Khamis, 1 November 2012

Nafkah jamin keluarga sejahtera

Sumber : Utusan Malaysia
ARKIB : 31/10/2012

SUDAH beberapa minggu saya menulis mengenai perceraian dan pasti bukanlah suatu penulisan yang boleh menyelesaikan semua masalah. Perkahwinan adalah jalinan hubungan dua insan dan keluarga masing-masing. Jalinan hubungan antara dua insan yang merangkumi hubungan lahiriah dan batiniah.

Saya akan terus menulis mengenai perceraian dan akan dibincang dari semasa ke semasa terutama bagi tujuan menjawab persoalan yang diutarakan oleh pembaca.

Masalah perkahwinan tidak ada hujungnya selagi manusia bernyawa dan berkahwin. Kali ini saya menulis mengenai nafkah isteri dan anak.

Apakah yang dimaksudkan dengan nafkah? Perkataan nafkah adalah perkataan Arab berasal dari perkataan infak bermaksud mengeluarkan. Dari segi bahasa bermaksud apa yang dikeluarkan oleh seseorang itu ke atas ahli keluarganya.

Nafkah bermaksud tanggungan perbelanjaan untuk menyara kehidupan ahli keluarga daripada makanan, pakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan yang lain.



Pada 'urfnya atau adatnya nafkah yang dimaksudkan ialah makanan yang merangkumi roti atau makanan asasi seperti beras, jika di Malaysia dan apa yang dimakan dengannya.

Nafkah termasuk pakaian iaitu pakaian yang penutup badan dan kain selimut.

Tempat tinggal pula merangkumi rumah, kelengkapan rumah dan keperluan sampingan seperti bil air, elektrik, alat pembersihan dan sebagainya mengikut keperluan harian.

Beberapa fuqaha kontemporari memberi tambahan kepada skop nafkah termasuklah khidmat atau apa yang perlu mengikut 'urf atau adat sesuatu masyarakat.

Fuqaha Shafi'i mengkategorikan nafkah kepada dua iaitu nafkah yang wajib ke atas diri sendiri dan nafkah yang wajib dibelanjakan untuk orang lain.

Seseorang itu wajib memberi nafkah kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi nafkah kepada orang lain.

Ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mulakan dengan dirimu, kemudian mereka yang wajib ke atasmu membiayai nafkah."

Nafkah yang wajib ke atas orang lain adalah berdasarkan kepada tiga sebab perkahwinan, hubungan kerabat dan pemilikan.

Perkahwinan merujuk kepada nafkah kepada isteri. Nafkah kerana hubungan kerabat adalah nafkah kepada orang yang mempunyai tali persaudaraan dengan kita termasuklah ibu bapa ke atas, anak-anak ke bawah, adik-beradik dan sebagainya.

Nafkah diwajibkan melalui al-Quran dalam surah al-Talaq:7 yang bermaksud: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya, Allah SWT tidak memberatkan seseorang melainkan yang diberikan Allah kepadanya...
Rujuk juga surah al-Baqarah ayat 233 dan surah al-Talaq ayat 6.

Dalam sebuah hadis tentang Hindun yang mana dia telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang bakhil. Dia tidak membiayai nafkah saya dan anak saya dengan mencukupi."

Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Ambillah hartanya sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan sepatutnya.

Hadis di atas menunjukkan kewajipan membiayai nafkah isteri adalah mutlak dan dinilai dengan kecukupannya.

Isteri boleh mengambil sendiri nafkahnya tanpa diketahui suami jika suami tidak memberi ataupun memberi tetapi tidak mencukupi.

Ayat-ayat al-Quran dan hadis menunjukkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri oleh suami. Ini diperkuatkan oleh enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri.

Tetapi di Malaysia hari ini kewajipan memberi nafkah oleh suami kepada isterinya tidak dipandang serius oleh masyarakat Islam, di mana banyak isteri yang bekerja 'menanggung' suami dan keluarga.

Ketidakfahaman tentang hukum nafkah menyebabkan ramai suami mengabaikan tanggungjawab masing-masing sehingga isteri terpaksa bekerja yang menyebabkan dia mengabai tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

Ada isteri yang terpaksa 'turun naik' mahkamah syariah kerana suami gagal membayar nafkah kepadanya semasa mereka masih berkahwin.

Suami juga sering menggunakan kuasa mengenai nafkah untuk menyiksa isteri sedangkan itu adalah wajib. Dibuat dapat pahala, ditinggal atau abai menjadi dosa.

Nafkah tertunggak adalah hutang yang boleh dituntut daripada waris jika suami telah meninggal dunia. Nafkah sangat penting dalam kehidupan keluarga dan ia menjamin kesejahteraan keluarga.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman