Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim
Sumber : Berita Harian - Hak Muslim
Tarikh : xx/10/2007
SAYA ingin bertanya mengenai masalah kakak angkat yang mengalami krisis rumah tangga serius. Saya mengenali kakak angkat ini kira-kira dua tahun dan sekarang saya menjadi tempat untuknya meluahkan segala masalah dihadapi dengan suaminya yang tidak bertanggungjawab. Mereka sudah berkahwin 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Apa yang menyedihkan ialah pasangan ini selalu bergaduh dan setiap kali bergaduh, suami akan meniduri dan melayannya seperti hamba seks iaitu tanpa kerelaan isteri. Suaminya mengatakan bahawa cara untuk menahan isteri supaya tidak memohon cerai adalah apabila isterinya mengandung dan mempunyai anak kecil. Kakak angkat saya juga dipukul dan setiap kali berlaku perkara itu, abang angkat saya akan memberitahu anak bahawa ibunya seorang yang tidak baik dan mendapat hukuman kerana kesalahan dibuat. Kadang-kadang suami tidak memberi duit belanja dapur kecuali selepas mendera dan kemudian meniduri isterinya. Saya sangat simpati mendengar masalah kakak angkat saya. Beliau sangat tertekan dan mungkin boleh menyebabkan melakukan pelbagai perkara tidak sepatutnya. Apakah yang wajar dia lakukan untuk menyelamatkan diri dan haknya. Untuk pengetahuan tuan, kakak angkat saya adalah suri rumah dan tidak berani memberitahu keluarga masalah dihadapinya. Semoga mendapat penjelasan tuan.
Adik angkat lelaki
Selangor
Kami bersimpati dengan apa yang kakak angkat saudara lalui. Semoga beliau dapat bersabar dan tabahkan hati mengharungi ujian ini. Namun begitu, selain bersabar, beliau perlu berusaha kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan orang itu berusaha mengubahnya.
Secara umumnya, perkahwinan adalah gabungan dua insan untuk bersama-sama melalui hidup dengan aman dan saling lengkap melengkapi. Objektif perkahwinan itu sendiri dalam Islam jelas, iaitu sebagai tempat mencari ketenangan dan kebahagiaan di samping menjadi jalan mendapat zuriat yang halal dan salih.
Dengan itu, apabila sesuatu perkahwinan gagal menjadi taman syurga, gagal mencapai objektif perkahwinan, bahkan menimbulkan banyak mudarat kepada pasangan seperti teraniaya, terhina, tidak bahagia, terseksa sama ada secara fizikal atau mental, maka secara dasarnya pihak yang teraniaya berhak untuk keluar daripada ikatan rumah tangga itu.
Dalam kes kakak angkat saudara, kami menasihatkan supaya beliau tidak berdiam diri tetapi mengambil tindakan berdasar beberapa pendekatan.
Pertama, kakak angkat saudara perlu berusaha dengan segera mencari jalan untuk meminta ibu, ayah atau mana-mana ustaz disegani suami untuk campur tangan dengan memberi nasihat kepada beliau supaya mengubah tindakannya melayan isteri sebegitu.
Islam tidak pernah menyuruh seseorang suami memukul sesuka hati, bahkan Rasulullah SAW sebagai teladan kepada semua orang Islam pernah menyebut, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling lembut dengan isterinya dan aku adalah yang terbaik antara kamu.”
Abang angkat saudara sangat tersasar apabila melayan, memukul dan kemudian melakukan penderaan fizikal dan seksual kepada isterinya. Apatah lagi mengatakan dia mendidik isterinya begitu di hadapan anak.
Dia bukan saja membawa mudarat kepada isteri, tetapi juga mudarat kepada psikologi dan jiwa anaknya yang menjadi penonton kepada drama penderaan tidak benar itu. Mana tahu, kemungkinan nasihat orang yang disegani boleh membuahkan hasil dan menyebabkan suami itu bertaubat.
Kedua, jika usaha menasihati beliau gagal dan kakak angkat terus teraniaya secara mental dan fizikal, maka Islam memang membenarkan perceraian. Dalam kes sebegini, kebajikan pihak teraniaya adalah satu keutamaan dan kaedah fiqah ada menyebut bahawa ‘kemudaratan hendaklah dihilangkan’.
Jika kakak angkat saudara mempunyai keberanian berbincang dengan suaminya, maka usahakan mendapat perceraian secara baik. Jika tidak, mungkin pihak ketiga disegani tadi memberi nasihat kepada suami untuk bercerai secara baik.
Bercerai secara baik seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (EUKIS 2003) merujuk kepada perceraian dengan persetujuan suami isteri dan suami melafazkan talak di mahkamah dengan kebenaran.
Kakak angkat saudara tidak boleh menyimpan keruntuhan rumah tangga daripada pengetahuan ibu bapa dan saudara terdekat. Dia perlu memberitahu ibu bapa dan keluarga masalah dihadapi kerana sokongan moral daripada ibu bapa dan saudara terdekat sangat perlu dalam kes sebegini.
Dengan sokongan moral itu, beliau akan lebih tabah dan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan.
Jika suaminya enggan bercerai secara baik, maka beliau boleh mengambil tindakan memohon perceraian fasakh di Mahkamah Syariah di mana beliau bermastautin mengikut Seksyen 53 Enakmen sama.
Mengikut seksyen berkenaan, memang diperuntukkan bahawa mana-mana pihak boleh menuntut fasakh atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan.
Antara alasan dibenarkan adalah pasangan lazim menyakiti dan melakukan penderaan. Apa yang kakak angkat saudara lalui termasuk dalam peruntukan ini iaitu penderaan secara fizikal dan mental.
Kami juga ingin menasihatkan supaya saudara dapat memperkenalkan kakak angkat kepada kaunselor atau ustazah. Saudara sebenarnya bukan pihak yang paling tepat untuk mendengar kisah kakak angkat kerana saudara tiada hubungan darah dengan beliau.
Banyak kes yang kita temui di mana mangsa yang bercerita dan meluahkan masalah rumah tangga kepada lain jantina, berakhir dengan perkara negatif iaitu bercinta pula dengan orang yang mendengar masalah mereka. Kami harap saudara dapat mengambil tindakan selayaknya supaya perkara sebegini boleh dielakkan.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang soalan boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan