Isnin, 2 Jun 2014

Keadilan untuk semua isteri

Oleh : Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi
Pegawai Penyelidik
Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik IKIM
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 23/09/2005

Satu hakikat yang harus diterima ialah poligami tidak akan terlaksana tanpa penyertaan sekurang-kurangnya dua orang wanita. Tanpa mengira status wanita itu sebagai isteri pertama, kedua, ketiga mahupun bongsu kepincangan pasti akan berlaku dalam rumah tangga sekiranya satu pihak, kedua-dua belah pihak ataupun kesemua pihak bertindak tanpa mengikut lunas-lunas syarak.

Lazim juga kita mendengar rintihan isteri pertama yang berendam air mata menangisi tingkah laku suami yang tidak menghargai sikap toleransi yang diberikan dan lebih malang lagi apabila keadaan ini diambil kesempatan oleh isteri yang baru. Kita juga tentunya pernah mendengar atau berdepan dengan senario campur tangan pihak-pihak lain terhadap keluarga yang berpoligami. Seorang ibu mendesak anak perempuannya untuk memujuk bakal suami agar menceraikan isteri yang sedia ada supaya si anak tidak berkongsi kasih, tanpa memikirkan bahawa isteri yang sedia ada mempunyai hak untuk meneruskan kehidupannya sebagai isteri kepada lelaki yang terlibat.

Ada kes di mana suami yang mempunyai lebih seorang isteri telah melakukan tindakan nekad untuk membunuh diri kerana tidak dapat membendung perasaan kecewa terhadap isteri-isterinya yang sentiasa berkelahi.


Berdasarkan artikel, Poligami dan Undang-undang: Isu dan Realiti dalam Buku Keperluan Manual Undang-undang Keluarga Islam (akan diterbitkan oleh IKIM) oleh Prof. Madya Dr. Zaleha Kamaruddin bersama Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah, ternyata persepsi poligami di kalangan masyarakat Islam di Malaysia agak ketara perbezaannya dengan masyarakat lain di sesetengah negara lain. Sebenarnya, kita sendirilah yang menjadikan perkara yang diharuskan oleh hukum syarak ini sebagai kesakitan dan penderitaan.

Antara faktor yang membawa kepada kepincangan dalam keluarga berbentuk sebegini ialah ceteknya pengetahuan dalam perkara hukum-hakam, keengganan untuk mengikut prosedur yang telah ditentukan dan emosi yang tidak dapat dikawal.

Poligami hanya akan menyebabkan keadaan rumah tangga yang lebih derita sekiranya sebelum itu ia tidak dibina dengan damai dan bahagia. Untuk sesetengah keadaan, poligami bagaikan suatu eskapisme daripada masalah sedia ada, tetapi lazimnya kesannya lebih merosakkan.

Harta sepencarian didefinisikan sebagai harta diperoleh suami isteri secara bersama dalam tempoh perkahwinan. Kebanyakan kes harta sepencarian yang diputuskan membuktikan bahawa seorang isteri tidak bekerja dan hanya menjalankan peranan sebagai suri rumah sepenuh masa tetapi mempunyai hak terhadap pendapatan yang diraih oleh pihak suami.

Apabila persoalan harta sepencarian diletakkan dalam poligami, ia menjadikan semua ahli keluarga terlibat menghormati hak masing-masing selain menghargai pengorbanan isteri kerana memberikan sebahagian peruntukan kasih sayang yang selama itu diterima kepada isteri baru. Harta sepencarian yang telah diagihkan nisbah dan peruntukannya, tidak semestinya akan dicairkan secara serta-merta oleh pihak isteri pertama yang menerima.

Kalau pemilikan harta itu berbentuk perkongsian terhadap rumah yang diduduki, maka lazimnya harta itu tetap akan dikekalkan sebagai tempat perteduhan isteri pertama bersama anak-anak. Cuma ia akan menjadi garisan dalam menentukan pembahagian harta selepas salah satu pihak meninggal dunia.

Di sinilah antara fungsi harta sepencarian yang ditentu dan diputuskan, dan tidak boleh dituntut oleh mereka yang tidak berhak.

Contohnya, anak-anak kepada isteri kedua sememangnya akan mewarisi harta si ibu apabila dia meninggal dunia, di sini sekiranya harta tersebut telah diputuskan sebagai harta isteri pertama (daripada harta sepencarian), maka mereka terhalang untuk memiliki harta tersebut.

Apabila isu harta sepencarian disentuh, dalam senario masa kini yang menyaksikan suami dan isteri sama-sama mencari pendapatan, maka tentulah pihak suami turut merasakan mereka juga sedikit sebanyak mempunyai hak untuk merasa laba yang diraih oleh pihak isteri dengan alasan yang serupa; memberikan sokongan moral, menyediakan kos-kos lepas dan memberikan modal secara tidak langsung semasa isteri mencari pendapatan di luar rumah. Sesetengah suami juga memberi perhatian yang tidak kurang terhadap keperluan rumah tangga dan anak-anak bagi memberi laluan yang selesa kepada isteri mereka.

Maka topik-topik perbincangan seperti, adakah nafkah wajib diberikan kepada isteri yang bekerja dan memiliki pendapatan selesa, mula mengintai-intai ruang untuk dibincangkan di khalayak. Adakah kaum wanita dalam masyarakat kita hari ini telah bersedia untuk membincangkan tajuk seumpama ini?

Kebimbangan sesetengah pihak terhadap isu harta sepencarian sememangnya berasas demi keadilan semua pihak dan perlindungan hak masing-masing. (Utusan Malaysia, 15 September 2005).

Kalaulah terdapat pandangan yang mengatakan bahawa isteri yang bekerja tidak wajib diberi nafkah, maka tentunya akan timbul pula persoalan tentang berapakah nisbah sumbangan yang perlu diberikan oleh pihak suami lantaran kos hidup semakin tinggi.

Masalah keluarga lazimnya dikemukakan dan diajukan oleh pihak isteri. Dinyatakan hampir 80 peratus, pengadu adalah dari kalangan isteri. (Utusan Malaysia, 16 September 2005) Pejabat Agama Islam akan cuba membantu sekiranya konflik suami isteri dilihat masih dapat diselamatkan. Perceraian suatu perkara yang sangat memeritkan untuk dihadapi, tetapi ia bertambah derita sekiranya perceraian yang hendak dibuat terpaksa menempuh halangan-halangan yang tidak masuk akal, terutamanya apabila sebelah pihak yang bertikai berasa sakit hati dan sengaja merumitkan keadaan.

Sesetengah pihak, lazimnya kaum wanita sebenarnya tidak merasakan bahawa kejayaan mendapatkan perceraian bukanlah kemerdekaan yang hakiki. Terkial-kial memulakan fasa baru dalam kehidupan, terutama bagi mereka yang tidak bekerja apatah lagi apabila anak-anak yang terdapat dalam perkahwinan berada di bawah jagaan si ibu.

Apabila statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah tangga terdiri daripada kaum wanita, secara tidak langsung kebarangkalian peratus yang sama menunjukkan krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami. Begitu juga apabila dikatakan kebanyakan wanita yang mengalami krisis rumah tangga tidak mengetahui hak-hak mereka, secara tidak langsung juga ia menunjukkan kelemahan di pihak suami atau bekas suami. Berdasarkan senario ini, hipotesis yang boleh dinyatakan ialah, 1) suami atau bekas suami juga tidak tahu mengenai hak isteri atau bekas isteri, 2) suami atau bekas suami mengetahuinya tetapi sengaja ingkar, 3) suami memang tidak ambil peduli ataupun 4) lain-lain termasuk campur tangan pihak-pihak lain. Ceteknya ilmu yang dimiliki oleh wanita bukanlah masalah yang sangat besar sekiranya pihak suami atau bekas suami bersedia untuk memberikan kerjasama.

Sehubungan dengan kurangnya rasa prihatin di kalangan kaum bapa ini boleh dilihat dalam artikel, A Preliminary Study on Non-Custodial Fathers Contact With Their Children After Divorce in Malaysia (Jurnal Undang-undang IKIM, Vol. 9 No. 1, Jan - Jun 2005) iaitu kajian oleh Prof. Madya Dr. Zaleha Kamaruddin bersama ahli kumpulan beliau yang menjelaskan situasi hubungan di antara anak dengan bapa selepas perceraian dan anak tidak dibela oleh bapa. Antaranya menyimpulkan anak-anak yang masih kecil lazimnya tidak mempunyai hubungan yang akrab dan mesra dengan si bapa sekalipun pihak bapa masih melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah, menyediakan keperluan pendidikan dan material kepada si anak. Hasil kajian seumpama ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh kita sebagai masyarakat yang prihatin dan penyayang. Selain inisiatif yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung, pihak-pihak yang berkaitan juga seharusnya memberi galakan kepada kaum bapa supaya bersikap lebih prihatin, memahami keperluan sebenar jasmani, emosi dan mental anak-anak dan kerjasama sangat perlu diberikan oleh hadin, iaitu pihak yang membesarkan anak-anak itu.

Barangkali kita kurang sedar tumpuan kita kurang menyeluruh. Dalam kita begitu memberi perhatian untuk membela dan mempertahankan hak sebelah pihak, kita seakan-akan hanya menghukum dan mendera kealpaan, kecuaian dan keegoan golongan tertentu.

Undang-undang Keluarga Islam, Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Undang-undang Bagi Orang Asli dan Anak Negeri (Sabah dan Sarawak) hanya sebahagian daripada mekanisme yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah kekeluargaan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang seimbang dan sejahtera. Pelan bertindak dalam pemeliharaan generasi (hifz al-nasal) untuk membina generasi yang mutahaddhir (bertamadun) perlu dibuat secara bersepadu. Selain perundangan dan Mahkamah Syariah atau Mahkamah Keluarga, pembinaan keluarga yang sejahtera juga perlu disokong dengan program-program lain secara berterusan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman