Tarikh : 01/02/2015
“SAYA bersetuju sangat dengan usul penulis minggu lalu yang mencadangkan supaya Mahkamah Syariah membuat peraturan iaitu, apabila seseorang suami itu sah menceraikan isterinya, maka gajinya hendaklah dipotong oleh majikan untuk diberikan kepada bekas isterinya sebagai nafkah anak-anak. Jika si isteri tidak setuju dengan jumlah yang diputuskan oleh hakim dia boleh tuntut ke mahkamah kemudian. Jangan tunggu bekas isteri buat tuntutan kerana proses itu memakan masa bertahun-tahun, jadi sementara waktu anak nak makan apa?
“Sebagai tambahan sekiranya si lelaki itu tidak bekerja tetap maka adik-beradik lelaki itu termasuk ibu bapanya hendaklah diberitahu supaya mereka wajib memberi nafkah kepada anak-anak saudara dan cucu-cucunya. Kerana itu menjadi tanggungjawab mereka menurut Islam. Bukan tanggungjawab isteri dan keluarganya.’’ Itu tegas Norelyna dalam e-melnya.
“Saya cukup hairan mengapa kaum lelaki liat nak bagi nafkah anak-anak selepas bercerai. Tetapi peliknya bila bab pemberian harta pusaka ditakdirkan si lelaki itu mati dan dia ada tinggalkan harta, seperti rumah, duit insurans, duit KWSP dan sebagainya, maka si ibu serta adik-beradik si lelaki yang mati tadi berebut hendakkan bahagian mereka. Tetapi bila bab menjaga anak-anak saudara yang ditinggalkan mereka menyerahkan bulat-bulat kepada si balu.
“Di mana silapnya? Pada pandangan saya, isu ini berbalik kepada pejabat agama sendiri, kadi yang menikahkan dan mereka yang mengendalikan kursus-kursus perkahwinan. Sebagai contoh, cuba dengar ucapan kadi di majlis pernikahan, tak pernah sebutkan isu nafkah jika berlaku perceraian, semua cerita pasal layanan isteri pada suami dan suami kepada isteri dan tentang isu dalam kelambu sahaja. Bab tanggungjawab kalau cakap pun amat pendek.