Rabu, 27 November 2013

Memperkasakan mahkamah syariah

Sumber : Bicara Agama - Utusan Malaysia
Oleh : ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Tarikh : 21/11/2013


KITA sering mendengar usaha kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri yang menggembleng tenaga memperkasakan mahkamah syariah sebagai elemen penting pentadbiran keadilan bagi orang Islam di Malaysia. Pelbagai kejayaan dan kemajuan telah dicapai oleh mahkamah syariah dari semasa ke semasa. Institusi mahkamah syariah sudah menjadi tanda aras dan diikuti oleh mahkamah-mahkamah lain di dalam dan di luar negara di dalam beberapa aspek.

Terbaharu Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengumumkan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan telah bersedia melaksanakan hukuman hudud.

Walaupun tiada maklumat lanjut mengenai dakwaan kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan melaksanakan hukuman hudud, pengumuman itu menarik perhatian pelbagai pihak serta membuka mata sesetengah golongan yang masih memperkotak-katikkan mahkamah syariah.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa Peguam Negara telah memberi lampu hijau untuk meminda Akta Bidang kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang ketika ini mengehadkan Dewan Undangan Negeri hanya boleh mewujudkan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.



Jamil Khir walau bagaimanapun tidak mendedahkan hukuman maksimum yang ingin dipinda serta jenis hukuman yang dibenarkan.

Jelaslah, usaha ini merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan mahkamah syariah.

Tambahan, pihak kerajaan juga sedang dalam proses untuk menggubal undang-undang berkaitan dengan saraan hakim syarie, peningkatan tahap mahkamah dan juga perluasan bidang kuasa yang akan menjadikan taraf mahkamah syariah sama seperti mahkamah sivil.

Profesion peguam syarie juga perlu dimartabatkan melalui undang-undang yang khusus terpakai kepada semua peguam syarie.

Badan sokongan

Namun, mungkin tidak disedari oleh sesetengah golongan bahawa terdapat beberapa lagi badan sokongan yang boleh mencorak perjalanan kes-kes di mahkamah syariah khususnya kes-kes jenayah.

Badan-badan ini adalah pendakwa syarie dan penguat kuasa agama. Pendakwa syarie adalah orang yang bertanggungjawab mendakwa orang yang disyaki telah melakukan kesalahan di sesebuah negeri. Manakala penguat kuasa agama adalah orang yang menyiasat dan mengumpulkan bukti bagi mendakwa orang yang melakukan kesalahan.

Kedua-dua badan ini amat penting bagi mempastikan mahkamah syariah dapat membuat keputusan yang adil setelah mengambil kira bukti-bukti yang dikemukakan kepada mahkamah tersebut.

Namun hakikatnya, kedua-dua badan ini agak kurang diberi penekanan dan perhatian berbanding mahkamah syariah. Mungkin sudah sampai waktunya pihak kerajaan menumpukan perhatian menyusun semula pendakwa syarie dan penguat kuasa agama ini dari sudut kekuatan sumber manusia, latihan, pendedahan dan juga operasi.

Kes-kes jenayah yang dirujuk ke mahkamah syariah pula semakin hari semakin kompleks, khususnya dengan munculnya pelbagai ajaran sesat seperti Syiah, Qadiani, Ayah Pin, Rasul Melayu, Tuhan Harun dan banyak lagi.

Pembunuhan Ketua Penguat kuasa Agama Pahang baru-baru ini yang disyaki mempunyai kaitan dengan tugas rasmi Allahyarham di dalam menyiasat kes-kes ajaran sesat merupakan bukti yang jelas perlunya dinilai kembali sistem dan kebajikan pegawai-pegawai di kedua-dua sektor ini. Bilangan yang terlalu sedikit bagi melaksanakan kes-kes jenayah syariah amatlah menyedihkan terutamanya bagi negeri yang mempunyai saiz negeri yang besar seperti Sarawak, Pahang dan Perak.

Datuk Zainul Rejal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131121/ba_03/Memperkasakan-mahkamah-syariah#ixzz2lpcuAPtH
© Utusan Melayu (M) Bhd

1 ulasan:

Larry B berkata...

Pada pandangan saya, memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah amat perlu bagi menjaga kredibiliti undang undang syariah dah agama Islam di Malaysia. Saya sudah lebih 4 tahun bertarung di Mahkamah Syariah dan berbagai kelemahan dan kekurangan dalam sistem keadilan syariah di Malaysia jelas dapat dilihat.

Sebagai contoh, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor tidak ada peruntukan bagi menghukum mana-mana pihak yang membuat kenyataan palsu di Mahkamah, walhal peruntukan itu wujud di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Adakah ini bermakna pihak pihak di Negeri Selangor bebas membuat penipuan di Mahkamah bagi kes Mal? Apakah gunanya sesuatu sistem keadilan sekiranya pihak pihak bebas membuat penipuan?

Perintah Ex-Parte adalah permohonan yang dibuat oleh satu pihak (Pemohon) tanpa kehadiran pihak yang lagi satu (Responden). Responden tidak berpeluang untuk membantah permohonan itu dan/atau untuk membela dirinya. Pemohon juga diwajibkan untuk memberi akujanji sekiranya terdapat apa apa fakta palsu atau tidak benar di dalam permohonannya itu, maka Pemohon akan menanggung kos dan gantirugi terhadap Responden. Selama 4 tahun bertarung di Mahkamah Syariah, beberapa perintah ex-parte telah dikeluarkan terhadap saya. Separuh dari perintah-perintah tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan langsung. Antara sebab sebabnya adalah:
1. jelas fakta di dalam permohonan itu tidak benar (saya dikatakan dalam proses melupuskan harta sepencarian walhal resit yang ditenderkan di Mahkamah bertarikh 3 tahun sebelum itu semasa pihak pihak bahagia di dalam perkahwinan)
2. pihak Pemohon merupakan Defendan di dalam kes. Jelas ini tidak dibenarkan berdasarkan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah.

Jadi timbul persoalan, bagaimana perintah tersebut boleh dikeluarkan? Saya juga cuba membuat permohonan bagi mengenepikan perintah-perintah ex-parte tersebut dan juga perintah perintah ex-parte lain dengan bukti-bukti yang jelas dan nyata bahawa Pemohon telah menipu di Mahkamah. Namun permohonan saya gagal kerana
1. Pihak Pemohon berjaya melengah-lengahkan kes sehingga kes induk selesai.
2. Mahkamah mengarahkan fokus diberikan kepada kes induk.

Jadi apa gunanya akujanji yang diwajibkan ke atas Pemohon untuk menanggung kos dan gantirugi? Adakah Mahkamah membuka jalan bagi pihak pihak untuk melepaskan diri dari dihukum atau menanggung kos/gantirugi kerana membuat permohonan palsu?

Dalam lagi satu kes, Mahkamah Tinggi Syariah telah mengeluarkan satu penghakiman berkenaan status anak. Akan tetapi, penghakiman di Mahkamah Rendah Syariah pula bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah sendangkan fakta fakta kes adalah sama. Seolah-olah penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah langsung tidak diendahkan, sebaliknya rujukan Yang Arif kepada "kawan-kawan"nya adalah lebih relevan. Di manakah konsistensi di Mahkamah? Adakah ini Mahkamah yang berkredibiliti?

Kini, hubungan sulit yang melibatkan isteri orang semakin berleluasa. Akan tetapi, kesalahan-kesalahan yang diperuntukan di dalam undang-undang jenayah syariah cuma adalah
1. Memujuk lari perempuan bersuami
2. Menghalang pasangan bernikah hidup sebagai suami isteri
3. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajipan

Peruntukan-peruntukan di atas secara tidak langsung membolehkan seorang isteri untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki lain asalkan dia tidak meninggalkan kewajipan terhadap suami. Ia juga membolehkan mana-mana lelaki mengadakan hubungan dengan isteri orang asalkan isteri itu tidak dihasut cerai, tidak dibawa lari atau tidak dihalang dari melayan suami. Tidak hairanlah pihak penguatkuasa hari ini lebih gemar membuat kes khalwat!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman