Selasa, 19 November 2013

Hampir 10 wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari - Rohani

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19 Nov 2013


SEPANG 18 Nov. - Hampir 10 orang wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari dengan golongan muda yang berumur antara 26 hingga 35 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu lebih 30 peratus kes.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,183 daripada 3,488 kes keganasan rumah tangga melibatkan golongan tersebut sepanjang tahun lalu.

"Angka ini menunjukkan terdapat peningkatan berbanding tahun sebelumnya di mana pada tahun itu sebanyak 1,136 wanita muda terlibat daripada keseluruhan 3,277 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan.

"Golongan wanita muda kerap menjadi sasaran kerana sikap suami yang kurang matang dalam rumah tangga selain tempoh perkahwinan masih baharu dan sedang mencari keserasian bersama," katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rohani menggesa semua pihak mengambil sikap peduli dan serius dalam menangani isu tersebut biarpun tidak melibatkan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keganasan rumah tangga perlu segera membantu dengan melaporkan kepada pihaknya supaya tindakan segera dapat diambil.

"Kita harap orang ramai dapat mesej ini dan jaga tepi kain orang dengan menghubungi Talian Nur 15999, sesiapa mempunyai maklumat diminta memberi alamat betul supaya pasukan kami dapat bertindak dengan pantas dan tidak menimbulkan masalah kepada pihak lain," katanya.

Beliau turut menyarankan mana-mana pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga agar segera ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Rohani berkata, pelbagai program dianjurkan oleh agensi tersebut dalam usaha mengembalikan semula kebahagiaan berumahtangga.

"Antara program adalah kaunseling, dating dan berbulan madu kali kedua bagi mengembalikan rasa cinta kepada pasangan masing-masing.

"Pasangan yang sudah lama berkahwin tidak seharusnya rasa malu untuk mengikuti program ini kerana di luar negara makan malam sambil diterangi cahaya lilin untuk pasangan sudah lama berkahwin merupakan perkara biasa," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sehingga mati di Besut, Terengganu semalam, beliau enggan mengulas lanjut.

"Pihak kami serahkan kepada polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut kes ini dan saya tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana bimbang akan mengganggu siasatan," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131119/dn_12/Hampir-10-wanita-jadi-mangsa-keganasan-rumah-tangga-setiap-hari---Rohani#ixzz2l4Rcd6M9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman