Tarikh : 12/11/2014
Pengurusan harta pusaka penting kerana ia berkait rapat dengan keamanan di alam barzakh
FITRAH manusia memang hidup suka kepada harta benda dan kekayaan. Semua orang teringin hidup senang dan atas keinginan itu, manusia bekerja keras demi mencapai cita-cita. Daripada kesusahan kepada kesenangan dan daripada tanpa harta, kepada harta melimpah-ruah.
Manusia biasanya apabila dalam kesusahan mereka lebih taat kepada Allah SWT. Sering berdoa dan memohon kepada-Nya untuk suatu kehidupan yang lebih baik.
Namun, apabila menjadi senang, manusia cuai akan tanggungjawab kepada Allah SWT yang telah memberi rezeki dan kesenangan itu. Manusia juga sering dihasut syaitan supaya terus mengumpul harta sehingga menjadi tamak dan lupa bahawa semua harta di dunia adalah milik-Nya.
Apabila seorang manusia meninggal dunia, semua harta akan ditinggalkan termasuk anak-anak dan isteri. Tiada apa yang dibawa ke liang lahat kecuali amalan baik serta doa anak soleh.
Persoalannya adakah ketika kita meninggalkan dunia ini, kita telah ada anak yang soleh yang boleh memandikan jenazah, mengkafankan, menyembahyang dan akhirnya mengebumikan kita? Adakah anak kita akan mendoakan kita setiap kali selepas solat tanpa henti? Adakah anak kita akan memberi sedekah atas nama kita daripada harta yang kita kumpul bertahun lama itu?
Beruntunglah seorang manusia jika kematiannya bukan sahaja ditangisi tetapi diiringi doa ikhlas anak-anak cucu-cicit supaya rohnya dirahmati Allah SWT dan dia ditempatkan daripada kalangan orang soleh dan solehah.
Membuat wasiat
Namun realitinya, apabila seorang ibu atau bapa meninggal dunia, biasanya dia meninggalkan harta benda yang akan diwarisi oleh isteri atau suami serta anak-anak.