Isnin, 15 Februari 2016

Suami sekarang tak sama suami zaman dahulu

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 31 Januari 2016

“SEMASA arwah emak saya masih hidup dulu, seminggu emak berkurung tak mahu keluar, alasannya, dia malu sebab anak sulungnya, kakak saya jadi janda. Kata emak tak ada dalam keturunannya terutama adik-beradiknya jadi janda, tetapi kakak pecah tradisi. Ini amat memalukan keluarga.

“Kerana malu dan kecewa emak tak mahu jumpa kakak. Kakak dibiarkan hidup sendirian tanggung tiga orang anak yang masih kecil. Kakak banting tulang mengurus hidup anak-anaknya, hantar sekolah, malam hantar tuisyen dan menyiapkan makan minum.

“Oleh kerana gaji kakak kecil mereka terpaksa pindah duduk rumah setinggan supaya dengan gaji kakak, dia mampu tanggung anak-anaknya.” Itu cerita Mastura dalam e-melnya.

“Saya kesiankan kakak tetapi apa boleh saya lakukan, ketika itu masih belajar lagi. Bila masuk kolej saya pindah ke bandar. Ketika itu dapat jumpa kakak. Walaupun sebelum itu emak dah beri amaran jangan pedulikan kakak. Itu balasan orang yang tak tahu diuntung.

“Kerana takutkan emak. Memang awalnya saya tak jumpa kakak. Saya hanya telefon. Akhirnya saya beranikan diri cari rumah kakak. Kesian. Sedih dengar cerita kakak. Kata kakak, sejak kahwin hidupnya tak pernah aman, sentiasa takutkan suaminya Imran sebab dia kaki pukul dan selalu suruh kakak pinjam duit untuk dia berjudi.

“Kalau kakak tak beri akibatnya kena marah, nasib tak baik kena pelempang. Tapi kakak sabar. Rumah sewa sentiasa berpindah sebab tak mampu bayar sewa. Kata kakak dia berhutang dengan koperasi untuk tutup hutang dengan kawan-kawan yang sudah terlalu banyak. Kerana tak tahan, akhirnya kakak mengadu pada ketua pejabat suaminya.

“Tujuan kakak supaya ketua pejabat boleh nasihatkan Imran. Tetapi bila balik kakak kena penangan lebih teruk. Imran tuduh kakak sengaja nak jatuhkan maruah suami sebab menceritakan masalah rumah tangga kepada orang luar. Islam tak suruh isteri buka aib suami. Masalahnya kakak dah tak ada tempat nak mengadu. Kakak tak berani jumpa emak. Sebab akhirnya bukan Imran yang salah, kakak akan dipersalahkan.

“Dari situ akhirnya berlakulah titik-titik hitam dalam hidup kakak bila dia dicap sebagai isteri durhaka. Dan lebih teruk Imran mencanangkan keburukan kakak kepada orang lain, dan kawan kakak di tempat kerjanya.

Ahad, 14 Februari 2016

Menentukan status agama Islam atau kafir

Bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah


Oleh : NORLIZAH ABAS
Sumber : UTUsan malaysia
tarikh : 06 Januari 2016

PUTRAJAYA 5 Jan. - Mahkamah Rayuan berpendapat, keputusan bagi menentukan dan mengisytiharkan sama ada seseorang individu itu Islam atau kafir merupakan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
Balia Yusof Wahi
Balia Yusof Wahi
Ini bermakna, hanya Mahkamah Syariah berhak mendengar dan menentukan isu berhubung penukaran agama kerana perkara keagamaan bukan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Demikian alasan penghakiman Mahkamah Rayuan ketika memutuskan bahawa kesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lalu, hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Keputusan majoriti 2-1 itu dicapai oleh panel tiga hakim pada 30 Disember lalu ketika membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd. Ridhuan Abdullah serta empat yang lain. Penghakiman bertulis rayuan itu diperoleh pihak media hari ini.

Mereka merayu untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu, Tevi Darsiny, 18, Karan Dinish, 17, dan Prasana Diksa, 7, yang dimohon oleh ibu mereka, M. Indira Gandhi.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel bersidang membenarkan rayuan itu bersama Hakim Datuk Dr. Badariah Sahamid manakala Hakim Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer mencapai keputusan menentang.

Hakim Balia dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, penentuan bagi kesahan penukaran agama kepada Islam merupakan isu agama sepenuhnya dan tidak boleh dikemukakan di hadapan mahkamah sivil.

Kasih suami kerana jodoh, kasih ibu sampai mati

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 07/02/2016

kasih
“SAYA rasa mungkin ramai isteri menghadapi masalah seperti saya, iaitu berbelah kasih antara ibu dan suami. Bak kata orang tua-tua, di telan mati emak, diluahkan mati bapak. Itulah masalah besar saya. Ingkar cakap suami berdosa, tak dengar nasihat ibu pun berdosa. Jadi jika anda hadapi masalah seperti saya, apa yang anda lakukan?

“Kerana kita diingatkan jika engkar cakap suami tak cium bau syurga. Maka kita ketepikan ibu kita, ibu yang bersusah payah melahirkan dan besarkan kita. Sedangkan Nabi Muhamad SAW pernah bersabda, sebagai anak kita mesti dengar cakap ibu. Kerana syurga di bawah tapak kaki ibu?” Itu cerita Norjehan dalam e-melnya.

“Setelah saya fikirkan dan semakin saya amati, nasib wanita memang sulit. Cakap suami tak boleh dibantah, sedangkan kita ada ibu mesti dihormati. Pernah saya beritahu pada suami, bahawa saya juga mesti dengar cakap ibu. Tetapi kata Ikram, suami saya, apabila seorang wanita itu berkahwin, maka terputus hubungannya dengan ibunya. Dan dia mesti dengar cakap suami. Bukan ibunya lagi.

“Sebenarnya masalah yang saya lalui ini sudah lapan tahun berlaku. Saya abdikan diri seratus peratus kepada suami. Sebab sejak mula kahwin, malah sedang bercinta, saya diberitahu saya mesti hormat dan ikut perintah suami. Melihatkan bakal suami ketika itu elok perangai, ada didikan agama dan elok kelakuannya, maka saya ikut. Lagipun bila bercakap bab agama memang dia pandai, jadi saya fikir betullah. Maka setiap katanya menjadi pegangan setelah kahwin. Tetapi sebelum berkahwin, emak nasihatkan saya, bila saya habis belajar, sudah bekerja maka saya hendaklah bantu emak ringankan bebannya kerana di bawah saya ada tiga orang adik yang masih belajar. Saya belajar sampai IPTA maka emak harap saya membantunya.

“Masa belajar memang emak bantu, sebab abang tak belajar tinggi habis SPM abang tak layak naik tingkatan enam dan emak tak mampu hantar abang belajar tempat lain, dan peluang belajar ketika itu tidaklah macam sekarang, banyak kolej swasta dan ada bantuan PTPTN. Jadi abang bekerja di bengkel membaiki motor. Pendapatannya kata emak asalkan cukup makan pakai sudah memadai, asalkan abang tidak menyusahkan emak minta duit setiap hari. Jadi harapan emak banyak bertumpu pada saya.

“Emak bekerja di hospital bukan jadi doktor atau jururawat, tetapi bertaraf kuli saja. Jadi untuk cukupkan belanja membesarkan kami lima beradik yang masih bersekolah emak terpaksa jual kuih dan buat nasi lemak bungkus, yang emak letak di gerai-gerai dekat hospital. Kami adik-beradiklah bantu emak. Masa ayah ada dulu, bebanan emak ringan jugak, ayah bawa teksi tauke, walaupun pendapatan kecil tapi emak dapat simpan duit untuk belanja sekolah kami. Ayah juga bantu letak nasi lemak di tempat ayah bekerja, dekat stesen bas.

“Tetapi bila ayah meninggal dunia lebih 12 tahun lalu hidup kami agak tersepit sikit, sebab emak seorang bekerja. Ketika itulah emak banyak nasihatkan kami supaya rajin belajar kerana hanya dengan pelajaran boleh mengubah hidup kami. Agaknya kerana nasihat dan kesedaran yang emak berikan itulah saya dan adik-adik berjaya dalam pelajaran.

“Malangnya, nasihat emak tak banyak tertanam dalam kepala saya, masa belajar dah jumpa pakwe, dah mula bercinta, saya jadi terlupa dengan nasihat emak. Malah saya jadi taksub dengan nasihat kekasih dan kemudiannya menjadi suami. Tak sampai enam bulan bekerja, saya dah heboh nak kahwin. Mak suruh saya sabar dulu, sebab nak kumpul duit belanja kahwin. Tetapi saya ketika itu macam tak sempat-sempat nak kahwin. Kata Ikram dia hantar belanja RM5,000 bolehlah buat belanja kahwin nanti. Saya pun fikir duit RM5,000 itu besar sangat. Tapi kata emak tak cukup.

Sabtu, 13 Februari 2016

Islam tegah hubungan intim ganas

Mukmin terbaik ialah yang paling baik terhadap isteri 

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28 Januari 2016

KES seorang isteri mengerat kemaluan suaminya baru-baru ini sesuatu yang cukup tragis. Masyarakat bersimpati dengan keadaan yang berlaku, apa tidaknya, kecederaan suami melibatkan anggota paling berharga pada dirinya sebagai seorang lelaki!

Namun, masyarakat harus menilai kes ini secara adil sekalipun perbuatan si isteri itu salah dari segi undang-undang. Mungkin ada cerita sebaliknya dan hal ini tidak boleh dinafikan kerana kes seumpama ini memang berlaku dalam masyarakat. Antaranya kes yang diterima oleh Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang menceritakan begini ....

Malam itu, Haidar tidak keruan. Panggilan telefon yang diterima daripada suaminya sebentar tadi membuatkan hatinya berdebar-debar. “Aku tahu, bila aku balik, kau dah siap!”. Kata-kata itu membimbangkannya. Apa lagi yang hendak dilakukan oleh suaminya ke atasnya malam ini.

Suami terkena sihir guna-guna

Diceraikan angkara orang ketiga

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 03 Februari 2016

.
Sudah tiga bulan semenjak berlangsungnya majlis persandingan Dhiya (bukan nama sebenar), 35, di sebuah taman perumahan di Ipoh, Perak. Entah macam mana pertemuan berlangsung semula dalam suasana yang tidak terduga di sebuah kompleks membeli-belah ketika berkunjung di situ kerana tugasan luar.

Pertemuan yang pada mulanya berlangsung dalam keadaan ceria bertukar suasana sebaik Dhiya ditanyakan perkhabarannya setelah berkahwin. Bagi yang bergelar pengantin baharu, pertanyaan seperti itu akan menjadikan perbualan lebih seronok memandangkan Dhiya baharu sahaja menerima pengalaman manis bergelar isteri.

Namun sebaliknya berlaku apabila dia hanya mendiamkan diri dan menundukkan wajah sebaik pertanyaan dilontarkan.

“Aku dah bercerai,” sepatah Dhiya menjawab menjadikan satu berita yang amat memeranjatkan.

Dhiya menambah dia hanya sempat bergelar isteri selama tiga hari sebelum diceraikan suami.

“Kau pun tahu, Khalid (bukan nama sebenar), bekas suami aku tu bukannya sukakan aku pun. Sebelum bernikah kami sebenarnya tidak pernah berkenalan. Hanya waktu nikah itu sahaja baharu aku melihat wajahnya. Selebihnya gambar dia sahaja aku ada.

“Kami bertunang pun tidak lama, hanya empat bulan sebelum bernikah,” kata Dhiya.

Demi masa depan saya minta cerai

Oleh : Normala Hamzah
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 02 Januari 2016

siapa yang tidak mahu bahagia apabila berumah tangga terutama setelah dikurniakan anak-anak yang comel dan manja tetapi ketentuan Allah harus diterima dengan reda.

Bukan niat mengaibkan sesiapa tetapi sampai bila harus bertahan apabila suami yang diharap menjadi tempat bergantung hidup tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dan bergantung kepada ibu bapa untuk menyara anak isteri.

Mahu tidak mahu isteri terpaksa mencari jalan keluar dengan meminta cerai. Bukan tidak sayangkan suami tetapi mahu berdikari dan menyahut cabaran mentua yang tanpa suami dia tidak akan ke mana.

Inilah mukadimah kisah yang ingin saya kongsikan dengan pembaca minggu ini. Kisah yang sangat menarik untuk dijadikan teladan khasnya kepada para isteri yang bermasalah dengan suami.

Begini ceritanya seperti yang diceritakan kepada saya oleh Umi (bukan nama sebenar), ibu tunggal beranak empat yang kini berjuang untuk terus hidup tanpa suami dan anak-anak di sisi.

Kita ikuti kisah Umi.

“Saya berusia 32 tahun, bercerai setahun lalu setelah hampir 13 tahun hidup bersama suami yang dua tahun tua dari saya. Kami dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan berusia 12 hingga 7 tahun.

“Saya berkahwin di usia muda setelah setahun lebih berkenalan dengan suami. Dia anak orang berada, duit bukan masalah kepadanya. Saya pula bekerja di sebuah salon kecantikan dan sangat berminat dengan bidang tersebut.

“Bekas suami seorang yang sangat baik. Sayangnya dia tidak bekerja dan seorang penagih. Dia hanya mengharapkan duit orang tuanya untuk menyara kami anak beranak. Saya pula malu dengan keluarga kerana suami tidak bekerja.

“Walaupun anak orang kaya dan keluarganya mampu menjaga kami anak beranak tetapi saya malu dengan keluarga kerana suami tidak bekerja. Puas saya nasihat supaya mencari kerja, dia tetap tidak endahkan, malah memarahi saya kerana memaksanya bekerja.

“Pada masa yang sama saya risau dengan sikapnya yang tidak mahu berhenti mengambil dadah. Walaupun dia tidak melakukan apa apa yang memburukkan keadaan di dalam rumah, saya risau sebab anak-anak sedang membesar dan tahu apa yang bapa mereka buat.

Jumaat, 12 Februari 2016

Fasha, Jejai bercerai

Oleh : MARZITA ABDULLAH
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 21 Januari 2016


KUALA LUMPUR 20 Jan. - Perkahwinan pelakon Fasha Sandha dan suaminya Rizal Ashram Ramli yang turut dikenali sebagai Jejai berakhir di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini apabila pasangan tersebut keluar dari kamar hakim dengan air mata yang berlinangan selepas talak dilafazkan oleh Jejai.

Jejai, 40, terlebih dahulu keluar dari kamar hakim tersebut sambil mengesat air mata dan gagal mengawal perasaannya apabila kedengaran tangisan sedu-sedannya semasa melalui galeri awam, manakala Fasha Sandha, 32, keluar beberapa minit kemudian juga dengan esak tangisnya.

Jejai melafazkan talak satu terhadap Fasha Sandha di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab serta turut dihadiri peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Fasha Sandha selepas mereka berada di kamar hakim itu hampir sejam.

Permohonan cerai tersebut difailkan oleh Fasha Sandha atau nama sebenarnya Nur Fasha San­dha Hassan dua hari lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) 1984.

Penderaan isteri, anak: salah siapa?

Hampir 80 peratus melibatkan keluarga rapat

BERSAMA PROF. DATIN NOOR AZIAH MOHD. AWAL
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 04 Februari 2016


ORANG ramai perlu tampil melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya
ORANG ramai perlu tampil melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat tentang kes-kes penderaan yang berlaku dalam kawasan kejiranan. - GAMBAR HIASAN
PENDERAAN isteri dan anak sering menjadi tajuk hangat dalam akhbar dan media sosial. 

Baru-baru ini dalam perbincangan meja bulat anjuran Majlis Profesor Negara dan Kolej Universiti Islam Melaka, isu ini dibincangkan dengan tajuk “Penderaan: Siapa?”.

Apakah yang dimaksudkan dengan mendera? Mendera ialah semua jenis kezaliman, keganasan atau kesalahan sama ada fizikal, mental atau seksual atau apa-apa perbuatan curang. Penderaan berlaku kerana penyalahgunaan kuasa ke atas seseorang dengan niat mencederakan. Perbincangan bermula dengan statistik penderaan daripada polis yang mengakui bahawa jumlah kes semakin meningkat.

Polis mengakui bahawa hampir 80 peratus pendera adalah keluarga paling rapat dengan mangsa. Penderaan termasuk penderaan fizikal, mental (emosi) dan seksual. Mangsa penderaan dalam keluarga ini ialah isteri, kanak-kanak dan warga emas. Penderaan fizikal termasuk pukul, tumbuk, tikam, tendang, lempang, rotan dan apa-apa perbuatan yang mencederakan.

PERUNTUKAN 
UNDANG-UNDANG

Namun bukan semua kes penderaan yang dilaporkan diambil tindakan. Pihak polis biasanya menyiasat dahulu dengan memanggil pihak yang dikatakan mendera kerana tidak mahu mengambil tindakan berat sebelah dan dalam kebanyakan masa mangsa menarik balik laporan. Undang-undang juga diwujudkan bagi tujuan melindungi mangsa dan kes penderaan boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan Akta Kanak-kanak 2001.

Mahkamah tetapkan perbicaraan 
kes nafkah anak-anak Awie 3 Mac

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 03 Februari 2016

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Bekas isteri pelakon dan penyanyi rock popular Awie, Rozana Misbun membantah tuntutan balas penyanyi itu yang mahu nafkah bulanan sebanyak RM1,500 untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6, dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang bakal dibuka kelak.

Rozana, 38, mahu jumlah wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaunnya dengan alasan 
bagi memudahkan pengurusan kewangan dan perbelanjaan dilakukan.

Sementara itu, tuntutan Awie yang ingin menguruskan sendiri perbelanjaan persekolahan dan persiapan perayaan, Rozana selaku plaintif tidak membantah namun perlu ada kawalan daripada pihaknya sama ada diri sendiri atau ahli keluarga yang lain.

Bantahan berkenaan merupakan jawapan plaintif terhadap pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Awie atau Ahmad Azhar Othman, 48, yang telah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah pada 26 Januari lalu.

Hakim Syarie Che Saupi Che Husin kemudian menetapkan 3 Mac depan bagi prosiding perbicaraan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kes tersebut.

Marissa Yasmin dicerai talak satu

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 15 Januari 2016


SHAH ALAM 14 Jan. – Pelakon, Marissa Yasmin yang sah bercerai talak satu dengan suaminya, Muhzir Mohd. Zainuddin di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memohon agar diberi masa dan hak untuk mengulas isu perceraiannya itu.

Pelakon yang popular menerusi drama Memori Cinta Suraya itu berkata, keruntuhan rumah tangga mereka berdua memberi kesan yang besar terhadap dirinya jus­teru dia memohon ruang untuk berfikir agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Walau bagaimanapun Marissa Yasmin, 39, dan Muhzir, 50, yang ditemui pemberita secara berasi­ngan selepas prosiding perceraian itu, melahirkan rasa syukur kerana kes itu telah selesai.

Muhzir berkata, beliau merasa lega kes itu selesai setelah Marissa Yasmin tidak hadir pada sebutan kali pertama kes berkenaan pada 2 Disember lalu dan tidak berhubu­ngan sejak bulan Ramadan tahun lalu.

Marissa Yasmin pula memberi­tahu, kedua-dua pihak kini boleh membina hidup baharu dan membawa hala tuju kehidupan masing-masing.

Suami enggan cerai Zahnita, masih sayang

Oleh : MARZITA ABDULLAH
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 15 Januari 2016

SHAH ALAM 14 Jan. - Suami kepada model dan pelakon Zahnita Wilson enggan menceraikan wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini kerana masih mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.

Ahli perniagaan, Abd. Backery Ghouse Abd. Gafor, 38, memberitahu, beliau telah mendapatkan khidmat kaunseling dari jabatan agama Islam yang berdekatan dan pihak swasta bagi tujuan tersebut.

Beliau memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria dalam sebutan pertama prosiding kes tuntutan perceraian yang difailkan Zahnita, 31.

Ketika ditanya Muhamad Hisyam alasan tidak mahu melepaskan (menceraikan) isterinya itu, Abu Backery turut berkata, perkara tersebut (tuntutan cerai) berlaku secara tiba-tiba.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Februari ini untuk sebutan semula kes berkenaan bagi lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Zahnita diwakili peguam syarie, Suriany Awaludin manakala Abd. Backery diwakili peguam syarie, Yusfa Haris Yussoff.

Zahnita memfailkan permohonan perceraian itu pada 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Berdasarkan surat akuan yang difailkan Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, dia memohon untuk bercerai dengan alasan tiada lagi persefahaman antaranya dan suami.

Menurut model itu, perkahwinan mereka tidak boleh dise­lamatkan dan telah tinggal ber­asingan sejak 13 November tahun lalu.

Tuntutan perceraian yang difailkan oleh Zahnita terhadap suami­nya itu adalah kali kedua sepanjang 11 tahun tempoh perkahwinan mereka.

Menurut wanita itu kepada pemberita selepas prosiding kes, kali pertama dia mengemukakan tuntutan yang sama adalah pada 2012.

“Walau bagaimanapun kes itu saya tarik balik kerana saya cuba untuk memperbaiki keadaan dan memastikan hubungan ini berjaya,” katanya.

Khamis, 11 Februari 2016

Integriti menangani konflik rumahtangga

Oleh : ANUAR AHMAD
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 10 Februari 2016


UMUM mengetahui bahawa Tekad Keempat Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 ialah “Memantapkan Institusi Keluarga Dan Komuniti”. 

Keluarga adalah komponen terpenting dalam PIN dan lantaran itu seorang ahli falsafah Cina yang terkenal iaitu Confucious mengatakan bahawa “integriti itu bermula dari rumah”. 

Walau bagaimanapun, suatu realiti yang amat menyedihkan bila mana kita mendapati kadar penceraian dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya masyarakat Islam berada pada tahap yang membimbangkan.

Pengalaman penulis mengendalikan beberapa ceramah kursus pra perkahwinan menunjukkan kefahaman pasangan muda terhadap hukum hakam perkahwinan berada pada tahap yang sangat rendah. Kehadiran ke kursus perkahwinan hanyalah sebagai tiket memboleh-kan mereka menyempurnakan hasrat hidup berumahtangga.

Dengan ilmu yang terbatas, apabila rumahtangga mereka dipukul gelombang, mereka kurang memahami ketetapan hukum hakam agama. Justeru, berlakulah perkara-perkara yang mendukacitakan seperti cerai melalui SMS, aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Malah jika ditanya kepada golongan muda, majoriti langsung tidak memahami bahawa lafaz talak itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Talak Sarih dan Talak Kinayah.

Talak Sarih membawa maksud terang dan jelas iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang. Menurut fuqaha Islam,lafaz seperti kalimah “Talak” atau” Cerai” membawa makna Talak Sarih. Antara contohnya adalah apabila suami berkata:

Cinta tak lulus syariah, hari Valentine

Iblis sudah lama bersumpah mahu rosakkan manusia

Oleh : ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 Februari 2016

CINTA yang semata-mata atas gelora nafsu adalah produk Iblis yang
CINTA yang semata-mata atas gelora nafsu adalah produk Iblis yang sudah lama bersumpah mahu merosakkan manusia. - GAMBAR HIASAN
APABILA menjelang 14 Februari setiap tahun, Aaron tidak pernah lupa membelikan bunga ros kepada isterinya. Itu tanda cintanya yang tulus: “Saya cintakan awak sepenuh hati dan rela hidup mati bersama awak.”

Sedar atau tidak, cinta sejati di dunia antara suami isteri tidak semestinya menjadi cinta abadi sehingga ke syurga. Cinta seorang suami kepada isterinya tidak hanya terbatas kepada kilauan berlian, emas atau haruman kuntum bunga, tetapi yang jauh lebih penting adalah penjagaan keluarga daripada sambaran api neraka.

Firman Allah: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan,” (al-Tahrim[66:6])

Malang sekali bagi suami isteri yang romantik di dunia tetapi terpisah jauh menjadi musuh di akhirat kelak. Firman Allah: “Pada hari itu sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh),” (al-Zukhruf [43:67]).

Juga amaran Allah dalam ayat ini: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri dan anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-Taghabun [64:14]).

DIDIK DAN TARBIAH

Jika benar mencintai pasangan anda, maka sentiasalah mendidik atau mengingatkan antara satu sama lain dengan kehendak Allah. Belajarlah daripada kisah Abdullah bin Mas’ud dan isterinya Zaynab r.a.:
“(Zainab isteri kepada Abdullah bin Mas’ud menceritakan): “Pada suatu hari Abdullah bin Mas’ud masuk bertemuku lalu duduk di sebelahku. Beliau mendapati di leherku terikat seutas benang (azimat).” 

Mengekang kelahiran anak tanpa nikah

Oleh : M. JASNI MAJED
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 10 Februari 2016

ANTARA kes pembuangan bayi yang dikategorikan kejam di Malaysia adalah pada 2010 iaitu di Sarawak di mana seorang bayi dicampak keluar ketika kenderaan bergerak; 2011, bayi dicampak ke dalam longkang di sebuah rumah pangsa di Selayang; 2012, bayi dimasukkan ke dalam mangkuk tandas Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dan tiga kejadian pada tahun lalu, lemas dalam tangki simpanan air di stesen minyak BHP Seremban; bayi kembar di-tinggalkan dalam almari kosong di pangsapuri George Town dan bayi dipotong 15 bahagian dan dibuang melalui lubang tandas di Johor Bahru.

Dalam pada itu, statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa lebih kurang 300 kes pembuangan bayi dikesan beberapa bulan selepas sambutan Hari Kekasih. Jelas sekali sambutan Hari Kekasih setiap kali tiba 14 Februari ini banyak menyumbang kepada masalah sosial ini.

Bayi yang dibuang dan berjaya diselamatkan pula akan diserahkan kepada JKM untuk penjagaan. Agak malang bagi bayi yang dibuang di merata-rata tempat kerana selain faktor keselamatan nyawa, mereka turut terdedah dengan pelbagai kemungkinan termasuklah dihurung semut malah ada yang digigit anjing.

Bayi yang tidak berdosa ini selalunya dibuang untuk menutup kesalahan yang dilakukan oleh pasangan terlanjur. Dengan cara ini, pasangan tersebut beranggapan ia dapat mengelak daripada dikesan keluarga dan mendapat malu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman