Ahad, 20 September 2015

Cerai, bukan penamat kehidupan

Pasti ada hikmah di sebaliknya

Bersama NORAZMAN AMAT
Tarikh : 16/09/2015
Sumber : Utusan Malaysia


SEMUA pasangan suami isteri mengharapkan usia perkahwinan mereka
SEMUA pasangan suami isteri mengharapkan usia perkahwinan mereka sampai ke akhir hayat, namun sekiranya perceraian berlaku, pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. - GAMBAR HIASAN
MALAM itu Ramli cukup gelisah. Apa yang dibuatnya serba tak kena. Duduk salah, berdiri salah, baring salah, semuanya jadi serba salah. Sepucuk nota yang ditinggalkan isterinya di atas meja sisi katil, dibaca berkali-kali. Bagaikan tidak mahu mempercayainya. Tapi segala-galanya sudah terlambat.

Ramlah, isteri yang hidup 35 tahun bersamanya meninggalkannya terkontang-kanting. Hidupnya kosong. Paling membuatkan hatinya menjadi hiba apabila dua anak mereka turut serta meninggalkan rumah. Alasan yang ditinggalkan cukup mudah. “Kita dah tak sehaluan!”.
Ternyata simbahan cahaya bulan terang yang menerjah masuk ke kamar tidur Ramli malam itu tidak sedikit pun menampakkan keindahannya. Berkali-kali Ramli memicit telefon bimbitnya dengan harapan agar dapat bercakap dengan Ramlah. Tapi hampa. Yang ada hanya suara supaya meninggalkan pesanan.

Ramlah seolah-olah sudah berpatah arang dengannya. Ramli bingung. Apa yang telah dia lakukan selama ini terhadap Ramlah dan anak-anak sehingga mereka semua meninggalkannya begitu sahaja. Tiada ribut, tiada taufan, tiba-tiba ia berlaku. Kalau nak dikatakan dia telah melakukan kesalahan besar, baru minggu lepas dia meraikan persaraannya bersama Ramlah dan anak-anak.

Bahkan dia juga dengan rasa bangganya telah menyerahkan sebahagian wang faedah persaraan yang diperolehnya kepada Ramlah dan anak-anak. “Biar semua merasa,” kata Ramli tanpa menaruh sebarang syak wasangka. Baginya selama ini Ramlah dan anak-anak sudah cukup banyak berkorban untuknya. Dan inilah masanya untuk dia meluangkan masa sepenuhnya kepada keluarga setelah dihimpit kesibukan bekerja. Bahkan Ramli juga bercadang membawa isteri dan anak-anak menunaikan umrah.

Tetapi segala-galanya berubah sekelip mata. Air mata Ramli akhirnya tumpah. Dia tidak faham kenapa Ramlah melakukannya sedemikian. Kenapa tidak daripada dulu lagi Ramlah meninggalkannya kalau benar Ramlah membencinya? Kenapa sekarang? Paling membingungkan Ramli, apa kesalahannya sehingga dihukum demikian rupa? Dia tidak tahu apa yang Ramlah mahukan. Apakah kerana memperoleh duit yang banyak, Ramlah tergamak meninggalkannya? Apakah tidak cukup apa yang telah diberikan kepada Ramlah selama ini? Memang, Ramli benar-benar bingung dengan tindakan Ramlah.

PANDANGAN KAUNSELOR

Langit tidak selalunya cerah. Ada kalanya mendung malahan sesekali ribut melanda. Demikian juga alam perkahwinan yang tidak lekang dengan masalah suami dan isteri. Hidup berpasangan walaupun memakan puluhan tahun pasti akan diuji dengan pelbagai cubaan dan ujian. Kisah Baiti Jannati minggu ini merupakan sekelumit kisah yang berlaku kepada pasangan yang berumahtangga tetapi tidak sampai ke penghujungnya.

Khamis, 17 September 2015

Niat aniaya isteri, tetapi anak-anak jadi mangsa

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 06/09/2015

“SAYA sering diajukan soalan “mengapa suami tak mahu beri nafkah anak-anak kepada bekas isteri setelah bercerai?’’ Satu soalan yang amat sukar sungguh untuk saya jawab. Biasanya jawapan kurang tepat saya berikan, kerana ia banyak bergantung kepada masalah peribadi si suami itu sendiri. Sama ada dia ikhlas dan bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anaknya ataupun mahu membalas dendam kepada bekas isterinya selepas bercerai.

“Menurut pandangan Puan Nuramira ketika kami bertemu pada majlis hari raya baru-baru ini persoalan ini boleh diselesaikan jika setiap lelaki yang telah bercerai itu tahu tanggungjawab mereka. Dan kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab mesti dijatuhkan hukuman oleh pihak berkuasa. Jika hukuman dijalankan kepada suami jenis ini, maka masalah isteri tak dapat nafkah anak-anak selepas bercerai boleh diselesaikan dengan baik.

“Namun tidak dinafikan memang ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya. Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk beri nafkah anak.

“Masalah tidak bekerja atau bergaji kecil bukan alasan, tidak mahu beri nafkah, kerana sebenarnya mereka tamak dan sengaja mahu menganiaya bekas isterinya, supaya hidup dalam serba kesusahan. Sebenarnya perbuatan suami seperti ini bukan menganiaya isteri sahaja, bahkan turut menganiaya masa depan anak-anak, terutama jika bekas isteri tinggal di kampung, apa lagi di bandar yang serba mencabar,’’ kata Nuramira.

Isu suami tak beri nafkah ini jadi tajuk perbualan kami ketika penulis bertemu dengan beberapa orang rakan dalam satu majlis sambutan raya baru-baru ini. Isu ini timbul ketika rakan kami Imah beritahu rakan kami Asiah meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selama seminggu.

“Kami terkejut dan kesal kerana tidak diberitahu lebih awal semasa arwah tidak sedarkan diri. Imah minta maaf kerana beliau sendiri lambat diberitahu, kerana sibuk dengan majlis perkahwinan anak saudaranya, selain majlis kenduri saudara ke Mekah. Kerana lewat dapat tahu dia hanya sempat melawat sehari sebelum arwah meninggal dunia. Kerana terlalu terkejut beliau terlupa untuk menyampaikan berita kepada rakan-rakan lain.

“Menurut cerita Imah, Asiah jatuh di ruang tamu di rumahnya, terus tidak sedarkan diri. Sepanjang Asiah di rumah sakit, suaminya tidak menghubungi kami, kerana beliau sendiri tidak tahu siapa rakan-rakan Asiah. Jadi jiran tetangga dan saudara sahaja yang pergi menziarah di hospital. Daripada mulut jiran yang menziarahi inilah Imah dapat tahu, tetapi sudah terlambat. Namun, kami merancang untuk berjumpa dengan suami arwah tanda simpati.

Selasa, 15 September 2015

Saya bagi suami peluang kedua

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 12/09/2015

Setiap isteri mengharapkan suami yang dinikahi akan menjadi pelindung hidup mereka sampai ke akhir hayat, menjalani hidup bersuami isteri dengan rasa kasih sayang dan saling tolak ansur sesama sendiri.

Hidup ini memerlukan pengorbanan tidak kira dalam keluarga atau sesama saudara, yang penting mesti disertakan dengan rasa hormat agar bahagia yang dicari mudah diperoleh.

Begitu juga lumrah dalam rumah tangga. Sentiasa ada masalah dan ada serasinya asalkan antara suami isteri mempunyai sikap setia dan mempercayai antara satu sama lain.

Bagaimana jika kesetiaan telah tergugat, mahukah salah seorang mengalah dan memaafkan!

Inilah topik pilihan minggu ini yang dikirim oleh Salwa (bukan nama sebenar), isteri seorang ahli korporat yang telah berjaya memerangkap suaminya bermain kayu tiga dan ada perempuan lain.

Begini cerita Salwa:

“Saya berusia awal 40-an, mempunyai tiga orang anak remaja berusia 13 hingga 17 tahun, seorang lelaki dan dua perempuan. Saya pernah bekerja dan berhenti setelah mendapat anak kedua kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada anak-anak dan rumah tangga.

“Alhamdulillah, suami juga berjaya dalam pekerjaannya dan memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat korporat.
Disebabkan tugasan di rumah yang memerlukan saya lebih banyak bersama anak-anak terutama untuk memantau pelajaran dan aktiviti mereka, saya jarang mengikut suami ke majlis-majlis rasmi.

“Suami juga tidak menggalakkan saya ikut bersama memandangkan anak-anak akan ditinggalkan tanpa sesiapa di rumah dan bimbang keselamatan mereka terutama majlis pada malam hari.

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak nampak perubahan pada suami. Layanan dan perbelanjaan tidak pernah luak. Malah semakin hari semakin sayang kepada kami anak beranak. Kami kerap dibawa bercuti ke luar negara dan membeli- belah.

“Pada mulanya, saya tidak syak apa-apa sehingga satu hari saya terjumpa resit hotel dan tiket kapal terbang di dalam kereta suami. Saya terkejut bila melihat resit itu dikeluarkan di Pulau Pinang.

“Memang saya tahu suami ada ke Pulau Pinang untuk menghadiri konvesyen tetapi katanya atas tugasan bukan untuk bercuti. Itupun dengan rakan-rakan pejabat. Dengan terjumpanya resit dan keratan tiket penerbangan itu, saya mula berhati-hati.

“Satu hari, dia memberitahu saya hendak ke Melaka untuk mesyuarat dengan klien dari Jepun yang mendapat satu projek di sana. Katanya kalau sempat dia balik, jika tidak dia akan bermalam di sana.

Isnin, 14 September 2015

Janji manis mentua ambil terus anak-anak saya


1

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 13/09/2015

DALAM melalui alam rumah tangga, saya yakin dan percaya bahawa nasib kaum wanita tidaklah sebaik yang mereka harap dan mimpikan iaitu aman bahagia hingga ke akhir hayat. Kerana terlalu banyak godaan dan gangguan yang datang dan pergi dalam kehidupan kita. Saya juga mengaku nasib saya tidak sebaik dua orang kakak saya yang bahagia dan aman berbanding saya yang sentiasa ada ketakutan dan rasa rendah diri.

“Memang pada awalnya saya tidak mahu bercerita masalah rumah tangga saya ini, tetapi saya tidak boleh menolaknya, kerana setiap hari hati dan perasaan saya sentiasa dihiris pilu oleh perbuatan bekas mentua saya yang suka mengganggu rumah tangga saya, walau bermuka manis, tetapi penuh racun berbisa. Bukan tuduh, tetapi itulah yang saya dapat lihat dengan jelas sekarang.’’ Demikian cerita Izzah Ezzany dalam e-melnya.

“Walaupun saya sudah lima tahun jadi ibu tunggal dan umur pun sudah lewat 30-an, tetapi saya rasa umpama wanita yang paling rugi dan malang. Tidak keterlaluan jika saya katakan perkahwinan saya idam-idamkan tidak membawa kebahagian.

“Sebenarnya saya langsung tidak menyangka mulut manis keluarga mentua saya hanyalah pura-pura, sedangkan dalam hati mereka tersimpan dendam kesumat dan bencikan saya sejak mula saya berkahwin dahulu. Puncanya kerana hasrat mereka untuk mengambil saudara mereka jadi menantu tidak kesampaian, kini saya jadi mangsa.

“Memang awalnya perkahwinan saya dengan Ezam tidak disukai mentua, kerana mereka ada calon lebih sesuai, tetapi disebabkan kuatnya desakan Ezam yang ketika itu amat cintakan saya, dan saya juga sayangkannya maka ibunya mengalah dan terpaksa terima saya.

“Ketika itu saya memang tidak sedar bahawa kelembutan mereka terima saya sebagai menantu hanya sementara dan mereka menunggu masa sahaja untuk singkirkan saya. Perkahwin saya dengan Ezam cuma bertahan selama tujuh tahun sahaja. Puncanya, saya minta diceraikan setelah merasakan diri tidak berguna selain mentua saya mahu Ezam kahwin lagi.

“Kami sama-sama lulusan kolej, dan sama jurusan, tetapi agaknya saya bernasib baik, syarikat yang ambil saya bekerja lebih kukuh dan lebih besar daripada tempat Ezam bekerja. Jadi secara tidak langsung pendapatan saya cuma lebih sedikit daripada Ezam dan saya mendapat bonos lebih daripadanya, selain berpeluang naik pangkat.

“Alasan ibu Ezam tak mahu terima saya kerana dua sebab, pertama kerana nak rapatkan hubungan keluarga jika Ezam kahwin saudara, kedua takut sedikit sebanyak hartanya tertumpah kepada orang luar, jika kahwin dengan saya.

Isteri mudanya ada tiga suami

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 14/09/2015

Bernikah dengan isteri orang
Lelaki berusia 57 tahun yang mendakwa menjadi mangsa ‘permainan cinta’ wanita muda menunjukkan sijil nikah mereka di Thailand dan laporan polis.
BACHOK - Seorang lelaki berusia 57 tahun bingung apabila mendakwa menjadi mangsa ‘permainan cinta’ seorang wanita muda yang dikahwininya di Selatan Thailand, dua tahun lalu.

Hasrat untuk mengecap bahagia bersama isteri keduanya itu musnah selepas dia mendapat tahu wanita itu masih belum bercerai dengan suami pertamanya.

Bapa kepada tiga anak itu mendakwa mengahwini isteri keduanya yang berusia 27 tahun ketika itu di Majlis Agama Islam Narathiwat, apabila wanita itu mendakwa dia masih anak dara.

Dia bertemu wanita itu yang bekerja di Bernas, Jitra, Kedah dan mengambil keputusan untuk mengahwininya di Selatan Thailand pada 12 September 2013, memandangkan wanita itu menggesanya berbuat demikian dan enggan bernikah di Malaysia.

“Kalau boleh memang kami nak kahwin di sini, tetapi dia menggesa saya untuk kahwin cepat di Selatan Thailand. Bila saya nak daftar kahwin di sini, dia banyak berdolak dalik sehingga saya tahu dia pernah berkahwin sebelum ini dan masih belum bercerai secara sah dengan suami pertamanya.

“Kami hanya sempat bersama seminggu sebelum rahsia statusnya yang belum bercerai secara sah dengan suaminya sebelum ini, terbongkar.

“Saya suruh dia fasak dengan suami pertamanya dahulu, sebab saya rasa pernikahan kami di Siam tak sah kerana dia bohong tentang statusnya,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman