Tarikh : 12/08/2017
Betapa beruntungnya lelaki yang dapat isteri rajin dan pandai mengurus rumah tangga. Menjaga makan minum suami, mengurus anak-anak dan memberi layanan terbaik untuk seluruh keluarga.
Alangkah manisnya hidup andai rumah tangga dihiasi dengan kasih sayang dan tangungjawab yang tidak berbelah bahagi antara kedua-dua pasangan suami isteri.
Berkongsi kasih sayang, berkongsi cerita dan saling membantu antara satu sama lain dalam mengharungi masalah hidup.
Akan tetapi bagaimana jika isteri yang diharap menjadi pengurus rumah tangga yang baik tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Mari kita ikuti cerita Amirul (bukan nama sebenar). Mungkin boleh dijadikan teladan dan panduan dalam mengharungi hidup berumah tangga.
Ini kisahnya.
“Saya seorang eksekutif di sebuah bank dan berusia 45 tahun. Isteri, seorang penjawat awam. Kami sudah 15 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan yang masih bersekolah, berusia 10 hingga 14 tahun.
“Isteri, wanita pilihan saya yang saya pilih untuk menjadi teman hidup saya dengan doa semoga sampai ke hujung nyawa.
“Rumah tangga kami aman damai. Saya sayang isteri dan anak-anak, begitu juga dengan isteri. Memang dia wanita pilihan saya. Masa berkahwin, saya tidak nampak kekurangannya.
“Dia isteri yang baik, penyayang dan taat kepada saya. Sangat peramah dengan jiran tetangga dan keluarga saya. Akan tetapi di sebalik kelebihan itu, ada juga kekurangannya yang saya tidak perasan di peringkat awal perkahwinan kami.
“Isteri seorang yang pemalas. Dia tidak suka mengemas dan mencantikkan rumah. Pendek kata, dia ambil jalan mudah. Semua simpan bawah karpet, kata orang sekarang.
“Maksudnya, dia tidak akan mengemas kecuali jika anak-anak kami yang masih kecil itu turut membantu. Pernah pinggan mangkuk penuh sinki, tak berbasuh. Kain dalam mesin basuh, tidak berusik.
“Balik kerja, dia lebih suka menghadap televisyen menonton drama. Dua puluh empat jam menonton televisyen. Dari satu drama ke satu drama. Dia tidak peduli pun anak-anak sudah makan ke, saya nak makan ke. Tak pernah tanya.
“Masa mula-mula kahwin, dia tak macam ini. Saya pun tak tahu kenapa isteri boleh berubah sampai begini sekali. Saya sangat sedih dengan keadaan ini.
“Kadang-kadang mak saya datang dari kampung membebel dengan perangai isteri yang pemalas. Rumah bersepah, tak bersapu. Dapur berkecah.
“Mujur anak sulung saya rajin. Dalam usia 14 tahun, dia sangat membantu menguruskan rumah. Kutip pinggan mangkuk, basuh, sidai kain dan sapu sampah.
“Hendak harapkan ibunya, rumah jadi tongkang pecah. Ikut mood dia nak mengemas ke tidak. Saya mula bosan dengan perangainya. Banyak kali saya tegur tapi dia tidak pernah berubah.
“Tegur sekali berubahlah, esok lusa buat balik. Malas saya nak bergaduh. Saya harap isteri akan berubah. Masih belum terlambat. Malu dengan anak-anak, tetamu dan keluarga yang datang.
“Di tempat kerja, dia dipuji tapi kenapa di rumah dia tidak boleh buat perkara yang sama. Saya berdoa dia akan berubah. Mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya.
“Buruk macam mana sekalipun perangai, dia tetap isteri saya. Saya terima kekurangan dia. Manusia berubah dan saya harap isteri saya juga begitu.
Berubah untuk kebaikan. Itu yang saya harapkan.
“Saya hendak ajak kawan-kawan datang ke rumah pun, saya malu. Takut keadaan rumah mengejutkan kawan-kawan dan tamu. Tapi saya yakin, dia akan berubah.
“Jika tidak, saya terpaksa memberi kata dua,” kata Amirul menamatkan ceritanya.
Itulah pengakuan seorang suami. Sedih baca cerita Amirul. Tapi saya kagum dengan Amirul kerana ketabahannya menghadapi situasi dalam rumah tangganya.
Saya percaya berkat doa Amirul, isterinya akan berubah. Sama-samalah kita berdoa supaya hajat Amirul, Allah makbulkan.
Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, ketika kamu hidup tanpa kesungguhan, maka ia akan menjadi hambar dan jauh dari kebahagiaan yang ingin di capai. Muhasabah, pujuk hati menjadi lebih baik dari hari ke hari.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan