Secara umumnya, hak selepas perceraian boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu berkaitan dengan harta iaitu meliputi nafkah, mutaah dan harta sepencarian serta hak 
tidak berkaitan dengan harta iaitu hak jagaan anak dan tempat tinggal.
Bagi tuntutan nafkah boleh dibuat oleh isteri atau bekas isteri, sama ada berupa nafkah tertunggak, nafkah semasa ataupun nafkah idah.



Mutaah pula adalah pemberian saguhati apabila seorang isteri itu diceraikan tanpa sebab munasabah dan bukan daripada keaiban atau kesalahan pihaknya. Isteri berhak mendapat mutaah bagi memulakan kehidupan baharu dan keperitan hidup tanpa bantuan suami selepas bercerai.
Namun isu yang sering menjadi persoalan, berapakah jumlah yang layak bagi bekas isteri mendapat mutaah? Buat masa ini, masih belum ada formula tuntas bagi mendapat kuantum tersebut.
Walaupun ada beberapa keputusan mahkamah yang cuba menggarap formula bagi mengira jumlah mutaah, namun masih belum dapat diseragamkan. Oleh itu, perkara penting perlu dinilai oleh mahkamah dalam menentukan jumlah mutaah itu adalah berdasarkan kemampuan bekas suami untuk menyediakan jumlah tersebut.
Bagi tuntutan harta sepencarian pula, mana-mana pihak sama ada suami atau isteri boleh menuntut harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan sebagai harta sepencarian tanpa mengira harta tersebut diletakkan atas nama suami, isteri, berdua ataupun pihak ketiga.
Apa yang penting, harta tersebut diperoleh oleh pasangan tersebut dalam tempoh perkahwinan. Jika harta tersebut diperoleh di luar tempoh perkahwinan tetapi terdapat pemajuan yang besar atas harta tersebut dalam tempoh perkahwinan, pemajuan tersebut boleh juga dikira sebagai harta sepencarian.
Dalam menentukan berapa pembahagian untuk harta sepencarian tersebut, mahkamah secara lazimnya akan meneliti apakah sumbangan yang diberikan oleh pihak-pihak dalam pemilikan harta itu.
Sekiranya sumbangan bersifat sama rata, kebiasaannya mahkamah akan membahagikan secara sama rata. Sumbangan itu juga boleh dinilai sama ada berbentuk sumbangan langsung atau tidak langsung.
Sumbangan langsung bermaksud sumbangan yang diberikan pihak-pihak melalui wang untuk memperoleh harta tersebut, manakala sumbangan tidak langsung pula kebiasaannya adalah sumbangan isteri dalam memberi kebahagiaan atau kesenangan bagi pihak suami, menjaga anak-anak serta mengurus rumahtangga.
Sumbangan tidak langsung itu boleh diberikan dan dinilai sehingga sepertiga daripada nilai harta tersebut. Sumbangan tidak langsung hanya boleh dituntut oleh isteri sahaja dan tidak terpakai kepada suami.
Harta yang boleh dituntut pula tidak terhad kepada hartanah sahaja tetapi termasuk dalam bentuk saham, wang simpanan, kenderaan dan apa jua harta yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

HAK BUKAN HARTA
Bagi kategori bukan harta pula, hak jagaan atau hadhanah adalah tuntutan yang sering dibuat oleh pasangan bercerai di Mahkamah Syariah. Isu hadhanah biasanya sering menjadi beremosi kerana ia melibatkan naluri ibu atau bapa kepada anak-anak tersebut.
Realitinya hukum syarak menentukan keutamaan dalam mendapat hak penjagaan anak. Namun keutamaan itu boleh dipatahkan sekiranya kebajikan anak tidak terjaga jika diberikan kepada pihak yang mendapat keutamaan.
Malah mahkamah juga boleh memberikan hak jagaan anak kepada pihak ketiga yang tidak tersenarai dalam senarai keutamaan sekiranya mahkamah berpendapat pihak ketiga adalah pihak terbaik untuk menjaga kebajikan anak tersebut.
Namun masih ramai gagal membezakan antara hak hadhanah dan wilayah. Hadhanah lebih kepada penjagaan fizikal anak tetapi wilayah pula penjagaan diri dan harta kanak-kanak yang mana kebiasaannya diberikan kepada bapa.
Dalam menentukan pendidikan dan perkembangan anak, bapa lebih berhak. Begitu juga melibatkan hak mentadbir harta anak bawah umur yang lazimnya diberikan kepada bapa. Walaupun hak hadhanah mungkin diberikan kepada ibu, tetapi hak wilayah boleh diberikan kepada bapa.
Apabila seorang isteri diceraikan, dia masih berhak untuk mendapat hak tempat tinggal selagi mana tempoh idah bagi dirinya masih belum tamat ataupun dia mendapat hak jagaan anak. Lazimnya seorang isteri yang diceraikan akan pulang ke pangkuan ibu bapanya bersama anak-anak atau meninggalkan rumah matrimoni (perkahwinan) mereka, berpindah ke rumah lain ataupun lebih sedih lagi dihalau bekas suami.
Sebenarnya undang-undang masih membenarkan bekas isteri tersebut tinggal di rumah matrimoni tersebut bersama dengan bekas suami dalam tempoh idah dan bekas suami yang perlu keluar rumah tersebut setelah tamat tempoh idah dengan bekas isteri. Kefahaman tersebut perlu diperjelaskan kerana seringkali golongan wanita teraniaya dengan hak mereka apabila diceraikan.
Beberapa hak lain yang diperuntukkan dalam undang-undang seperti halangan daripada dikacau atau diganggu, halangan melupuskan harta bagi tujuan mengecewakan tuntutan mutaah, nafkah dan harta sepencarian serta perintah kembali taat kepada isteri ingkar juga boleh dipohon daripada Mahkamah Syariah.
Kesemua hak tersebut disediakan bagi menjamin agar ketidakadilan tidak berlaku kepada mana-mana pihak walaupun mereka berhadapan dengan kes perceraian. Oleh itu, pasangan yang bercerai perlu mengetahui dan arif tentang hak masing-masing yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Jenis nafkah
Nafkah tertunggak
  •  Suami tidak membayar nafkah kepada isteri
  •  Ayah tidak memberi nafkah kepada anak, sebaliknya ditanggung ibu
  •  Tunggakan dianggap sebagai hutang, isteri berhak tuntut
Nafkah semasa
  •  Nafkah diperlukan isteri, anak-anak pada sesuatu masa, bekas isteri berhak menuntut dalam tempoh idah
  •  Jumlah ditentukan oleh mahkamah mengikut rutin dalam tempoh perkahwinan
  •  Meliputi keperluan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan
Nafkah anak
  •  Tanggungjawab bapa, bukan pihak ibu
  •  Jika tidak berkemampuan, datuk sebelah bapa perlu mengambil tanggungjawab tersebut, seterusnya adik-beradik lelaki sebelah bapa serta waris-waris lelaki lain sebelah bapa
  •  Jika tiada waris lelaki lain sebelah bapa, Baitulmal hendaklah mengambil tanggungjawab itu jika pihak isteri tidak berkemampuan
Kategori hak selepas perceraian
  • Harta Bukan harta
  • Nafkah Hak jagaan, hadhanah
  • Mutaah Hak Tempat tinggal
  • Harta sepencarian