Selasa, 21 Februari 2012

Melepaskan anjing tersepit

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19/02/2012

SAYA sering mendengar keluhan isteri yang digantung tak bertali oleh suami kerana dendam dan pelbagai masalah lain. Mungkin ada kebenarannya tetapi ada juga kes suami enggan ceraikan isteri kerana kerenah dan kelakuan si isteri itu sendiri yang menyebabkan suami bertindak kejam.

''Macam kes saya. Empat sebab utama saya enggan ceraikan isteri pada awalnya, pertama kerana dia ambil kesempatan atas kebaikan saya, kedua, sikapnya kurang ajar suka mendera dan memukul saya, ketiga, dia biadab terhadap ibu saya dan keempat, sikap ibu serta neneknya seperti 'melepaskan anjing tersepit'. Selesai masalahnya saya dibuang macam sampah," ujar Izam ketika kami berbual panjang baru-baru ini.

''Mungkin saya berdendam tetapi kena lihat sebabnya. Saya kenal Zuriati (Zu) kerana saya sering beli makanan di gerai emaknya. Dulu emaknya berniaga. Dia nampak pendiam tetapi dalam diam dia minta tolong saya carikan dia kerja kerana tak tahan tinggal di rumah katanya. Dia mahu keluar rumah dan berdikari.

''Satu hari dia telefon saya katanya dia dah pindah ke rumah saudaranya dan bekerja di kedai menjual telefon. Katanya dia pulang rumah emaknya sekali sekala. Masa berlalu dan persahabatan kami berterusan. Satu hari dia menangis katanya dia tak datang haid. Dia panik dan takut. Saya lagi panik sebab saya tak pernah sentuh dia pun. Kami cuma berkawan saja.



''Dalam ketakutan Zu ajak saya temankan dia balik kampung jumpa nenek. Apabila berita buruk itu disampaikan, neneknya minta tolong saya jadi pak sanggup. Nak tutup malu keluarga katanya. Ketika itu saya memang bodoh, maklum umur baru 21 tahun. Saya kesiankan Zu dan neneknya yang tersepit. Tapi saya mohon tanya emak saya dulu, saya tak boleh buat keputusan segera.

''Kerana tak yakin cucunya hamil, nenek suruh saya bawa Zu jumpa tiga orang doktor yang berlainan untuk dapatkan kepastian. Keputusan semua doktor yang ditemui positif Zu mengandung. Neneknya minta digugurkan, tetapi doktor tak sanggup.

''Apabila berita itu disampaikan kepada emaknya. Berlaku perbalahan. Emaknya tak mahu saya kahwin dengan Zu, katanya gaji saya kecil nak makan pasir ke? Tetapi bila neneknya beritahu Zu hamil telah membuat rumah keluarga Zu kelam kabut.

''Saya dengar cerita dari Zu, emaknya bergaduh dengan bapa tirinya lantas suruh suaminya keluar rumah. Selepas itu baru emak Zu berubah hati dan sepakat dengan nenek Zu suruh saya masuk meminang dan segera berkahwin. Keputusan yang mengejutkan saya.

''Apabila saya minta emak masuk meminang Zu, emak saya lebih terkejut, katanya gaji saya kecil macam mana nak bagi makan anak orang. emak Zu minta hantaran RM6,000. Tetapi demi anak, emak saya ikutkan permintaan emak Zu. Peristiwa itu berlaku dalam tempoh sebulan. Emak terus berunding dengan keluarga Zu. Emak fikir Zu anak dara.

''Nak jadikan cerita, bila tarikh perkahwinan kami semakin hampir, tiba-tiba Zu tak mahu kahwin, neneknya pula kata gaji saya kecil. Terkejut saya. Sedangkan dulu dia suruh kami cepat kahwin nak tutup malu keluarga.

''Rupa-rupanya Zu beritahu dia dah datang haid mungkin juga keguguran. Jadi katanya kami tak perlu kahwin. Ketika itu persiapan perkahwinan emak saya dah buat. Kad jemputan dah dihantar. Oleh kerana tak mahu emak susah hati saya paksa keluarga Zu teruskan.

Terkejut beruk

''Oleh kerana beban Zu mengandung dah terlepas, mereka buat pelbagai kerenah menolak saya hinggakan pada majlis kahwin mereka langsung tak layan kehadiran rombongan keluarga saya. Sementara majlis sambut menantu cuma tiga orang ahli rombongan keluarga Zu datang, emak, adik dan seorang jirannya. Terkejut beruk kami.

''Lepas kahwin lebih teruk, Zu macam orang sasau. Saya serba salah. Tidur di rumah emaknya Zu suruh saya tidur di lantai. Apabila saya balik rumah emak, dia mengamuk. Duduk rumahnya emaknya minta RM400 sebulan sedangkan gaji saya kecil. Kami cuma tidur makan minum di luar. Jadi emaknya suruh Zu bekerja supaya dia boleh dapat duit.

''Oleh kerana sering bergaduh pasal duit, saya ajak Zu pindah rumah. Zu memang suka sebab nak bebas. Sepanjang setahun berkahwin memang hidup saya tak tenang. Tapi kerana sabar saya dapat pujuk Zu berdamai seketika.

''Tak lama kemudian Zu hamil dan kami dapat anak. Tetapi sekali lagi emak Zu buat hal berebut nak jaga cucu tetapi dia tetapkan upah RM300 sebulan. Sedangkan kalau emak saya jaga, kami cuma perlu sediakan susu dan makanan ringan sahaja. Emak tak minta upah. Emak ikhlas kerana tau kami susah. Tapi Zu pula mengamuk dan minta cerai.

''Satu hari nak jadikan cerita ketika Zu dalam pantang, saya terdengar Zu dan emaknya berbual. Emak Zu tanya apakah benar bapa tiri Zu pernah rogol Zu. Tetapi cerita mereka terhenti bila saya masuk. Bila saya tanya, mak Zu kata baru-baru ni bapa tiri Zu cuba nak rogol Zu tapi emak Zu tersedar. Zu cerita ketika itu dia pengsan macam tak sedar. Saya dapat gambaran perangai bapa tiri Zu memang tak elok. Selepas itu sekali lagi emak Zu bergaduh dan menghalau suaminya.

''Tapi peliknya perangai mereka suami isteri memang suka bergaduh dan suka menghalau, tapi hanya seketika lepas itu berbaik semula. Emaknya terpaksa bersabar sebab mereka ada anak kecil. Sapa nak tanggung kalau bercerai. Emaknya tak berniaga lagi.

''Ada jiran bercerita nampak bapa tiri Zu pegang badan Zu yang baru keluar bilik air. Cerita ini terbongkar selepas Zu keluar tinggalkan rumah kami. Ada juga kata bapa tiri Zu kaki mengintai perempuan mandi dan macam-macamk lagi, tapi saya tak ada bukti.

''Ketika sebumbung, perangai Zu memang liar pantang ditegur. Dia menengking dan suka balik lewat malam malah pernah beberapa hari tak balik rumah. Apabila saya marah, dia bukan saja melawan malah minta cerai. Pendek kata bab minta cerai memang sentiasa bermain di bibirnya. Lagi kita marah, lagi dia melawan balik lewat malam. Tiap kali bergaduh, dia suka pukul saya dan baling barang. Bukan saya pukul dia. Malah dia pernah ketuk kepala saya dengan tukul hingga saya terpaksa jumpa doktor dan buat laporan polis. Lepas itu Zu buat baik tapi cuma sementara.

''Rupa-rupanya dalam diam Zu ada kekasih sebab itu dia minta cerai. Perubahan paling ketara dia sering menolak adakan hubungan kelamin. Dia pernah cakar dan pukul saya apabila saya cuba pegang badannya. Dia bencikan saya.

''Sebenarnya sejak terbukti dia tak mengandung, dia tak mahu kahwin dengan saya. Setelah kahwin dia sering minta cerai. Alasannya gaji saya kecil. Saya terpaksa cari kerja lain untuk tambah pendapatan namun dia masih minta cerai. Saya sabar kerana anak.

''Oleh kerana saya tak ceraikan dia setelah empat tahun berkahwin, hujung tahun lepas dia fail cerai di Mahkamah Syariah. Alasannya kami tak sehaluan. Mahkamah Syariah putuskan dia terpaksa tunggu bersih tiga kali haid, lepas itu baru kembali ke mahkamah.

''Tetapi Zu kelentong hakim, katanya dia tak hamil kerana setengah tahun tak ada hubungan kelamin dengan saya. Dia minta cerai hari itu juga. Permintaannya ditolak dan mahkamah arahkan dia datang pada hari ditetapkan untuk keputusan.

''Kini setelah puas bersabar saya akan turutkan kehendaknya, jika itu yang jadi pilihannya. Saya tak mahu pujuk lagi. Kalau dia baik pun hanya sementara. Lagipun dia memang tak sukakan emak saya, walaupun emak saya jaga anak kami tanpa bayaran sesen pun, bukan seperti emaknya yang sentiasa minta duit.

''Emak Zu pernah minta jaga anak saya, tapi dia ada kerja sambilan. Zu pulak lebih suka enjoy. Sebab itu dia tinggalkan saya dan anak kecil kami. Saya juga tak percayakan keselamatan anak perempuan saya tinggal di rumah bapa tiri Zu," ujar Izam panjang lebar. Saya percaya tentu pembaca faham apa maksud Izam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman