Oleh : Ahmad Nazri Mohd Yusoff bhagama@bh.com.my
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 16 FEBRUARI 2016
KEHADIRAN Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai suri dalam hidup Nabi Muhammad SAW memberi satu kekuatan dan tenaga pendorong untuk menghadapi tugas yang amat berat. Beliau menjadi teman hidup yang dapat menghilangkan kesepian, memberi kehidupan pada kala duka, malah rela berkorban demi suami tercinta, Rasulullah SAW.
Beliau adalah seorang wanita yang dihormati dan dipandang tinggi serta suka membantu mereka yang lemah dan memerlukan. Baginda yang digelar 'al-Amin' memperdagangkan barangan Khadijah serta mendapat keuntungan.
Khadijah melamar Rasulullah SAW kerana tertarik dengan peribadi Baginda. Usia Khadijah ketika itu ialah 40 tahun dan Rasulullah SAW pula 25 tahun. Namun demikian, persoalannya mengapakah Khadijah begitu terkesima dan kagum sehingga ingin melamar Rasulullah SAW sebagai pasangan hidup?
Bagi merungkaikan persoalan itu, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ketika bersiaran dalam rancangan Pesona D'Zahra pada minggu lalu menjelaskan bahawa sifat amanah yang dipamerkan oleh Baginda dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat sedikit sebanyak menjadi faktor daya penarik untuk Khadijah melamar Baginda.
Sejarah membuktikan dengan sifat tanggungjawab yang ada pada Nabi Muhammad SAW membawa Baginda memperoleh keuntungan yang besar dan berlipat kali ganda ketika menjalankan menguruskan perniagaan Khadijah. Justeru, dalam hal ini, sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk mengikut jejak langkah Baginda SAW.
Misalnya sebagai pekerja Muslim yang diberikan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang besar seharusnya kita berusaha mencapainya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, apatah lagi kita menyedari bahawa hasil daripada pendapatan itulah akan menjadi sumber rezeki yang halal dan punca kepada kebahagiaan untuk diri dan kesejahteraan keluarga.
Seorang pekerja yang diberi amanah besar mestilah sanggup bersedia melaksanakan tugas dengan cekap, pantas, teliti dan sempurna dan tidak berkira dalam melaksanakan tanggungjawab serta sentiasa melakukan kerja yang terbaik.
Ringkasnya, setiap individu memiliki tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.
Hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya, seorang khadam (pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap dipimpinnya." (Riwayat al-Bukhari).
Bina keluarga bahagia
Tidak dapat disangkal lagi bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah SAW adalah contoh panduan kepada seluruh umat Islam. Kehidupan dan keperibadian Baginda umpama manual panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa Baginda adalah sebaik-baik contoh dan ikutan.
Dalam aspek membina keluarga bahagia, keperibadian Rasulullah SAW terhadap isteri dan anak-anak wajar dicontohi pasangan pada zaman kini.
Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga. Walaupun Baginda seorang pemimpin masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi. Nabi Muhammad SAW juga seorang suami yang ringan tulang, sering membantu isteri dalam urusan rumah tangga tanpa disuruh.
Sewaktu hayat Baginda, keprihatinan terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat ditangani dengan sebaik mungkin dalam usaha membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia.
Misalnya, Rasulullah SAW telah dijadikan sebagai tempat rujukan oleh masyarakat pada ketika itu dalam menangani peristiwa peletakan semula Hajar Aswad.
Menerusi tajuk perbincangan 'Kenapa Saidatina Khadijah Melamar Rasulullah SAW?' Ustaz Muhammad turut menekankan bahawa bagi memastikan kerukunan sesebuah rumah tangga dan keluarga, Islam menggariskan peraturan tertentu yang menjadi tanggungjawab suami iaitu pemberian nafkah kepada isteri.
Hukum atau peruntukan bagi suami menunaikan tanggungjawab itu jelas melalui firman Allah SWT: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya . Dan orang yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepada (sekadar yang mampu) ..." (Surah at -Talaq, ayat 7).
Sumbangan isteri sedekah
Oleh itu, suami wajib memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuannya. Dalam erti kata lain, berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang yang di bawah tanggungannya. Kewajipan itu turut ditegaskan sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah." (Hadith Riwayat Ibn Majah)
Dalam masyarakat hari ini, meskipun didapati suami isteri sama-sama bekerja, tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Bagaimanapun, isteri boleh membantu di mana yang sesuai.
Sumbangan isteri kepada keluarga ini dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Selaku umat Islam, kita hendaklah mencontohi rumah tangga Rasulullah SAW ke arah menjadikan keluarga sebagai syurga dunia. Untuk itu, perjalanan hidup berumah tangga mestilah berpandukan ajaran Islam dan dijadikan tempat merealisasikan ajaran itu secara menyeluruh.
Selain itu, dalam isu pemberian nafkah, suami juga perlu memahami walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik meskipun dalam situasi di mana pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami.
Islam mensyaratkan setiap lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap kaum wanita. Sebagai pemimpin, suami dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka.
Bagaimanapun, kita dapat melihat pada hari ini, sesetengah suami semakin jauh daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar. Mungkin kerana itulah mahligai indah yang dibina selama ini akhirnya runtuh akibat kurangnya kefahaman dan penghayatan suami terhadap nilai murni yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan