Khamis, 9 Ogos 2012

Cerai taklik

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 08/08/2012

JIKA dua minggu lalu saya menulis mengenai permohonan cerai melalui talak, kali ini saya akan menyambung perbincangan mengenai cerai dengan melihat satu lagi seksyen dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 iaitu cerai taklik. Sebenarnya cerai taklik ini ialah cerai melalui talak juga tetapi bersyarat.

Ini bermakna talak ada tiga jenis iaitu talak segera, bersyarat dan bersandar masa depan. Talak segera adalah seperti yang telah saya terangkan dua minggu lalu di mana di Malaysia ia kini perlu dipohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapat kebenaran mentalak. Talak segera boleh berlaku jika suami menyebut 'aku talak kamu' atau 'kamu tertalak' dan sebagainya.

Bagi yang bersandarkan masa depan pula, ia adalah talak yang disebut untuk berlaku esok lusa atau sebulan dua lagi. Misalnya, suami menyebut 'engkau aku talak esok' atau "Oktober ini engkau tertalak". Dari sudut hukum, talak seperti ini sah dan berkuatkuasa mengikut masa yang disebutkan. Talak seperti ini jarang kita dengar di kalangan masyarakat Melayu-Islam Malaysia.

Yang ada di Malaysia ialah talak taklik atau talak bersyarat. Ini berlaku apabila suami melafazkan talak yang bergantung kepada berlakunya sesuatu perkara dan sebaik sahaja syarat itu berlaku, maka talakpun jatuh. Misalnya suami berkata 'jika awak pergi melawat ibu awak, maka kamu tertalak' atau 'apabila kamu hadir ceramah itu, kamu tertalak' atau 'jka saya pergi juga jumpa perempuan itu'. Semua ini adalah contoh talak taklik. Talak dijatuhkan atas syarat dan sebaik sahaja syarat yang disebut itu berlaku, maka talak pun jatuh.



Hari ini talak taklik, cerai taklik diperuntukan dalam enakmen keluarga Islam setiap negeri. Sebagai contoh di Negeri Melaka ia diperuntukan dalam seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, Melaka 2002 yang berbunyi: "Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian sedemikian telah berlaku."

Mahkamah pula hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu siasatan mengenai sahnya perceraian itu dan hendaklah, jika puas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syara, mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Jika kita ingatkan majlis pernikahan yang diadakan sekarang, sebaik sahaja suami menerima nikahnya daripada wali atau wakil wali, imam akan membacakan doa kesyukuran. Selesai doa, imam akan meminta pengantin lelaki membaca taklik dan didengar oleh pengantin perempuan dan disaksikan oleh semua orang.

Antara lain isi kandungan taklik ialah jika suami meninggalkan isterinya empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir dan batin atau jika suami lazim menyakiti isterinya dan jika dalam mana-mana keadaan isteri tadi membuat aduan ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah mengesahkan aduan tersebut, maka isteri tertalak dengan talak satu.

Selepas membaca, kedua pasangan pengantin yang telah sah menjadi suami isteri menandatangani surat taklik tersebut. Taklik diletakkan di belakang surat nikah supaya pasangan tahu bahawa lafaz taklik itu termaktub secara bertulis supaya mereka tidak terlupa.

Ini kerana taklik akan menjadi sah dengan berlakunya keadaan yang disebutkan dan isteri membuat aduan.

Taklik formal ini diwujudkan di semua negeri. Jika diamati, tujuan utama ialah untuk mengelak isteri daripada digantung tak bertali atau ditinggal langsung.

Dahulu kita biasa dengar suami meninggalkan isterinya tanpa sebab dan khabar berita. Isteri tidak membuat aduan kepada sesiapa, malah meneruskan kehidupan bersama anak dengan tabah. Ada masanya sehingga meninggal dunia, isteri tidak pernah meminta cerai dan berdosanya seorang suami yang menyiksa isterinya sebegitu rupa.

Rujuk surah an-Nisa ayat 19 dan al-Talaq ayat 1, jika diamati kedua-dua ayat Quran ini, suami yang diberi kuasa talak hendaklah menggunakannya dengan tanggungjawab dan kebijaksanaan. Meninggalkan isteri begitu sahaja tanpa nafkah sedangkan nafkah isteri itu wajib ke atas suami, tentulah suami menanggung dosa di atas kesengsaraan isteri dan anak-anak.

Daripada mengumpul dosa tanpa sedar, alangkah baiknya suami menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan menghadapinya, sama ada dengan ke mahkamah syariah atau mencari pendamai atau kaunselor yang boleh memperbaiki keadaan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman