Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 24/09/2017
Suami ‘kantoi’ dengan janda
Suami saya sudah kerap kali ‘kantoi’ menjalin hubungan dengan seorang janda. Setiap kali saya membangkitkan hal itu, pasti dia akan mengajak saya ke pejabat agama. Apakah saya berdosa kerana sudah tidak lagi mempercayainya?
Kak Tipah, Kuala Selangor.
UKE: Kenapa suami ajak ke pejabat agama? Nak kaunseling atau minta zakat? Baiklah, adakah suami kakak ingin berkahwin dengan janda itu atau hendak main-main sahaja?
Kakak cuba tanya secara baik dengan dia. Kalau hendak berpoligami bukan senang. Kena cukup serba-serbi. Bukan boleh main redah sahaja.
Kalau sahaja hendak menggatal dengan janda itu, kakak beritahu dia inginkan dosa atau pahala dan ingatkan dia tentang syurga dan neraka. Hidup ini tak lama, esok atau lusa maut boleh menjemput.
Kedua, selagi suami menyuruh kakak melakukan sesuatu yang tidak bercanggah dengan hukum syarak, maka wajib kakak mentaati perintahnya. Selagi dia tak menyuruh kakak buat maksiat dan tak melarang buat ibadah, maka taatilah dia. Jangan kerana suami buat salah, kakak juga hendak buat salah.
Ketiga, kakak hilang kepercayaan kepada dia dalam bab apa? Kakak tak payah hendak memeningkan kepala memikirkan suami cakap betul atau bohong kerana lama-kelamaan kakak boleh stres.
Kalau dia hendak menipu kakak, sampai bila dia boleh menipu. Lambat laun 'kantoi' juga. Tak payah kakak hendak serabut perut. Kakak buat sahaja kerja, jaga rumah tangga dengan elok, jaga dan beri pendidikan kepada anak-anak serta jaga kesihatan. Buat apa kakak hendak stres memikirkan apa suami sedang buat?
Beritahu suami, “Dengan saya awak boleh ‘kona’ tapi tidak dengan Allah”. Keempat, mengadulah kepada Allah kerana Allah sedang menguji hendak tengok tahap kesabaran kakak.
Allah hendak tengok bila diuji macam ini, kakak hendak buat apa. Jumpa bomoh? Hilang sabar? Mengamuk? Burukkan suami? Pergi serang janda itu? Cerita masalah dalam status Facebook? Makin rapat kepada Allah? Makin kuat solat malam? Makin sabar? Kakak fikirlah sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan