Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16 April 2016
Macam-macam cerita tentang rumah tangga yang kita dengar setiap hari. Kebanyakannya meletihkan dan tidak dapat membantu mempertahankan rumah tangga.
Masalah orang ketiga, krisis dengan mentua, kemiskinan dan masalah dadah menjadi punca rumah tangga tergugat dan tidak dapat diselamatkan sehingga membawa kepada perceraian.
Oleh yang demikian amatlah wajar setiap pasangan meletakkan kepercayaan dan saling hormat menghormati sebagai asas penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.
Dalam hubungan ini, asas agama menjadi tiang kepada keyakinan dan kemantapan rohani dan jasmani dalam mengharungi hidup sebagai suami isteri. Tanpa asas agama, hidup akan menjadi porak peranda dan tidak aman.
Ini sebahagian daripada cebisan kisah yang dipilih minggu ini. Kisah dan luahan hati seorang isteri yang menderita zahir dan batin akibat perbuatan suami yang menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ dalam rumah tangga.
Kita ikuti cerita Shira (bukan nama sebenar) mengenai rumah tangganya yang seperti berada di hujung tanduk. Diluah mati mak, ditelan mati bapak, semuanya kerana anak.
Ini cerita Shira.
“Saya berusia awal 30-an, bersuamikan seorang lelaki yang playboy dan dikurniakan dua orang anak berusia 13 dan 10 tahun. Kami bernikah atas dasar cinta sama cinta semasa masih di kolej.
“Semua nampak elok setelah kami berkahwin, suami seorang yang penyayang dan prihatin dengan saya dan rumah tangga kami, tambahan pula semasa saya mengandung dan melahirkan anak sulung kami.
“Kasih sayangnya terhadap saya dan anak kami menyerlah, apa sahaja permintaan saya dia turutkan, begitu juga dengan anak kami. Kami selalu bercuti ke luar negara dan di dalam negara. Saya sangat bahagia.
“Namun panas tidak sampai ke petang seperti yang saya harapkan. Apabila saya mengandung anak kedua, suami mula berubah. Dia membenci saya, apa yang saya buat semua tidak kena di hatinya.