Tarikh : 06/08/2017
“DARI sebelum berkahwin, hinggalah kita wanita beranak pinak, telinga mereka sering dipasak dengan pelbagai nasihat, sama ada dari ibu bapa, mahupun daripada para ustaz yang sering berceramah tentang resepi membahagiakan keluarga. Resepi pertama isteri mesti menghormati suami, kedua jangan melawan dan ketiga mesti berkorban apa sahaja untuk suami, kerana syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Kata mereka jika semua ini dilaksanakan baru rumahtangga aman damai, bahagia hingga ke jannah.
“Malangnya kita jarang dengar nasihat para ustaz supaya suami melayan isteri dengan baik, bertanggungjawab, dan menjalankan kewajipan sebagai ketua dengan memberi makan minum serta pakaian dan tempat tinggal kepada anak dan isterinya. Sebaliknya isteri dinasihatkan supaya bantu-bantu jika suami perlukan bantuan dan kurang mampu.
“Kerana terlalu menghormati, dan berkorban inilah juga banyak berlaku kes suami tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan baik kepada anak isterinya, baik semasa bersuami isteri lebih teruk selepas bercerai.’’ Itu cerita Norshima yang ditemui semasa menghadiri kelas khidmat guaman secara percuma anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) di Bangi baru-baru ini.
Ketika kami berbual panjang Norshima beritahu, dia telah berkorban demi kebahagiaan keluarga, sanggup berhenti kerja kerana mengikut suami belajar keluar negara, melahir dan membesarkan anak-anak, tetapi setelah segala-galanya berhasil, pengorbanan saya itu langsung tidak dipedulikan, sebaliknya, saya dimadukan dan selepas beberapa bulan kerana isteri baru tidak mahu bermadu, dia diceraikan. Adakah ini adil?
“Memang saya tak tahu awalnya suami saya Iwan sudah berkahwin baru, kerana dia seorang suami yang baik, sentiasa rapat dengan anak-anak, bekerja keras, tetapi mungkin kerana kelembutan dan kelemahannya inilah punca dia mudah lemah kepada pujukan wanita, akhirnya dia nikah lagi. Segalanya berlaku dengan pantas dan dalam masa tak sampai setahun tanpa saya sedari selepas dia berkahwin saya diceraikan.
“Tak perlulah saya ceritakan apa tugasnya, memadailah jika saya katakan tugas Iwan banyak berurusan dengan soal pendidikan. Dia seorang yang kuat dan rajin bekerja dan banyak masanya tertumpu kepada pekerjaan selain belajar.
“Kerana itu tak hairanlah dia dapat banyak anugerah kecemerlangan di tempat dia bekerja, semuanya kerana kerja keras lengkap dengan tawaran hadiah yang menggalakkan. Kerana dia bekerja keras saya tidak banyak meminta dia bantu saya uruskan anak-anak baik sakit, pening dan sebagainya, semua saya buat sendiri, sebab dia sibuk bekerja.
“Tetapi kerana hasil kerja keras, hadiah dan anugerah yang diperolehinya itu dalam diam dia jadi tarikan pelajarnya yang mencintainya dalam diam. Wanita itu bernama Nory seorang ibu tunggal dengan empat orang anak. Para pelajar Iwan terdiri daripada pelajar yang bekerja sambil belajar, dan Nory salah seorang daripadanya.
“Pada awalnya saya tak tahu dan tak sedar tentang hubungan mereka hinggalah satu hari Iwan beritahu dia akan keluar negara kerana tugas selama dua minggu, saya tawarkan diri hendak ikut kerana saya tak bekerja. Tapi Iwan tak izinkan, sebaliknya dia beritahu dia ada satu lagi lawatan sambil bekerja di luar negaa juga selama empat minggu, ketika itu dia akan bawa saya bersama anak-anak, kebetulan cuti sekolah, saya bersetuju.
“Sampai waktunya kami anak beranak terbang ke Amerika Syarikat (AS), awalnya empat minggu, tetapi jadi dua minggu sahaja, sebab tugasnya sudah habis. Ok lah, kami balik. Tetapi bila sampai ke rumah, saya rasa ada sesuatu tak kena dengan diri, demam tak kebah, dan sakit sendi.
“Kalau biasanya bila saya mengadu sakit, Iwan suruh saya jumpa doktor suruh makan ubat dan dia tahu saya akan sembuh. Sebab dia sibuk. Tetapi kali ini, dia bawa saya jumpa bomoh yang dia panggil ‘perawat’. Pelik pulak mengapa bukan doktor. Katanya perawat ini bagus boleh tengok saya sakit apa dan boleh sembuh. Kerana sakit saya ikut, nun dia bawa saya ke negeri Perak.
Tapi saya rasa perawat ini bomoh. Macam-macam benda pelik-pelik termasuk jin-jin ada dalam badan saya. Saya tak percaya. Tapi peliknya Iwan seorang terpelajar luar negara boleh percaya dengan benda tahyul dan karut marut ini.
Berubah
“Tambah pelik bila bomoh tu kata badan Iwan dikawal oleh kuasa ghaib, tak siapa oleh buat aniaya pada Iwan. Dia tambah lagi ilmu lain yang boleh buat Iwan lebih kuat. Saya jadi pelik saya ke yang dirawat atau Iwan? Tapi perawat bomoh ini puji kekuatan dan kesaktian Iwan. Tak ada siapa boleh rosakkan tubuh badan Iwan.
“Saya tambah pelik bila dia kata badan Iwan ada kuasa dan ilmu ghaib. Saya rasa bomoh dan Iwan sudah tersasul jauh dari landasan agama kerana dia bercakap pasal sihir, jin dan entah apa-apa lagi. Saya beritahu Iwan saya tak yakin ‘perawat’ tersebut, dia marah. Dituduhnya pulak saya kaki sihir, kaki santau dan bela jin.
“Selama lebih 10 tahun kami berkahwin, tak pernah Iwan cakap pelik seperti ini, tetapi mengapa sekarang dia benar-benar berubah. Mengapa dulu dia kata saya seorang isteri yang baik, pandai urus rumah tangga, tetapi akhir-akhir ini saya dituduh bela jin, kaki sihir dan santaukan dia? Pelik memang pelik! Saya rasa ada yang tak kena dengan diri Iwan sekarang.
“Selang dua hari selepas saya di bawa jumpa bomoh tersebut, Iwan beritahu dia terpaksa bawa pelajarnya yang sakit jumpa ‘perawat’ yang sama. Dua hari kemudian pergi lagi, katanya pelajarnya sakit teruk. Bila saya nak ikut, Iwan tak beri. Saya tanya Iwan apa hubungan dia dengan pelajar itu. Saya fikirkan gadis, tentu dia ada ibu bapa, kalau dah kahwin, mana suaminya? Pelik sungguh Iwan bermati-matian hantar isteri orang berubat. Iwan diam.
“Tetapi naluri seorang isteri tak boleh tolak ketepatannya. Kehairanan membuat saya ingin menyiasat dan bertanya. Pertama saya lihat perubahan diri Iwan, saya dapat rasakan Iwan bukan Iwan yang dulu, dia suka bercakap pasal jin, sihir, santau, ilmu jahat dan dia tuduh saya sihirkan dan santaukan dia. Untuk apa kalau kena santau dah lama Iwan sakit terlentang, ini sihat walafiat, cuma fikirannya jadi resah dan tak menentu.
“Perubahan Iwan saya lihat dalam masa beberapa bulan sejak pertengahan tahun lalu memang lain sungguh. Dia percaya tuduhan bomoh itu kata saya sihirkan dia dan bela jin. Peliknya anak dah tiga orang baru sekarang kata saya bela jin dan kaki sihir. Tapi kata bomoh tersebut jin belaan saya tak sekuat jin dalam tubuh Iwan lebih sakti. Lagi mengarut.
“Kehairanan membuat saya bertanya kepada rakan-rakan Iwan, mereka juga pelik. Dari situ terbongkar yang Iwan sudah berkahwin dengan Nory ibu anak empat yang juga pelajarnya. Wanita itulah yang Iwan sering bawa jumpa bomoh tersebut. Bomoh itu rupanya kenalan Nory dan dia yang kenalkan bomoh itu pada Iwan. Nory berhenti kerja selepas nikah dengan Iwan dan dia yang ikut Iwan ketika keluar negara. Patutlah semasa ke AS dulu dia bawa saya cuma dua minggu, sebelumnya dua minggu lagi dia bawa Nory.
“Bila saya tanya, Iwan tak nafikan, memang dia sudah nikah, selepas Nory jadi pelajarnya selama enam bulan. Sejak berkahwin itulah Iwan selalu tuduh saya simpan kain kuning, kain putih dan macam macam benda santau yang membuat Iwan langsung tak berani makan di rumah lagi.
Lagi pelik bila Nory sakit dia meracau dan sebut nama saya. Kata Iwan ketika meracau Nory boleh scan dia nampak saya jumpa bomoh. Iwan percaya.
“Balik ke rumah, Iwan mengamuk tuduh saya sihir Nory. Saya nafikan, dan dia suruh saya bersumpah laknat. Saya ikut. Tetapi Iwan masih tak puas hati bila dia balik ke rumah Nory. Sejak duduk dengan Nory Iwan lupakan kami tiga beranak, sedangkan saya sedang hamil. Tapi Iwan tak percaya dia suruh buat scan buktikan saya hamil.
“ Tetapi bila hati dan jiwanya tak tenteram dia tidak boleh berfikir dengan baik. Dia sanggup ceraikan saya ketika saya hamil. Dalam kertas yang ditulisnya semasa ceraikan saya Iwan berkata ‘Dengan bersaksikan makluk-makhluk Allah dalam rumah ini aku ceraikan engkau.’’ Sedangkan ketika itu tidak ada sesiapa dalam bilik kami. Selepas diceraikan Iwan suruh saya keluar rumah, kerana nak bawa isteri baru dengan anak-anak tirinya. Saya berkeras tidak mahu keluar walau apa pun terjadi. Ke mana saya nak pergi dengan anak-anak kecil ini?
“Saya masih tak pasti apa yang berlaku pada Iwan. Perubahannya mendadak, cakapnya mengarut, konon isteri barunya datang dari alam ghaib. Konon bahtera Nabi Nuh ada atas Gunung Jerai. Konon badannya ada kuasa ghaib, konon dosanya telah dihapuskan oleh bomoh tersebut dengan upah RM5,000. Memang pelik. Tetapi dengan kekuatan ilmu yang dia ada kononnya dia masih tuduh saya sihirkan dia. Memang mengarut.
“Kerana ingin tahu status saya sama ada sudah diceraikan atau tidak, saya ke Mahkamah Syariah. Depan hakim Iwan masih tuduh saya perempuan sihir. Katanya dia ceraikan saya sebab dia yakin dan percaya saya sihirkan dan santau dia. Hakim terkejut dan tercengang, tetapi kerana dia bawa peguam maka sahlah saya diceraikan. Saya reda atas apa yang berlaku tetapi saya kesian dengan Iwan yang telah menyimpang dari akidahnya.
“Namun sebagai isteri saya sedih dengan apa yang berlaku, selama 15 tahun kami bahagia, tetapi semuanya hancur dalam sekelip mata, tak sampai setahun apabila Iwan bertemu Nory. Saya tidak ada masa keluar rumah tanpa Iwan sebab sibuk dengan tiga orang anak yang perlu dihantar dan di ambil ke sekolah, ke tadika, ke sekolah agama, selain uruskan rumah tangga, dan sedia makan minum mereka.
Jadi mana masa saya nak berjumpa bomoh. Lagi pun tak ada sebab kerana rumah tangga kami sebelumnya aman bahagia. Namun saya reda dengan ketentuan Allah tentu ada rahmat-Nya nanti.’’ Demikian cerita Norshima panjang lebar untuk kita ambil iktibar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan