian atau harta perkahwinan masih banyak tidak diketahui oleh masyarakat Islam di Malaysia kecuali mereka yang menghadapi masalah pembahagian harta jika berlaku perceraian atau kematian.
Ada juga yang mengatakan undang-undang ini berasal dari adat dan ada yang menghubungkan pemakaiannya dengan hukum Islam.
Walau apa pun hujahnya, ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang meletakkan bahawa semua individu mempunyai hak untuk mempunyai harta.
Adat juga merupakan sumber hukum Islam yang boleh diterima pakai jika tidak bersalahan dengan hukum syarak. Apatah lagi dalam konteks orang-orang Islam di Tanah Melayu, adat mestilah bersendikan kepada hukum syarak dan berpaksikan kepada kitab Allah.
Harta sepencarian
Harta sepencarian merujuk kepada apa-apa aset yang diperoleh oleh pasangan suami isteri dalam masa perkahwinan sama ada harta tersebut bersifat harta yang berbentuk fizikal atau harta yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti harta intelek.
Ia tidak termasuk harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau hadiah kecuali jika berlaku penambahbaikan kepada nilai harta tersebut melalui sumbangan oleh pihak yang satu lagi.
Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia khususnya mengiktiraf sumbangan suami isteri dalam memperoleh aset sebagai harta sepencarian dengan tuntutan boleh dibuat jika berlaku perceraian atau kematian salah satu pihak dalam perkahwinan tersebut.
Apa yang dimaksudkan dengan sumbangan di sini ialah melalui sumbangan harta, wang ringgit dan tenaga kerja. Ini bermakna jika suami atau isteri menyumbang secara langsung dalam pembelian rumah atau apa-apa aset dalam perkahwinan, secara umumnya harta tersebut kedua-dua berhak mendapat pembahagian yang sama rata terhadap harta itu sama ada harta tersebut didaftarkan atas nama bersama atau nama seorang sahaja.
Adalah lebih baik dalam hal ini, setiap harta yang dibeli melalui sumbangan kedua-dua pihak, hendaklah didaftarkan secara bersama untuk memberi perlindungan dalam tuntutan harta jika berlaku masalah seperti perceraian atau kematian salah satu pihak dalam perkahwinan.
Harta sepencarian adalah harta yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dari aspek pembahagiannya sebelum pembahagian harta pusaka dalam kes kematian. Perincian tentang aspek pembahagian akan dibincangkan pada siri akan datang.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_03.htm#ixzz31C1TkTjR
Hakcipta terpelihara
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan