Sabtu, 31 Mei 2014

Laknat menimpa jika berdusta ketika li'an - Peguam Syarie Menulis

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 2008

KEBELAKANGAN ini banyak timbul isu atau kes di Mahkamah Syariah berkaitan kecurangan suami mahupun isteri dan kesan daripada kecurangan itu menyebabkan kebanyakan daripada mahligai yang dibina musnah atau hancur di pertengahan jalan.

Kesan daripada kecurangan itu juga menyebabkan kepercayaan pada pihak suami atau isteri akan tergugat sehingga timbul kes di mana seorang suami sanggup menuduh isterinya melakukan zina atau menafikan kandungan yang dikandung isteri bukan darah dagingnya.

Tuduhan seorang suami bahawa isterinya berzina atau menuduh anak yang bakal dilahirkan itu adalah bukan darah dagingnya satu tuduhan yang serius dan amat berat dalam Islam.

Jika berlaku, suami perlu membuktikan isterinya sudah berzina dan ini menjadi beban kepadanya melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah yang boleh memberi bukti isterinya melakukan zina.

Nafkah pengikat kasih

Oleh : Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 2007

Ikut keperluan, situasi

NAFKAH adalah perkara asas dalam sebuah keluarga yang membawa kepada kesejahteraan, kecemerlangan dan keutuhan institusi berkeluarga. Tanpanya, ia mengakibatkan kehidupan rumah tangga terumbang-ambing.

Isu nafkah, walaupun tidak diberikan perhatian oleh sesetengah pihak, sama ada menganggapnya perkara remeh atau sengaja ingin lari daripada tanggungjawab, sebenarnya satu topik asasi dalam kehidupan.

“Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah ia menafkahkan dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (At-Talaaq:7)

Persoalan nafkah diterangkan di dalam al-Quran seperti dalam petikan ayat berkenaan, tetapi bagi sesetengah masyarakat disebabkan tiada fokus pada isu terbabit menyebabkan mereka gagal memahami maksud dan konsep nafkah.

Nafkah itu apa dan siapa yang sepatutnya memberi serta menerima nafkah? Bagaimana kedudukannya jika tidak diberikan nafkah, bolehkah diambil tindakan dan apakah tindakan permulaan?

Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norhidayah Mohd Hashim, berkata perkara ini memang jelas disebut khusus di dalam al-Quran, malah Rasulullah s.a.w juga ada menyatakannya.

Menurutnya, ruang lingkup nafkah sangat besar, bukan terbatas pada wang ringgit saja, malah merangkumi semua keperluan, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan.

“Mengikut pendapat ahli fiqah, seperti Ibnu Qudamah, nafkah ialah sesuatu yang dibelanjakan oleh suami untuk melengkapkan apa saja keperluan isteri, termasuk dalam aspek makan, minum dan pakaian.

“Imam Nawawi mengatakan, makanan dan pakaian itu mengikut musim, termasuk tempat tinggal seperti rumah, tempat duduk seperti sofa dan jika perlu selimut, selimut itu nafkah.

“Demikian juga, jika isteri perlu syampu, syampu itu juga perlu disediakan dan itulah nafkah,” katanya sambil menegaskan, seorang suami wajib memberikan nafkah dalam apa saja keadaan kepada isterinya.

Beliau berkata, sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan wanita berada yang tidak biasa melakukan kerja rumah, mencari dan mendapatkan orang gaji itu juga termasuk nafkah.

“Isteri yang bergaji besar juga perlu diberikan nafkah, kecuali isterinya mengatakan tidak mengapa sekiranya tidak diberikan padanya,” katanya.

Nurhidayah berkata, begitupun seorang suami wajib memberikan nafkah sekadar termampu.

“Walaupun anak Datuk, Tan Sri tetapi sekiranya suami tidak mampu menyediakan yang lebih selesa, seperti menyediakan orang gaji, si isteri kena reda.

“Nafkah diberi secara berpada, misalnya mengikut keperluan dan situasi. Jika wang ringgit mahu dinilaikan jumlahnya, ia boleh dinilai mengikut keadaan semasa dan lokasi tempat tinggal.

“Tetapi bagi isteri nusyuz (iaitu melakukan perkara yang dianggap menderhaka pada suami), mereka tidak layak menerima nafkah,” katanya.

Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata jika tidak mengetahui nafkah itu tanggungjawab siapa, masyarakat akan menjadi kelam-kabut.

“Mengikut peruntukan undang-undang, tanggungjawab nafkah terletak pada suami dan isteri berhak menuntutnya di mahkamah jika suami tidak memberikan nafkah kepadanya.

“Nafkah isteri bermula daripada akad nikah. Dalam konteks nafkah kita perlu pada isteri dan ibu-ibu bertindak. Allah sudah mengatakan atas diri kita ada hak.

“Jika suami masih abai tanggungjawab, isteri kena ubah, tegur dan bertindak untuk mendapatkan keadilan,” katanya sambil memberikan ingatan kepada masyarakat: “Banyak rumah tangga terkorban kerana nafkah.”

Kes berkaitan nafkah antara kes utama difailkan di Mahkamah Syariah, sama ada berkaitan nafkah ke atas isteri atau anak-anak.

“Nafkah suatu kewajipan secara umum berkaitan fizikal, jika tidak diberi berlaku kezaliman dan tiada keadilan.

“Satu lagi mengenai nafkah adalah berbentuk spiritual. Sebenarnya undang-undang saja tidak boleh menyelesaikan masalah manusia. Ini kerana dalam undang-undang tidak menyebut mengenai kasih sayang.

“Kita lihat hari ini, walaupun anak isteri diberikan banyak wang, diberikan kad kredit, mereka masih ke mahkamah (kerana berasa terabai).

“Ada kebelakangan ini persoalan kasih sayang yang berkaitan nafkah dan yang ini perlu kepada pindaan,” katanya.

Jumaat, 16 Mei 2014

Menjaga maslahah wanita

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 16/05/2014


KEBELAKANGAN ini kita banyak melihat perbincangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. Pelbagai komen telah dibuat mengenai undang-undang tersebut sama ada daripada persepsi positif mahupun negatif.

Apa yang boleh disimpulkan ialah masyarakat masih keliru dengan undang-undang hudud dan ada juga yang mengatakan bahawa hukuman ini akan mendiskriminasi wanita.

Jika kita melihat dari kaca mata Islam, tidak ada hukuman yang Allah jadikan akan merugikan wanita dan mana-mana pihak sekali pun, jika betul dari sudut pemahaman dan paling penting ialah dari aspek pelaksanaan hukuman tersebut.

Sejarah juga telah membuktikan bagaimana kedatangan Islam telah merubah persepsi masyarakat jahiliah terhadap wanita dan menyelamatkan mereka daripada pembunuhan hidup-hidup yang jika kita lihat dalam dunia hari ini masih berlaku dalam pelbagai bentuk.

Allah telah menurunkan ayat al-Quran melarang keras pembunuhan anak-anak perempuan bagi mengembalikan fitrah manusia yang saling memerlukan kepada kedua-duanya.

Pesanan terakhir Rasululullah SAW pada hujjatul wada, baginda menjadikan isu menjaga maslahah wanita sebagai agenda penting.

Antara petikan yang boleh diambil iktibar ialah Rasulullah SAW menyebut: "Wahai manusia, sebagai mana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

"Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya, mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."

Teguran ini menunjukkan satu model kehidupan yang sepatutnya berlaku iaitu menguruskan hubungan suami-isteri demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.


Oleh sebab itu, telah disebut dalam ayat yang lain (al Jaathiyah: 18) bahawa Allah menjadikan syariat iaitu jalan dan petunjuk supaya manusia mengambil iktibar serta menguruskan kehidupan mengikut garis panduan tersebut.

Ayat tersebut menyebut: "Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."

Imam Syatibi menyebut bahawa keperluan untuk mengambil syariat Allah secara keseluruhannya adalah penting kerana manusia tidak akan tahu kebaikan sesuatu perkara melainkan Allah.

Malah, diperjelaskan dalam perkara yang paling hampir dengan kehidupan manusia seperti hubungan keluarga. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 231-232: "Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir edahnya, maka rujuklah mereka dengan cara yang ma'ruf (baik), atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma'ruf (pula).

Janganlah kamu rujuk mereka dengan maksud jahat untuk menzalimi mereka.

Barang siapa melakukan demikian, maka sungguh ia menzalimi dirinya sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum Allah sebagai permainan.

Ingatlah, nikmat Allah kepadamu dan apa yang telah diturunkan Allah kepadamu iaitu al-Kitab (Quran) dan Hikmah (Sunah) untuk memberi pengajaran kepadamu.

Maka, bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah bahawa Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa edah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak).

Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya."

Larangan menghapuskan pembunuhan anak-anak perempuan juga memperlihatkan hikmah yang sangat mendalam.

Pada hari ini kita melihat apabila fitrah kejadian manusia diganggu dengan dasar-dasar tertentu seperti one child policy yang diamalkan di China, dengan mengehadkan bilangan anak telah menyebabkan berlaku kekurangan wanita kerana ibu bapa akan memberi keutamaan kepada anak lelaki untuk membantu keluarga apabila mereka sudah tua.

Keadaan ini akan mengganggu kitaran ekologi manusia terutama dalam sistem sokongan keluarga yang sekarang ini telah menjadi manusia.

Dalam kehidupan berkeluarga, ayat-ayat Allah amat jelas menekankan tentang perlunya rasa hormat-menghormati sehingga seorang suami tidak boleh menuduh isterinya berlaku curang tanpa bukti.

Surah al-Nur memberi pengajaran yang jelas tentang hal ini. Allah menyebut: ".. dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia daripada orang-orang yang benar."

Tuduhan ini tidak boleh diambil ringan kerana kesan daripada tuduhan tersebut boleh menyebabkan proses perceraian berlaku melalui li'an dan pihak-pihak tidak boleh berkahwin semula untuk selama-lamanya.

Kesan ini menunjukkan perbuatan membuat tuduhan walaupun belum pasti ada kebenarannya, boleh menyebabkan hubungan manusia terputus. Memetik kata-kata Imam Yusuf al-Qaradhawi mengenai sikap manusia terhadap syariat Allah ialah mempunyai syariat sahaja tidak membina ummah. Ia perlu kepada perubahan pemikiran dan penghayatan dengan menjadikan syariat perkara yang tinggi kedudukannya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz31qoTJfKu
Hakcipta terpelihara

Ahad, 11 Mei 2014

Isteri boleh tuntut fasakh jika suami abai nafkah - Peguam Syarie Menulis

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 31/10/2008

Islam sedia penyelesaian adil bagi jamin hak wanita dalam sesebuah perkahwinan

ANTARA tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, (Juzuk 11, terjemahan, halaman 424) fuqaha' sependapat nafkah wajib ke atas suami merdeka dan nafkah kepada isteri perlu selaras dengan ketaatannya.

Nafkah batin diakui fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang dan belaian. Firman Allah an-Nisa ayat 19 bermaksud, "dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu) menurut cara yang ma'ruf (secara layak)."
Firman ini jelas menunjukkan hak nafkah batin isteri amat penting dalam perkahwinan. Isteri yang tidak mendapat hubungan seksual atau perhatian dan kasih sayang mudah hilang arah sekali gus membuka ruang untuknya melakukan maksiat. Suami patut menjadi pelindung kepada isteri dalam memberikan jaminan daripada segala keburukan dan kemaksiatan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222, "Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangi mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu...." Hadis Riwayat Muslim dalam kitab haji, bab haji Nabi 1218, daripada Jabir r.a. (hadis haji wada'), "Bertakwa kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan isteri ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya, pukul mereka dengan pukulan tidak terlalu menyakitkan (tidak mendera).

Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu perkara yang kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.

Seterusnya Ibn Hazm dalam Kitabnya, al-Muhalla menyatakan wajib suami memberi nafkah batin (layanan) kepada isterinya sekurang-kurangnya satu kali suci daripada haid (sebulan sekali). Ayat al-Quran dan hadis serta pandangan ulama menunjukkan pentingnya tanggungjawab suami dari segi memberi nafkah zahir dan batin bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Jika tidak perkahwinan akan hancur.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh. Namun peruntukan ini mensyaratkan pengabaian itu adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak lebih setahun.

Seksyen 53(1)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, 2003 memperuntukkan, "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu (d) suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;"

Berdasarkan peruntukan itu, sesuatu perkahwinan boleh difasakhkan atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan mengikut Seksyen 53. Jika memohon fasakh atas alasan dinyatakan di atas dan dibuktikan maka mahkamah ada bidang kuasa membubarkan pernikahan. Namun apa yang biasa timbul di Mahkamah Syariah hari ini terlalu jarang suami memohon fasakh atas alasan itu. Kebiasaannya wanita yang menggunakan peruntukan ini jika suami mengabaikan nafkah batin.

Tidak dinafikan, nafkah batin adalah soal peribadi dan rahsia mutlak wanita. Hanya isteri selain Allah mengetahui dia tidak bersama suami. Isteri harus bersumpah untuk membuktikan dakwaannya.

Fasakh atas alasan tidak menunaikan nafkah batin bersandarkan hukum syarak. Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, juzuk. 7, halaman 535, menyatakan peruntukan fasakh atas alasan suami tidak menunaikan nafkah batin dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Maliki. Menurut pendapat ini, tidak menunaikan nafkah batin diterima sebagai alasan memohon fasakh kerana dianggap penderaan terhadap isterinya. Penderaan merangkumi segala apa yang lahir daripada suami sama ada perbuatan, perkataan dan perbuatannya yang memudaratkan isteri dalam setiap keadaan walaupun suami tidak bermaksud menyakitinya.

Islam menegah perbuatan menzalimi kaum wanita. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 bermaksud, "Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri )dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka."

Daripada zahir ayat Allah memberikan panduan yang wajib diikuti suami supaya dapat bergaul dengan isteri secara baik. Kesimpulannya, jika perkahwinan tidak lagi mendatangkan kebaikan, malah menimbulkan kemudaratan terutama berkaitan nafkah batin, ia wajar dibubarkan. Jika isteri reda ia tidak menjadi suatu masalah, jika sebaliknya wajar dielak supaya isteri tidak terdedah melakukan maksiat. Islam menyediakan penyelesaian ini bagi memastikan kemaslahatan umatnya terjaga dan terjamin. Undang-undang yang digubal turut mengambil kira faktor ini untuk menegakkan keadilan tanpa 'bias' kepada lelaki atau perempuan.

Jumaat, 9 Mei 2014

Hak wanita terhadap mahar, harta sepencarian

Sumber : Kosmo - varia
Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Tarikh : 9/5/2014

WANITA mempunyai kuasa mutlak terhadap hartanya walaupun mereka bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Ia juga tidak menghilangkan haknya untuk mendapat nafkah daripada suami mengikut kemampuan suaminya dan mengambil kira juga status sosial isteri.

Ini dapat dilihat dengan jelas dengan pensyariatan mahar yang merupakan satu bayaran yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri pada masa akad dijalankan sama ada dalam bentuk tunai atau hutang.

Undang-undang Islam sangat konsisten dalam membincangkan hak mutlak wanita terhadap mahar dan ia tidak boleh dipindah milik kepada suami atau bapanya kecuali dengan keizinannya.

Sehubungan dengan itu, Allah berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 4 yang bermaksud: "Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedaya lagi baik."

Dari perspektif hukum pula, semua mazhab dalam undang-undang Islam berpendapat setiap sesuatu yang mempunyai nilai boleh dinamakan sebagai mahar. Bagaimanapun, Rasulullah SAW mengehadkan jumlah mahar tidak kurang dari 10 dirham dan tidak lebih 500 dirham (jumlah yang ditetapkan oleh Rasulullah kepada isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya).

Apabila jumlah mahar tidak disebut dalam akad perkahwinan, isteri berhak mendapat mahar mithil iaitu jumlah mahar kakak atau ibu saudara sebelah bapa bersesuaian dengan kedudukannya.

Mas kahwin

Sesetengah ulama Islam menegaskan bahawa dalam menentukan jumlah mahar, seseorang hendaklah mengambil kira kedudukan ekonomi, sosial, moral dan intelektual isteri.

Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami atau wakilnya kepada isteri di hadapan orang yang melakukan akad dan disaksikan juga oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi sebagai yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.

Biasanya, jumlah mas kahwin dibayar mengikut status, kedudukan dan pangkat pengantin perempuan. Walaupun begitu, ia tidaklah menjadi satu bentuk pengukuran yang mesti diikut sehingga menyusahkan pihak lelaki atau wanita untuk meneruskan ikatan perkahwinan.

Konsep harta sepencarian atau harta perkahwinan masih banyak tidak diketahui oleh masyarakat Islam di Malaysia kecuali mereka yang menghadapi masalah pembahagian harta jika berlaku perceraian atau kematian.

Ada juga yang mengatakan undang-undang ini berasal dari adat dan ada yang menghubungkan pemakaiannya dengan hukum Islam.

Walau apa pun hujahnya, ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang meletakkan bahawa semua individu mempunyai hak untuk mempunyai harta.

Adat juga merupakan sumber hukum Islam yang boleh diterima pakai jika tidak bersalahan dengan hukum syarak. Apatah lagi dalam konteks orang-orang Islam di Tanah Melayu, adat mestilah bersendikan kepada hukum syarak dan berpaksikan kepada kitab Allah.

Harta sepencarian

Harta sepencarian merujuk kepada apa-apa aset yang diperoleh oleh pasangan suami isteri dalam masa perkahwinan sama ada harta tersebut bersifat harta yang berbentuk fizikal atau harta yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti harta intelek.

Ia tidak termasuk harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau hadiah kecuali jika berlaku penambahbaikan kepada nilai harta tersebut melalui sumbangan oleh pihak yang satu lagi.

Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia khususnya mengiktiraf sumbangan suami isteri dalam memperoleh aset sebagai harta sepencarian dengan tuntutan boleh dibuat jika berlaku perceraian atau kematian salah satu pihak dalam perkahwinan tersebut.

Apa yang dimaksudkan dengan sumbangan di sini ialah melalui sumbangan harta, wang ringgit dan tenaga kerja. Ini bermakna jika suami atau isteri menyumbang secara langsung dalam pembelian rumah atau apa-apa aset dalam perkahwinan, secara umumnya harta tersebut kedua-dua berhak mendapat pembahagian yang sama rata terhadap harta itu sama ada harta tersebut didaftarkan atas nama bersama atau nama seorang sahaja.

Adalah lebih baik dalam hal ini, setiap harta yang dibeli melalui sumbangan kedua-dua pihak, hendaklah didaftarkan secara bersama untuk memberi perlindungan dalam tuntutan harta jika berlaku masalah seperti perceraian atau kematian salah satu pihak dalam perkahwinan.

Harta sepencarian adalah harta yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dari aspek pembahagiannya sebelum pembahagian harta pusaka dalam kes kematian. Perincian tentang aspek pembahagian akan dibincangkan pada siri akan datang.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_03.htm#ixzz31C1TkTjR
Hakcipta terpelihara

Khamis, 8 Mei 2014

Siapa lebih berhak?

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 8/5/2014


PADA 7 April lalu, Mahkamah Tinggi Seremban membuat keputusan untuk memberikan hak penjagaan dua orang kanak-kanak yang berusia enam dan sembilan tahun kepada ibu mereka S. Deepa.

Keputusan ini menimbulkan pelbagai persepsi kerana sebelum ini Mahkamah Syariah telah memberikan hak penjagaan itu kepada pihak bapa N. Viran atau nama Islam beliau Izwan Abdullah.

Isu ini timbul apabila Izwan yang memeluk Islam turut membawa kedua-dua anak itu Sharmila, 9, dan Mithran, 6, yang ditukar nama kepada Nurul Nabila dan Nabil.

Deepa yang beragama Hindu pula membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil dan kemudiannya mengketepikan keputusan Mahkamah Syariah dan memberikan hak penjagaan ke atas anak-anaknya itu.

Adakah ini menunjukkan berlaku pertindihan perintah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil?

Yang pasti, Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai isu berbeza mengenai hak penjagaan dalam kes Izwan dan Deepa. Isu ini harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum pihak polis boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.

Bagaimana ini boleh berlaku? Siapa yang betul? Siapa yang salah dan keputusan Mahkamah mana yang seharusnya diikuti?

Pada dasarnya, Perlembagaan Persekutuan telah menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negeri-negeri Melayu.

Kedudukan Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya dalam perlembagaan cukup jelas. Ia memberikan kuasa kepada negeri untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam.

Peruntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan menegaskan Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan undang-undang Islam yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah dianggap sebagai undang-undang diri (personal law).

Ini tidak bermakna Mahkamah Syariah mencabul hal penganut agama lain seperti yang berlaku dalam kes Deepa dan Izwan ini. Tidak timbul soal pencabulan hak terhadap mereka yang menganuti agama lain atau pencabulan terhadap keputusan mahkamah lain.

Sebenarnya wujud garis pemisah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil iaitu pindaan Perenggan 1A dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Perenggan 1A ini menyatakan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Peruntukan ini telah mengeluarkan Mahkamah Syariah dari kekuasaan Mahkamah Sivil. Sebelum pindaan ini terdapat banyak kes di mana selepas Mahkamah Syariah membuat keputusan, pihak yang satu lagi akan memohon Mahkamah Sivil membuat keputusan sebaliknya, terutamanya dalam kes penjagaan anak.

Hasilnya kedua-dua mahkamah mengeluarkan keputusan yang berbeza dan ini menjadikan konflik berpanjangan. Jadi, pindaan pada Perenggan 1A ini bertujuan mewujudkan persefahaman dan supaya keputusan kedua-dua mahkamah dihormati.

Tetapi, kes Deepa dan Izwan ini menunjukkan bahawa konflik antara kedua-dua mahkamah ini masih wujud. Ini kerana kaedah penyelesaian mengatasi permasalahan undang-undang dan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Tinggi Sivil tidak semudah yang disangka.

Sebab itu perlu dipastikan bahawa penghakiman yang diberikan adalah adil kepada pihak-pihak yang terlibat. Bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan pihak-pihak yang beragama Islam sahaja.

Jika, terdapat salah satu pihak yang bukan beragama Islam, maka ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil untuk menyelesaikan kes tersebut walaupun perkara yang dipertikaikan sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hal ini menyebabkan undang-undang sivil dirujuk. Ini tidak bermakna undang-undang Islam dan hukum Syarak diketepikan. Namun, hierarki Mahkamah menyebabkan perintah Mahkamah Tinggi Sivil dipakai.

Dalam kes Myriam lawan Mohamed Ariff misalnya, Mahkamah Syariah telah menyerahkan hak penjagaan anak kepada bapa. Berikutan itu, si ibu telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Sivil untuk mendapatkan hak penjagaan anak yang mana keputusannya memihak kepada ibu.

Mahkamah Tinggi Sivil bukan sahaja ada bidang kuasa untuk mendengarnya, malah keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Sivil adalah berbeza dengan keputusan Mahkamah Syariah dan keputusan Mahkamah Tinggi Sivil adalah mengikat dan secara tidak langsung mengketepikan keputusan Mahkamah Syariah.

Merujuk kes Shamala lawan Muhammad Ridzwan, dia berkahwin dengan Jeyaganesh C. Mogarajah, 41, mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998. Tetapi empat tahun kemudian, Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.

Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran yang tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Kes ini ditentukan mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak penjagaan anak dari hasil perkahwinan sivil mereka kepada ibu atau bapa yang menukar kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama.

Peruntukan ini tidak konsisten dengan pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memberikan hak sama rata kepada ibu atau bapa dalam membesarkan dan penjagaan anak-anak mereka.

Kes hak penjagaan anak Shamala-Muhamad Ridzwan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan perlembagaan. Hasilnya Shamala memperoleh hak penjagaan terhadap dua anak lelakinya itu.

Tetapi dia diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu dan tidak memberi makan daging khinzir.

Begitu juga dalam kes Subashini lawan Saravanan. Dalam memberi keputusan, Mahkamah Syariah lebih menekankan aspek hak mengikut hukum syarak dan undang-undang Islam, sesuai dengan nama dan kedudukan Mahkamah Syariah itu sendiri. Manakala Mahkamah Tinggi Sivil lebih mengutamakan hak di bawah semua peruntukan undang-undang atau statut.

Penulisan ini tidak bertujuan membesar-besarkan kes perebutan atau pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, tidak dinafikan bahawa polemik kes Deepa dan Izwan mengundang reaksi hangat dari pelbagai pihak. Sesuatu harus dilakukan segera memandangkan Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang bebas menganuti agama pilihan masing-masing.

Tidak mustahil isu seperti ini akan berulang sedangkan isu yang sedia ada belum dapat diselesaikan.

Sepatutnya, dalam apa juga keadaan faktor kebajikan anak perlu diutamakan. Apa yang terbaik untuk anak-anak yang sepatutnya diambil kira dan ibu bapa perlu memberi penjagaan terbaik kepada anak-anak mereka.

Konflik antara keputusan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil ini hanya sebagai metafora kepada konflik kedua ibu dan bapa anak-anak yang terlibat.

Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil sebenarnya saling lengkap melengkapi dan hormat menghormati.

Jika kedua-dua pihak iaitu ibu dan bapa anak-anak yang terlibat dalam hak penjagaan anak ini juga saling melengkapi dan hormat menghormati, tidak mustahil kebajikan anak-anak mereka akan lebih terjamin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140508/ke_06/Siapa-lebih-berhak#ixzz31C41rWDP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 7 Mei 2014

Suami patut utama kebajikan isteri, anak sendiri - Peguam Syarie Menulis

Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx/xx/2008

Perceraian berlaku jika lelaki salah guna kuasa sebagai ketua keluarga diamanahkan Allah

SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca di media mengenai keruntuhan rumah tangga masyarakat Islam yang bukan saja berlaku di kalangan masyarakat bawahan malah orang berada juga tidak dapat lari daripada masalah ini.

Keruntuhan rumah tangga juga tidak terhad kepada mereka yang tiada didikan agama, malah orang yang mendapat pendidikan agama juga sering terjerat dalam polemik ini.

Walaupun umat Islam berlumba-lumba mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain, sebahagiannya alpa mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.

Rasulullah SAW lebih utama melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak, jiran tetangga dan mereka di sekeliling kita.

Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa hadis Rasulullah yang menerangkan pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik.

"Sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya."

Jelas daripada dua hadis yang dinyatakan di atas, ketinggian kedudukan isteri di samping suami.

Hakikat ini perlu disedari suami kerana sebahagian mereka mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri sendiri.

Kuasa ketua keluarga diberikan kepada suami, namun kuasa berkenaan perlu ditadbir secara adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.

Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna, tentu akan mengundang polemik antara suami isteri terbabit.

Suami yang tidak menjalankan kuasa dengan sempurna tentu akan dipertanggungjawabkan atas kegagalannya.

Kuasa sebenarnya bukan suatu keistimewaan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang hendak digalas dengan sempurna.

Dalam Islam, apabila keistimewaan diberikan kepada seseorang, ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Lebih besar keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab dibebankan kepada seseorang.

Antara tanggungjawab suami adalah memberi nafkah kepada isteri dan anak. Suami tidak kedekut membelanjakan wangnya untuk kebajikan isteri dan anak.

Kesimpulannya, seorang suami perlu menghargai apa yang dilakukan isterinya dalam membentuk rumah tangga bahagia. Suami perlu mengutamakan kebajikan keluarga berbanding dengan orang lain.

Suami juga bertanggungjawab mendidik isteri dengan cara yang dianjurkan oleh agama.

Isteri pula harus akur bahawa suami adalah ketua keluarga dan wajib mematuhi arahan suami selagi tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

Bahana putus tunang

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 01/05/2014


BERTUNANG bukan wajib dalam Islam. Sebab itu ramai yang bersikap endah tak endah apabila berlaku putus tunang.

Kaum wanita sendiri masih kabur akan hak-hak mereka dalam kes putus tunang yang mana dalam terma undang-udang ia dikatakan kemungkiran janji untuk berkahwin.

Lagi pula masyarakat kerap melihat hal putus tunang sebagai remeh kerana beranggapan itu bukan perkara wajib berbanding nikah. Ada yang beranggapan bertunang sekadar adat. Jadi, apabila ada pihak yang mungkir, tidak ada apa yang perlu dibesar-besarkan.

Jadi, fokus kali ini adalah kepada pembatalan perkahwinan sebelum berlakunya akad nikah (pembatalan sebelum berkahwin) atau lebih kerap disebut sebagai putus tunang.

Walaupun bertunang itu tidak wajib kerana bukan satu akad perkahwinan yang sah, tetapi ia merupakan adat masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam.

Pertunangan merupakan suatu ikatan janji antara pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan. Cincin atau sesuatu hadiah yang diberikan semasa peminangan menjadi tanda ikatan pertunangan itu.

Jadi, apakah hak-hak wanita yang pertunangannya dibatalkan sebelum tiba hari perkahwinan?

Oleh kerana pertunangan merupakan satu ikatan janji antara kedua-dua pihak, dari aspek perundangan ia merupakan satu kontrak yang mengikat kedua-duanya.

Dalam Islam, setiap kontrak yang ditandatangani wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip syariat. Implikasi kontrak ini bukan sahaja ke atas hak sesama manusia, malah kesannya berkait langsung dengan hak Allah SWT.

Islam memandang serius aspek amanah dan mematuhi setiap perbutiran yang dipersetujui dalam kontrak termasuk dalam hal pertunangan.

Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:"Wahai orang yang beriman! Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam kontrak)".(Surah Al-Maidah: 1)

Dalam undang-undang sivil juga jelas wanita mempunyai hak untuk mendapatkan pampasan atau ganti rugi di dalam kes mungkir janji untuk berkahwin (Breach of Contract of Marriage).

Seawal tahun 1969 telah wujud tuntutan malu dan ganti rugi kerana kemungkiran janji untuk berkahwin. Merujuk kes Nafsiah lawan Abdul Majid, plaintif (Nafsiah) menuntut ganti rugi kerana defendan (Abdul Majid) mungkir janji untuk berkahwin dengannya.

Plaintif mengemukakan dokumen perjanjian bertulis sebagai bukti di mahkamah. Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk (aggravated damages) kerana defendan telah menggodanya lalu menyebabkan dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki.

Plaintif menang dalam kes ini dan Hakim membuat keputusan dengan mengambil kira keadaan sosial di Malaysia, kebiasaan serta adat resam masyarakat lalu membuat kesimpulan terdapat kemungkinan besar plaintif dihina dan diaibkan kerana mengandung dan melahirkan anak tanpa menikahi bapa anak tersebut.

Mahkamah memutuskan tuntutan ganti rugi kerana mungkir janji untuk berkahwin (breach of promise to marry) sama dengan tuntutan ganti rugi kemungkiran kontrak (breach of contract). Hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1,200 kepada plaintif.

Orang Islam di Malaysia boleh menuntut ganti rugi berkiatan putus tunang di Mahkamah Sivil kerana Common Law mengiktiraf perjanjian untuk berkahwin sebagai satu kontrak.

Hak-hak wanita dalam kes seumpama ini meliputi ganti rugi kewangan dan juga bukan kewangan seperti maruah, penghinaan dan sebagainya.

Selain itu wanita juga berhak mendapat barangan perkahwinan seperti cincin dan hadiah perkahwinan sekiranya pihak lelaki tidak mematuhi keperluan perjanjian perkahwinan.

Wanita juga berhak memiliki secara mutlak sekiranya hadiah diberikan tanpa keperluan oleh pihak lelaki.

Bagaimanapun sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk mengakhiri perjanjian atau pihak wanita yang membatalkannya tanpa sebab, barang tersebut perlu dipulangkan.

Sekiranya berlaku kemungkiran pertunangan tanpa alasan-alasan yang munasabah, sedangkan persiapan perkahwinan sudah dirancang, pihak-pihak yang terlibat boleh menuntut ganti rugi yang berkaitan di Mahkamah Syariah.

Situasi ini jelas diterangkan dalam peruntukan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, apabila berlakunya kemungkiran terhadap ikatan pertunangan yang telah dibuat antara kedua belah pihak sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala ganti rugi yang telah dibelanjakan sama ada semasa pertunangan atau ganti rugi persiapan perkahwinan kepada pihak satu lagi. Tuntutan ganti rugi itu boleh dibuat dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.

Dalam kes Salbiah Othman lawan Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak perempuan telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan ganti rugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan.

Pihak Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan basah.

Dalam kes Aishah lawan Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan. Aishah menuntut pembayaran mas kahwin berjumlah RM25, belanja kahwin RM800 dan mendakwa dia berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan.

Kadi Besar Kedah ketika menjadi hakim bagi kes berkenaan memerintahkan Jamaluddin membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan Aishah juga berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan yang dihadiahkan kepadanya.

Hakim juga memerintahkan supaya Jamaluddin membayar kos baju pengantin kepada Aishah yang telah disiapkan untuk perkahwinan dan juga RM400 sebagai pembayaran untuk membaiki rumah yang dilakukan khusus bagi persediaan majlis perkahwinan.

Dalam satu lagi kes, seorang wanita dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, kerana menipu seorang lelaki dengan berjanji untuk berkahwin sehingga menyebabkan kerugian RM29,840.

Kes ini menerangkan bahawa menggunakan alasan janji untuk berkahwin bagi menipu dengan tujuan mendapatkan wang juga boleh mendapat pembelaan yang setimpal.

Kes-kes yang dipaparkan ini merupakan peringatan kepada pasangan yang telah bertunang supaya tidak bertindak memutuskannya secara sembrono.

Kes bakal pengantin tidak muncul ketika majlis akan nikad, dan perkahwinan dibatalkan pada saat akhir sebenarnya mempunyai implikasi undang-undang yang mana pihak yang mungkir janji perlu menanggung akibatnya.

Sebab itu, jika pasangan merasakan mereka tidak mampu untuk melanjutkan pertunangan itu ke alam perkahwinan, pembubaran harus dilakukan dengan cara yang baik.

Undang-undang keluarga Islam telah memperuntukkan hak-hak wanita Islam yang meliputi tuntutan hak milik pemberian pertunangan dan pampasan akibat kerugian yang dialami.

Apabila berlaku kemungkiran pertunangan tanpa alasan yang munasabah, pihak yang teraniaya boleh menuntut segala kos kerugian seperti persiapan perkahwinan dan pemberian pertunangan di Mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan yang telah dinyatakan di atas.

Secara umumnya wanita berhak menuntut dua perkara dalam kes kemungkiran janji untuk berkahwin. Pertama pemberian semasa pertunangan menjadi hakmiliknya secara mutlak. Kedua, tuntutan gantirugi bagi persiapan perkahwinan akibat kemungkiran janji untuk berkahwin daripada pihak lelaki dengan sebab yang tidak munasabah.

Oleh itu, kita hendaklah memenuhi dan menunaikan janji-janji yang telah dinyatakan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran: "Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian) itu." (Al-Maidah:1).



Isnin, 5 Mei 2014

Tebus talak imbangi kuasa suami, pertahan hak isteri

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 09/11/2011

Nilaian bukan wang saja, boleh dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar


PERCERAIAN bukanlah satu perkara yang menarik untuk dibincangkan, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru saja mendirikan rumah tangga. Walau bagaimanapun, perceraian menjadi isu utama dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ada sebab mengapa pasangan mengambil keputusan untuk bercerai dan pembubaran perkahwinan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti jatuhnya talak dengan cara baik, melalui fasakh, taklik atau tebus talak.

Malangnya, ramai tidak memahami perceraian tebus talak atau khuluk yang membabitkan permintaan isteri untuk diceraikan dengan cara menebus hak talak daripada suami dan isteri akan membayar mengikut jumlah dipersetujui. Dalam kata lain, isteri membeli talak dari suami.

Tebus talak terjadi disebabkan kedua-dua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam perkahwinan. Bagaimanapun, tebus talak hanya boleh berlaku dengan adanya alasan munasabah serta bukti yang kukuh.

Ahad, 4 Mei 2014

Isteri fobia hadir perbicaraan kes cerai di mahkamah

PerbicaOleh: Siti Razasah Abd Razak
Sumber : Berita Harian - Hak Muslim
Tarikh : xx/xx/2007

SAYA berhadapan dengan dilema. Suami menceraikan saya melalui surat dengan alasan saya tidak setuju hasratnya untuk berpoligami. Suami saya sudah membuat dua kali permohonan berpoligami di mahkamah, tetapi kedua-duanya ditolak kerana kewangan tidak kukuh dan tiada sebab bagi mengharuskan beliau berpoligami.

Saya sekarang menghadapi tekanan mental, sukar menjalankan tugas dengan sempurna dengan ragam anak yang masih kecil berumur dua tahun. Saya bersendirian tanpa keluarga. Saya menghadiri setiap perbicaraan di mahkamah untuk kes suami ingin berpoligami sejak Ogos 2005 selepas habis pantang bersalin hingga April 2007, Semuanya menggunakan duit sendiri. Suami sudah memfailkan kes cerai di mahkamah Kuala Lumpur, tetapi saya fobia dengan mahkamah hingga takut untuk menjenguk peti surat dan akan berasa tertekan jika ada surat bersampul putih.

Hingga sekarang saya tidak hadir ke mahkamah, saya berasakan tiada guna saya hadir, menghabiskan cuti, wang dan masa, tetapi akhirnya tiada apa yang saya dapat. Lagipun saya tidak biasa dengan jalan dan lokasi di Kuala Lumpur kerana bekerja di selatan. Lagipun, keadaan saya kurang sihat kerana ada gangguan luar yang saya rasa mahkamah tidak boleh terima kerana tiada bukti dari segi perubatan hospital.
Persoalan saya, adakah saya akan dikenakan waran tangkap oleh mahkamah jika tidak hadir untuk kes cerai ini dan bolehkah mahkamah selesaikan kes ini tanpa kehadiran saya. Bagaimana dengan hak jagaan anak saya berusia dua tahun. Adakah suami akan mendapat hak jagaan anak?

Isteri teraniaya

Pihak kami bersimpati atas apa yang puan lalui, tetapi puan perlu tabahkan hati menghadapi ujian hidup ini. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian ini untuk melihat sama ada puan tergolong dalam golongan insan yang sabar atau tidak. Lebih-lebih lagi, puan mempunyai anak yang memerlukan kasih sayang dan perhatian.

Mengenai perbicaraan di mahkamah, setiap kali hari perbicaraan ditetapkan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, puan perlu menghadirkan diri tanpa gagal. Jika puan tidak atau gagal menghadirkan diri ke mahkamah seperti dinyatakan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap terhadap diri puan. Ketidakhadiran ke mahkamah akan mendatangkan masalah terhadap puan dan anak.

Namun, mahkamah boleh menyelesaikan kes ini walaupun tanpa kehadiran puan. Jika suami puan memfailkan perceraian melalui permohonan perceraian secara persetujuan bersama mengikut Seksyen 47, mahkamah memerlukan persetujuan bercerai secara baik daripada puan.

Jika puan tidak hadir ke mahkamah, bagaimana untuk mahkamah menentukan sama ada puan bersetuju atau tidak dengan perceraian itu. Walau bagaimanapun, waran tangkap terhadap puan tetap boleh dikeluarkan mengikut Seksyen 51 Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Berkenaan hadanah anak, pada amnya anak yang masih kecil ibunya iaitu puan dalam kes ini berhak terhadap jagaan anak. Hadanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan masih kecil yang belum berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya anak berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Hak jagaan anak berdasarkan Seksyen 81 (1) dan Seksyen 87 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI). Walau bagaimanapun, jika puan berterusan dalam keadaan tertekan seperti sekarang, kemungkinan besar suami boleh mendapat hak jagaan anak atas alasan puan tidak mampu menjaga kerana keadaan puan yang selalu sakit dan mengalami tekanan jiwa.

Berdasarkan hukum syarak dan Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUKI). Merujuk Seksyen 83 (a) akta sama, seseorang ibu atau hadinah boleh hilang kelayakan jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu. Oleh itu, puan perlu mengubah diri daripada sikap negatif kepada positif bagi mendapatkan hak jagaan anak.

Kami nasihatkan puan supaya menghadiri perbicaraan itu sepenuhnya. Jika puan bersetuju dengan perceraian berkenaan dan selepas pengesahan lafaz perceraian di hadapan Mahkamah Syariah, seorang isteri masih mempunyai hak yang boleh dituntut daripada bekas suami antaranya nafkah edah, nafkah tertunggak, mutaah, harta sepencarian, hutang, nafkah anak dan hak jagaan anak. Berkaitan hak berkenaan, puan boleh merujuk jawapan yang pernah kami siarkan sebelum ini.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang soalan, sila kirimkan ke exco_pgsm@yahoo.com

Jumaat, 2 Mei 2014

Cerai menerusi SMS sah

Mahkamah Syariah sabitkan gugur talak tiga ke atas Shamsudin-Azida


Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM
Sumber : xx
Tarikh : 24/07/2007

KUALA LUMPUR 24 Julai - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini mengesah dan mensabitkan perceraian satu pasangan suami isteri yang dilafazkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada April lalu.

SMS yang dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya, Azida Fazlina Abdul Latif tertera: ``Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''.

Pada masa lafaz itu dihantar pada pukul 10.04 pagi 18 April lalu, Azida berada di rumah keluarganya dan dia hanya membacanya pada pukul 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang.

Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail semasa membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap Azida.

Sari Yanti bantah permohonan nusyuz

Oleh : Siti Azila Alias sitiazila@bh.com.my
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 01/05/2014

Petaling Jaya: Pelakon, Sari Yanti, semalam, memohon di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini, untuk memasukkan bantahan awal berhubung permohonan nusyuz difailkan suaminya, Mohd Edy Casmadi Che Hussain.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Syarie, Marlina Amir Hamzah yang mewakili pelakon itu atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, pada sebutan kes semalam.

Marlina berkata, permohonan itu atas alasan ada satu lagi kes yang difailkan anak guamnya di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, yang membabitkan arahan amalan No. 13 Tahun 2002 berhubung pertindihan pendengaran kes.

“Anak guam saya menerima notis saman daripada plaintif (Mohd Edy Casmadi) bagi kes ini pada 8 April lalu dan wakalah lantikan peguam juga sudah diserahkan kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, kami berhasrat untuk memfailkan bantahan awal memandangkan ada kes difailkan anak guam saya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, iaitu permohonan cerai,” katanya.

Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili Mohd Edy Casmadi, membantah permohonan itu atas alasan kedua-dua tuntutan, iaitu cerai dan nusyuz difailkan di dua mahkamah yang terletak dalam kawasan berbeza dan kesannya juga berlainan.

“Saya percaya kes ini (nusyuz) boleh dibicarakan di mahkamah ini. Kes penting kerana akan menentukan pemberian nafkah kepada defendan.

“Justeru, saya membantah cadangan defendan untuk memasukkan bantahan, tetapi jika dibenarkan, saya mohon supaya ia dibuat secara bertulis,” katanya.

Pengecualian kehadiran

Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah, kemudian membenarkan permohonan peguam Sari Yanti dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan bagi defendan memasukkan bantahan awal, jika berhasrat untuk berbuat demikian.

Beliau turut membenarkan pengecualian kehadiran kedua-dua pihak pada tarikh itu.

Mohd Edy Casmadi yang turut hadir, enggan ditemubual dan menyerahkannya kepada mahkamah, manakala Sari Yanti tidak mahu memberikan komen.

Sementara itu, Fakhrul Azman ketika ditemui pemberita, berkata defendan bersetuju untuk menyerahkan hak jagaan dua anak kepada anak guamnya, manakala kes cerai yang difailkan kini dalam proses untuk Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, Mohd Edy Casmadi, 34, memfailkan permohonan nusyuz mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Khamis, 1 Mei 2014

Kahwin cincai

Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my
Sumber : harian Metro
Tarikh : 04.02.2008

Nikah tanpa dokumen


KUALA LUMPUR: “Pada zaman Nabi dulu, mana ada kad pengenalan atau sijil nikah. Itu semua tidak perlu,” kata seorang jurunikah palsu kononnya berstatus kiai yang dipercayai memberi khidmat kahwin cincai kepada ratusan pasangan, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing, terutama Indonesia.

Wakil Metro Ahad berkesempatan terbabit dalam satu pernikahan yang dilakukan kiai itu membabitkan seorang lelaki tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz, 43, dengan pasangannya, baru-baru ini.

Menurut Aziz, dia menggunakan khidmat kiai itu kerana tidak mahu perkahwinannya diketahui isteri pertama, selain prosedur nikah yang mudah dan menjimatkan, iaitu cuma RM150.

“Saya mengetahui perkara ini daripada seorang rakan dan diberitahu, ramai pasangan menggunakan khidmat kiai yang terkenal alim itu.

“Apabila bertemu, kiai itu meyakinkan saya bahawa pernikahan dijalankannya sah mengikut hukum syarak, walaupun dia tidak menyediakan dokumen sebagai bukti perkahwinan.

“Alasannya, pada zaman Nabi Muhammad SAW mana ada sijil nikah (untuk pasangan bernikah). Malah, dia juga tidak meminta kad pengenalan saya.

“Saya hanya datang bersama bakal isteri kedua. Kiai itu cuma tanya nama saya dan bakal isteri, ada wali hakim atau tidak, berapa mas kahwin dan terus menikahkan saya,” katanya.

Menurut Aziz, seumur hidup dia tidak pernah menghadiri mana-mana proses pernikahan yang terlalu mudah dan ringkas itu.

“Saya katakan isteri saya tiada wali, tetapi dengan tenang kiai itu memberitahu boleh berwali hakim.

“Saya juga tidak membawa saksi, tetapi dengan cepat kiai itu dan rakannya memanggil dua rakan mereka untuk menjadi saksi.

“Dia bertanya mengenai mas kahwin, saya beritahu RM80 hutang dan dia terus buat akad nikah. Kesudahannya, saya bernikah dan hanya membayar RM150,” katanya.

Ditanya sama ada dia yakin status perkahwinan itu, Aziz menyatakan, dia yakin pernikahannya sah di sisi agama, walaupun bertentangan dengan undang-undang negara.

Dalam upacara pernikahan itu, kiai yang mempunyai ramai anak murid di kalangan pekerja Indonesia itu bertanya bakal pengantin perempuan sama ada dia sedia dikahwinkan dengan pasangannya.

Kiai itu juga bertanya mengenai waris yang sepatutnya menjadi wali bakal pengantin perempuan dan halangan yang menyebabkan wali terbabit tidak dapat hadir sebelum melangsungkan pernikahan dengan wali hakim.

Ketika akad nikah dijalankan, pengantin diminta memberitahu nama bakal pengantin untuk diakad oleh kiai. Tidak perlu ditunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan, memadai memberitahu nama penuh.

Majlis kahwin cincai berkenaan dijalankan di sebuah rumah setinggan di lokasi perumahan yang kebanyakannya dihuni warga asing di sekitar ibu kota, lazimnya pada waktu malam.

Tidak semua orang boleh pergi ke lokasi kahwin cincai kerana ia perlu diatur terlebih dulu oleh perantara.

Ini kerana kiai terbabit dikatakan berhati-hati dengan pasangan yang mahu dinikahkan kerana menyedari kegiatannya bertentangan dengan undang-undang di negara ini dan dia boleh dikenakan tindakan pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Mereka yang menggunakan khidmat kahwin cincai itu biasanya pasangan cinta terhalang oleh ibu bapa dan keluarga, lelaki mahu berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak mendapat kebenaran isteri pertama atau pasangan sengkek (tidak berduit) tetapi mahu kahwin cepat.

Mengulas kegiatan kiai terbabit, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata pihaknya mengakui kewujudan kegiatan pernikahan membabitkan sindiket di negara ini.

Namun, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana bimbang masyarakat tidak dapat memahami isu berkenaan dengan jelas dan boleh membawa salah faham, terutama berhubung isu status pernikahan yang dikendalikan oleh sindiket.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abdul Rani, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku apa yang dikatakan kahwin cincai seperti didedahkan Metro Ahad.

Katanya, sesiapa yang ada maklumat mengenai kegiatan haram itu perlu tampil membuat aduan supaya tindakan dapat diambil.

“Pihak terbabit (kiai) mengambil kesempatan menggunakan ilmu agama yang ada padanya untuk mengaut keuntungan.

“Pasangan pengantin yang terdesak pula, apabila tahu ada khidmat seperti itu, mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang disediakan pihak terbabit,” katanya.

Mohd Hidayat berkata, setiap jurunikah dan wali hakim di Selangor perlu mempunyai tauliah dan jelas kahwin cincai itu hukumnya tidak sah.

Sukar daftar kelahiran anak

KUALA LUMPUR: Sengsara kemudian hari dan mengaibkan diri sendiri. Itu yang bakal dilalui pasangan ‘kahwin cincai’, terutama wanita.

Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim, berkata perkahwinan yang dikendalikan jurunikah tidak bertauliah seperti itu terang-terangan bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara ini.

Katanya, ia tidak boleh didaftarkan dan surat perakuan nikah tidak boleh dikeluarkan.

“Jika lahir anak, bagaimana anak itu mahu didaftarkan tanpa sijil nikah? Bagaimana mahu menyekolahkan anak?

“Fikirlah mengenai masa depan sebelum memilih mengambil jalan mudah untuk berkahwin,” katanya.

Nurhidayah yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam, berkata lebih membimbangkan jika berlaku masalah seperti suami meninggalkan isteri, si isteri akan menanggung beban lebih berat.

“Perkahwinan yang tidak sah daripada segi undang-undang menyebabkan si isteri tidak dapat menuntut haknya, sama ada untuk nafkah diri mahupun nafkah anak.

“Si isteri juga sukar menuntut cerai daripada suami kerana sebelum sesuatu perceraian boleh dituntut, perkahwinan terlebih dulu perlu disahkan oleh mahkamah syariah. Jika berpisah, si isteri turut berdepan kesukaran jika mahu berkahwin lain,” katanya.

Nurhidayah berkata, jika berlaku kematian satu pihak, isteri atau suami sukar menuntut harta pusaka daripada pasangannya yang meninggal dunia kerana sebelum harta pusaka boleh dibahagikan, pihak yang menuntut mesti membuktikan kepada mahkamah syariah bahawa dia waris yang sah.

Katanya, penuntut terlebih dulu mendapat pengesahan daripada mahkamah syariah bahawa perkahwinannya adalah sah mengikut hukum syarak berdasarkan surat nikah yang diperoleh.

“Tanpa dokumen, pasangan bukan saja mengaibkan diri sendiri, tetapi juga ibu bapa. Bagaimana ibu bapa hendak menjawab jika ditanya mengenai perkahwinan anak mereka,” katanya.

Tidak sah: Mufti

KUALA LUMPUR: “Itu wali encik Hakim, bukan wali hakim,” seloroh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika menjelaskan perkahwinan pasangan berwali hakim menggunakan khidmat jurunikah warga asing adalah tidak sah mengikut hukum syarak.

Beliau mengulas pendedahan Metro Ahad berhubung kegiatan ‘kiai’ warga asing yang menikahkan pasangan Islam dengan cara mudah, ringkas dan tidak memerlukan dokumen.

Mohd Asri berkata, pernikahan itu tidak sah kerana seseorang warga jurunikah terbabit bukan orang yang diberi kuasa oleh pemerintah atau pihak berkuasa agama negara untuk mewalikan calon pengantin perempuan.

Menurutnya, wali hakim yang dibenarkan hanya seseorang diberi pengiktirafan daripada pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam, pejabat kadi daerah atau mahkamah syariah.

“Wali hakim ini adalah sebagai wakil pemerintah diberi kuasa menjadi wali apabila berlaku halangan kepada wali seseorang perempuan dalam upacara akad nikah.

“Ini adalah hukum secara umum. Namun, kita kena tengok kes ini lebih teliti dan terperinci,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd Asri juga mempertikaikan tindakan pasangan menggunakan khidmat jurunikah sindiket, sedangkan undang-undang Islam di negara ini memberi kemudahan umat Islam di negara ini.

“Kenapa hendak menikah dengan cara begitu (khidmat jurunikah asing)? Jika bapa tidak izinkan berkahwin dengan alasan tidak munasabah, boleh minta kahwin dengan wali hakim.

“Jika tidak boleh di negeri lain, datang ke Perlis. Kita tengok, kalau dihalang dengan alasan tidak munasabah, kita boleh nikahkan dengan menggunakan wali hakim,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika terbukti jelas wali perempuan menghalang perkahwinan kerana calon suami penjenayah atau penagih dadah tegar, bapa sebagai wali berhak menghalang perkahwinan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman