Tarikh : 08/08/2016
KUALA LUMPUR: Gejala berkahwin lewat boleh menyumbang kepada faktor kewujudan negara tua.
Ini berikutan ia memberi kesan kepada aspek reproduktif yang menyaksikan pembentukan keluarga semakin mengecil dan kadar kelahiran semakin menurun.
Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zainal Madon, berkata negara tua membawa kepada kehilangan tenaga muda yang produktif dan menambah jumlah warga tua.
"Masalah ini walaupun berlaku secara global, ia masih memerlukan perhatian serius di Malaysia kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada generasi akan datang.
"Negara mungkin kehabisan warga dewasa dan yang tinggal hanyalah generasi yang belum matang untuk mentadbir negara," katanya kepada BH ketika dihubungi semalam.
Dr Zainal diminta mengulas laporan BH Ahad mengenai kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) yang mendapati 35.7 peratus wanita di negara ini masih membujang kerana terlalu memilih pasangan manakala 56 peratus lelaki pula tidak berkahwin kerana masalah kewangan.
Dr Zainal berkata, alasan itu selari dengan senario semasa negara iaitu pertambahan jumlah wanita yang berkelulusan tinggi berbanding dulu.
"Apabila wanita terpelajar, mereka agak berdikari dan mahukan yang terbaik. Mereka juga kurang rasa tekanan kerana ramai rakan sebaya juga belum berkahwin," katanya.
Peguam Syarie, Dr Tengku Naufal Tengku Mansor, pula berkata sifat memilih adalah biasa untuk kaum wanita khususnya dalam membuat keputusan besar seperti isu pasangan hidup selain ia dituntut oleh agama.
Tengku Naufal berkata golongan lelaki wajar mempersiapkan diri dengan baik secara fizikal, emosi dan aspek kewangan sebelum membuat keputusan untuk bernikah.
"Namun perlu diingat, ia bukan menjadi syarat utama dalam pernikahan Islam, malah kita perlu berlapang dada dan bersangka baik kepada Allah SWT, tidak mungkin hambaNya akan melarat kemiskinan dan memakan batu akibat memuliakan sunnah nabi, Nabi Muhammad SWT," katanya.
Kajian juga jelas beliau, menunjukkan lelaki yang telah bernikah memiliki pendapatan lebih stabil berbanding sebelum bernikah.
Ibu bapa perlu bantu cari jodoh
Ibu bapa boleh memainkan peranan penting mencarikan jodoh untuk anak mereka yang masih belum berkahwin terutama membabitkan yang sudah berusia.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata dalam hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut jika ada orang yang baik dan soleh datang meminang, maka terimalah pinangan itu.
"Maksudnya, jika lelaki itu adalah yang soleh, dapat bertanggungjawab kepada pasangannya, maka tidak perlu tunggu dan boleh kahwinkannya," katanya.
Pendakwah bebas, Asni Abu Mansur, berpendapat wanita yang memilih pasangan terlalu memikirkan kemungkinan pada masa depan jika berkahwin.
Sebaliknya, katanya, mereka seharusnya melihat perkahwinan sebagai menyempurnakan apa yang kurang di dalam pasangan masing-masing.
"Terlalu banyak "kalau" bagi orang yang cerewet ini. Ini pun salah juga kerana kita buat kerja Tuhan. Siapa yang dapat meramalkan masa depan melainkan Allah.
"Tapi kalau nak memilih orang yang jaga sembahyang dan soleh, itu adalah tidak salah kerana ia memang kriteria yang perlu dipilih," katanya.
Selain itu, katanya, trend keluarga atau pasangan perempuan yang mahu menganjurkan majlis perkahwinan yang besar juga membebankan kewangan pihak lelaki.
Katanya, masyarakat kini lebih menumpukan kepada majlis perkahwinan dan bukannya hidup selepas berkahwin.
"Apabila perkara yang tidak disyariatkan kita anggap wajib, banyak benda wajib yang akan tertangguh. Apabila ini berlaku, kita khuatir maksiat atau perkara haram yang akan berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan