Selasa, 25 Februari 2014

Krisis hadanah selepas cerai

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar | fatin@bh.com.my
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 25/02/2014


“Jangan kata hendak bersua muka, nafkah dan keperluan harian anak yang diberikan kepada bekas mentua, tidak pernah sampai ke tangan anak. Mereka juga tidak benarkan saya berjumpa kedua-dua anak yang berusia lapan dan empat tahun,” kata Khir, 35.

Perceraian Khir dan bekas isterinya memberikan kesan mendalam kepada Khir apabila beliau langsung tidak menerima khabar berita mengenai anaknya. Khir tidak menyangka bekas isterinya sanggup ‘melarikan’ anak kerana mengikut kehendak keluarganya.
Itu antara pelbagai kes yang sering didengar mengenai perbalahan hak penjagaan anak apabila ibu bapa bercerai. Menjadikan anak sebagai taruhan selepas bercerai bukan lagi isu baharu dalam kalangan ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila masing-masing mahu membuktikan mereka sayang anak.

Walaupun ibu bapa tahu ada di antara mereka tidak layak menjaga anak kerana terlalu sibuk bekerja, mereka tetap berkeras untuk menuntut hak penjagaan anak.

Hakikatnya, hadanah iaitu hak penjagaan anak adalah satu tanggung jawab yang wajib dilaksanakan. Sebagai penjaga, ibu bapa perlu memastikan mereka berkelayakan melindungi, menjaga dan membentuk asas anak sepanjang berada di bawah jagaan mereka.

Hak penjagaan anak

Peguam Syarie, Roshdan Sujak Rafie, berkata kes perceraian dalam masyarakat makin meruncing dan lebih menyedihkan apabila hak dan tanggungjawab anak terabai akibat perceraian.



“Demi menjaga kebajikan anak, Islam menggaris dan menyediakan panduan hak penjagaan anak iaitu hadanah.

“Berdasarkan Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, peruntukan bagi mereka layak menjaga anak mestilah seorang Islam dan berakal,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, hadanah hukumnya wajib kerana mengabaikannya bererti membiarkan kepada bahaya dan kebinasaan.

Roshdan Sujak berkata, hak hadanah lazimnya diberikan keutamaan kepada ibu memandangkan mereka mempunyai ciri-ciri dan sifat lebih sesuai mengasuh berbanding bapa.

Justeru, apabila ibu dan bapa tinggal berasingan atau berlaku perceraian, katanya, mahkamah syariah perlu memutuskan hadanah kepada ibu atau bapa dan mungkin juga individu lain yang layak.

“Meskipun syarak menetapkan ibu orang paling berhak menjaga anak, ia tetap tertakluk kepada beberapa syarat ditetapkan. Jika ibu tidak dapat memenuhinya, hak dan tanggungjawab boleh jatuh kepada individu seterusnya mengikut turutan ditetapkan.

“Bagi ibu yang berkahwin dengan lelaki lain, hak hadanah gugur dan bapa boleh menjaga ,” katanya.

Perkahwinan baharu

“Mengikut undang-undang, jika perkahwinan baharu tidak akan menjejaskan kebajikan dan kepentingan anak, hak hadanah kekal kepada ibu.

“Hak ibu juga akan kekal sekiranya suami baharu reda dan bersetuju supaya menjaga anak itu.

“Bagaimanapun, jika berlaku pengabaian atau kecuaian ketika menjaga anak, bapa boleh memohon untuk membatalkan atau mengubah hak jagaan diputuskan dengan alasan dan bukti kepada mahkamah,” katanya.

Perlu alasan munasabah

Roshdan Sujak berkata, ada juga insiden penjaga meletakkan syarat dan menghalang berjumpa anak dengan ayah atau ibu walaupun sudah dipersetujui bersama di di mahkamah.

“Kebiasaannya, mahkamah akan tentukan hak lawatan bersama anak dan jika mengingkari tindakan itu, ia dianggap menghina mahkamah.

“Sebaiknya, hak lawatan perlu diberikan sewajarnya dan sebagai orang dewasa, kita perlu bijak menangani masalah.

“Anak perlukan pengawasan dan belaian kedua ibu bapanya. Jika hak ini terhalang, tumbesaran anak terbantut dan tidak sempurna,” katanya.

Anak berhak memilih

Roshdan Sujak berkata, ramai masih keliru dengan hak penjagaan anak, iaitu bagi anak lelaki umur mumayyiz ialah tujuh tahun, manakala anak perempuan sembilan tahun. Selepas usia itu, anak bebas memilih sama ada ingin tinggal bersama ibu atau bapa.

“Apabila anak mencapai umur mumayiz, bapa adalah orang lebih berhak menjaga anak. Bagaimanapun, keputusan itu turut menitikberatkan pilihan anak sendiri untuk terus tinggal dengan ibu atau ayahnya.

“Perlu diingatkan, hak diberi mahkamah bukan mutlak dan boleh dicabar jika didapati kebajikan anak terjejas, contohnya jika anak tinggal bersama pihak lain yang bukan dalam senarai hak hadanah,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman