Selasa, 18 Februari 2014

Erra fazira sah bercerai talak satu

Oleh MARZITA ABDULLAH
Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 18/02/2014

SHAH ALAM 18 Feb. - Desas-desus perceraian dan kemelut rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang digembar-gemburkan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab hari ini apabila pelakon itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain mengesahkan lafaz cerai secara baik oleh Engku Emran, 39, terhadap Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40.

Semasa prosiding tersebut, pasangan itu juga bersetuju hak penjagaan anak perempuan mereka, Engku Aleesya, 5, diserah kepada Engku Emran manakala hak bersama bermalam diserahkan kepada Erra.

Mereka turut memperoleh hak cuti persekolahan dan perayaan secara bergilir-gilir manakala tuntutan nafkah, idah dan mutaah digugurkan, setelah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Engku Emran yang memakai kot kelabu dilihat sebak dan terhenti seketika semasa melafazkan talak tersebut manakala Erra kelihatan tenang.



Sebelum itu, Erra yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari dan Engku Emran diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak mengesahkan telah tinggal secara berasingan sejak setahun enam bulan lalu.

Erra memfailkan permohonan tersebut semalam mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pelakon itu yang berjubah moden dan bertudung juga berwarna kelabu serta memakai topeng penutup mulut dan Engku Emran, hadir di mahkamah di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pasangan itu bernikah pada 25 Oktober 2007 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail dan Engku Aleesya merupakan anak tunggal pasangan itu.

Sebelum ini Erra Fazira pernah mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003, namun perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman