Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
31/01/2015
BILA menyebut tentang janda, pasti ramai yang mengaitkan golongan ini dengan wanita berumur, sudah bercerai atau kematian suami, berpenampilan menarik, dan memiliki ekonomi yang stabil.
Namun hakikatnya, di zaman kecanggihan dan perkembangan teknologi pada masa kini, gelaran janda tidak terhad kepada golongan berusia sahaja kerana terdapat wanita muda sudah menjanda akibat perceraian ekoran kegagalan rumah tangga.
Hasil tinjauan .com mendapati wanita muda bergelar janda adalah mereka yang berumur antara 16 sehingga 33 tahun. Kebanyakan daripada mereka juga mempunyai kerjaya tetap, perniagaan sendiri dan cahaya mata, hasil perkongsian hidup dengan bekas suami.
Bukan mudah menjalani hidup sebagai seorang janda muda. Hal itu kerana golongan tersebut sering menjadi sasaran tanggapan negatif masyarakat yang memandang serong dan mengaitkan mereka dengan gejala tidak sihat dan keruntuhan moral.
Tambahan pula jika keadaan di mana seorang janda muda itu memiliki raut wajah cantik, bentuk badan menarik, berpenampilan seksi, dan berperwatakan menonjol, sudah cukup dijadikan bahan sesetengah pihak untuk mengeji golongan janda itu.
Selain itu, tidak seperti wanita lebih berusia, segelintir janda muda ada kalanya kurang matang dan belum bersedia menjalani hidup sebagai ibu tunggal. Oleh itu, mereka kadangkala mudah terpengaruh dengan anasir-anasir perosak dan salah haluan hidup.
Kadangkala, perkara negatif yang dikaitkan dengan janda muda hanya sekadar perspektif segelintir masyarakat yang tidak memahami dan mengenali mereka.
Pada masa kini, kebanyakan remaja berstatus janda memiliki latar belakang pendidikan yang baik, berkerjaya dan mampu berdikari membesarkan anak-anak sendirian.
Minggu ini .com berpeluang menyelami isi hati dan perjalanan hidup empat orang janda muda. Dengan perkongsian ini diharapkan pembaca dapat memperoleh sisi pandangan jelas dan benar berkaitan janda muda. – Al Faizal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan